11 Punca Buasir Yang Harus Anda Ketahui!

Artikel ini bincang tentang punca buasir yang harus anda mengetahui. Jom kita mula!

Punca Buasir Yang Harus Anda Ketahui

Punca Buasir

1. Meneran terlalu kuat semasa membuang air besar kerana sembelit

Punca Buasir meneran kuat

Meneran terlalu kuat semasa membuang air besar yang disebabkan oleh sembelit boleh menyumbang kepada punca buasir. Apabila anda meneran untuk membuang najis yang keras atau besar, tekanan yang meningkat pada vena di rektum dan dubur boleh menyebabkan pembentukan saluran darah yang bengkak dan meradang yang dikenali sebagai buasir. 

Penonjolan yang menyakitkan ini boleh menyebabkan ketidakselesaan, kegatalan dan pendarahan semasa membuang air besar. 

Kajian menerangkan ketegangan akibat sembelit dipercayai menyebabkan buasir kerana najis yang keras dan peningkatan tekanan intraabdominal yang boleh menghalang aliran balik vena dan ini akan menyebabkan pembengkakan plexus hemoroid. 

Pembuangan air besar dengan bahan najis keras meningkatkan daya ricih pada kusyen dubur yang berpotensi menyumbang kepada perkembangan buasir. 

Terdapat beberapa cara untuk anda mengelakkan najis anda daripada menjadi keras, antaranya ialah:

  • Meningkatkan pengambilan serat anda seperti buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh dan kekacang.
  • Pastikan anda meminum air yang mencukupi.
  • Hadkan makanan yang diproses, minuman manis dan mengandungi lemak yang tidak sihat.
  • Bersenam dengan kerap.
  • Segera ke tandas apabila anda terasa ingin membuang air besar, jangan tangguh!
  • Urus tekanan dengan baik dan hindari stress.

2. Tekanan pelvis akibat penambahan berat badan terutamanya semasa mengandung

Punca Buasir mengandung

Semasa kehamilan, rahim yang semakin membesar memberikan tekanan yang lebih tinggi pada kawasan pelvis. Ini juga adalah salah satu punca buasir. Apabila bayi membesar, rahim yang mengembang memberi tekanan pada urat di rektum dan dubur dan menjadikannya lebih terdedah kepada keradangan dan bengkak. 

Selain itu, perubahan hormon semasa mengandung boleh mengendurkan lagi saluran darah, dan ini juga menjadikannya lebih mudah terdedah kepada buasir. Peningkatan tekanan di kawasan pelvis ini, ditambah pula dengan pengaruh hormon, boleh menyebabkan pembentukan urat yang menyakitkan dan bengkak di sekitar rektum. 

Kajian mendapati kehamilan boleh menyebabkan buasir akibat perubahan hormon dan peningkatan tekanan intra-perut. Faktor-faktor ini boleh menyumbang kepada perkembangan vena hemoroid luar varikos yang mengakibatkan gejala seperti kegatalan, rasa terbakar, bengkak yang menyakitkan pada dubur, dischezia iaitu pergerakan usus yang menyakitkan dan pendarahan.

Jika anda sedang mengandung, langkah-langkah ini boleh mengurangkan risiko anda mengalami buasir:

  • Tinggikan kaki : Cuba gunakan bangku kaki kecil semasa berada di tandas. Kaedah ini dapat membantu anda untuk mengomposisikan badan anda untuk penyingkiran najis yang lebih mudah.
  • Senaman Kegel: Senaman ini adalah untuk menguatkan lantai pelvis anda yang boleh membantu mengurangkan ketegangan semasa membuang air besar.
  • Tidur mengiring: Tidur mengiring sebelah kiri anda untuk meningkatkan peredaran dan mengurangkan tekanan pada urat rektum.
  • Mandi air suam: Berendam dalam mandian suam (tidak terlalu panas) boleh mengurangkan simptom buasir.

3. Mengangkat objek berat

Mengangkat objek yang berat memerlukan teknik yang betul, jika tidak ia boleh menjadi punca buasir tanpa anda sedari. Ketegangan di bahagian bawah rektum dan dubur semasa mengangkat beban berat boleh menyebabkan peningkatan tekanan pada saluran darah di kawasan itu dan ini akan menyebabkan saluran darah membengkak dan meradang. 

Tekanan yang meningkat ini boleh mengakibatkan pembentukan buasir, yang akan membuat anda rasa sakit, gatal-gatal, dan kadang kala pendarahan semasa pergerakan usus. 

Kajian menunjukkan aktiviti seperti mengangkat berat boleh menegangkan tisu penyokong kusyen dubur yang boleh memberi impak negatif ke atas tisu tersebut. Proses ini boleh mengakibatkan anjakan kusyen dubur ke bawah yang tidak normal, menyebabkan dilatasi vena dan berpotensi menyebabkan buasir. 

Hati-hati ketika mengangkat barang yang berat, berikut adalah cara-cara untuk mengurangkan risiko daripada mengalami buasir:

  • Dalam posisi mencangkung, pastikan belakang anda lurus dan dan angkat barang menggunakan kaki anda dan bukan bahagian belakang anda. 
  • Pastikan belakang anda lurus dan elakkan membongkok atau berpusing semasa mengangkat.
  • Letakkan diri anda dekat dengan objek yang anda ingin angkat. Ini akan mengurangkan jarak yang anda perlukan untuk membongkok.
  • Bernafas seperti biasa sepanjang mengangkat barang, hembus nafas semasa anda menggunakan daya untuk mengangkat objek.
  • Jangan cuba mengangkat lebih daripada kemampuan anda. Minta bantuan. 

4. Mengalami sembelit kronik

Sembelit kronik boleh menjadi punca buasir yang utama. Apabila individu kerap mengalami kesukaran membuang najis, ia selalunya akan membuat anda cenderung untuk meneran semasa membuang air besar. 

Untuk mencegah dan mengurangkan buasir yang berkaitan dengan sembelit kronik, amalkan diet tinggi serat, minum banyak air dan melakukan aktiviti fizikal yang kerap boleh menggalakkan tabiat usus yang sihat dan mengurangkan kemungkinan meneran semasa membuang air besar. 

Mengikut kajian, sembelit kronik boleh menyumbang kepada perkembangan buasir akibat peningkatan tekanan intraabdominal dan ketegangan semasa membuang air besar. Najis yang keras dan ketegangan yang berpanjangan boleh menghalang aliran balik vena,yang membawa kepada pembengkakan plexus hemoroid. 

Berikut adalah petua yang anda boleh cuba untuk menghindari sembelit kronik:

  • Amalkan pengambilan probiotik untuk menyokong kesihatan usus dan boleh membantu dalam penghadaman.  Makan makanan yang kaya dengan probiotik seperti yogurt, kimchi, atau tempeh. 
  • Minum air suam atau teh herba seperti teh pudina yang boleh membantu merangsang sistem pencernaan anda.
  • Makan makanan kaya dengan magnesium seperti bayam, badam, avocado dan coklat gelap yang boleh mengendurkan otot dalam saluran penghadaman.

5. Mengalami cirit-birit

Cirit-birit yang berterusan juga boleh menyebabkan punca buasir. Cirit-birit pada kebiasaanya melibatkan pergerakan usus yang kerap yang boleh membawa kepada iritasi dan ketegangan pada saluran darah rektum dan dubur. 

Tekanan dan geseran yang berterusan semasa cirit birit boleh menyebabkan urat di kawasan dubur menjadi bengkak dan meradang, lalu mengakibatkan buasir. Selain itu, proses pembersihan dubur secara berulang boleh memberi kesan kepada tisu sensitif yang akan menyebabkan rasa ketidakselesaan dan pendarahan.

Kajian menunjukkan keadaan yang dikaitkan dengan buasir adalah yang dikaitkan dengan cirit-birit, seperti kolitis, malabsorpsi, pintasan usus, dan pankreatitis kronik. Keabnormalan fisiologi yang sering dilihat dalam buasir adalah peningkatan tekanan dubur berehat, tetapi ini dianggap sebagai fenomena sekunder.

Antara sebab anda terkena masalah cirit-birit adalah:

  • Tidak menjaga kebersihan tangan boleh menyebabkan pendedahan kepada virus, bakteria atau parasit yang boleh menyebabkan cirit-birit.
  • Pengambilan air yang tercemar atau daripada sumber yang tidak boleh dipercayai boleh menyebabkan cirit-birit disebabkan oleh mikroorganisma berbahaya.
  • Makanan pedas boleh merengsakan saluran penghadaman dan mencetuskan cirit-birit pada sesetengah individu.
  • Makanan tinggi lemak boleh menyebabkan cirit-birit.
  • Intoleransi makanan atau alahan boleh menyebabkan cirit-birit apabila mengambil makanan tertentu kerana ketidakupayaan untuk mencerna makanan dengan betul.

6. Duduk terlalu lama di dalam tandas

Punca Buasir duduk tandas lama

Duduk di tandas dalam tempoh yang lama boleh menjadi punca buasir. Menghabiskan masa yang berlebihan dalam kedudukan duduk terutamanya apabila meneran untuk membuang air besar boleh meningkatkan tekanan pada urat di sekitar rektum dan dubur. Tekanan yang berpanjangan ini boleh menyebabkan pembengkakan dan keradangan saluran darah dan mengakibatkan pembentukan buasir. 

Kajian mendapati membuat perubahan pada tabiat tandas boleh disyorkan untuk semua pesakit dengan sebarang tahap buasir. Pelarasan dalam rutin harian bukan sahaja sebagai sebahagian daripada rawatan tetapi juga sebagai langkah pencegahan buasir. 

7. Obesiti

Punca Buasir obesiti

Obesiti boleh menjadi faktor penyumbang kepada punca buasir. Berat badan yang berlebihan di kawasan perut meningkatkan tekanan pada saluran darah di sekitar rektum dan dubur. Tekanan yang meningkat ini boleh menyebabkan pembengkakan dan keradangan saluran darah yang mengakibatkan buasir. 

Selain itu, obesiti sering dikaitkan dengan gaya hidup yang tidak aktif dan tabiat pemakanan yang tidak baik yang boleh menyumbang kepada sembelit dan meneran semasa membuang air besar.

Kajian menerangkan obesiti boleh menyumbang kepada perkembangan buasir melalui pelbagai mekanisme, antaranya:

  • Peningkatan tekanan intra-perut boleh mengakibatkan pembengkakan plexus hemoroid.
  • Meneran secara berlebihan dan tekanan ini boleh memberi tekanan pada kusyen dubur, yang berpotensi menyebabkan buasir.
  • Taburan lemak badan terutamanya obesiti pusat (lilitan pinggang) boleh dikaitkan dengan prevalens penyakit buasir yang lebih tinggi terutamanya pada wanita parous.
  • Hubungan antara taburan lemak badan berlebihan dan penyakit buasir adalah kompleks dan mungkin berbeza-beza berdasarkan faktor seperti jantina dan ciri-ciri lain.

8. Kurang serat di dalam diet

Diet rendah serat boleh menyebabkan punca buasir berlaku. Serat memainkan peranan penting dalam mengekalkan najis lembut dan besar, dan ini menjadikannya lebih mudah untuk dikeluarkan. Apabila terdapat kekurangan serat dalam diet, najis mungkin menjadi keras dan sukar untuk dikeluarkan.

Memasukkan makanan kaya serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh dalam diet membantu menggalakkan pergerakan usus yang teratur dan mengurangkan risiko buasir. 

Kajian menunjukkan kekurangan serat dalam diet boleh menyumbang kepada perkembangan buasir melalui masalah sembelit. Sembelit boleh menyebabkan degenerasi tisu sokongan dalam saluran dubur dan anjakan kusyen dubur. Ini akan menyebabkan kecenderungan meneran yang kronik dan najis keras.

Berikut adalah antara jenis serat yang anda boleh masukkan ke dalam diet anda untuk membantu anda daripada mengalami masalah sembelit atau buasir:

  • Beri: Raspberi, beri hitam, dan strawberi adalah sumber serat tidak larut yang sangat baik. Ia merupakan sumber vitamin C dan antioksidan yang baik.
  • Buah sitrus: Grapefruits, oren,dan lemon mengandungi sejumlah besar serat tidak larut,. Ia juga kaya dengan vitamin C, yang boleh membantu penghadaman.
  • Sayuran hijau berdaun: Bayam dan kangkung kaya dengan serat tidak larut serta vitamin dan mineral penting seperti vitamin A, C dan K.
  • Kacang hijau: Sayuran ini merupakan sumber serat larut dan tidak larut yang baik, menjadikannya pilihan yang bagus untuk kesihatan pencernaan.
  • Epal: Epal merupakan sumber serat larut dan tidak larut yang hebat. Ia juga merupakan sumber pektin yang baik, sejenis serat larut yang boleh membantu menurunkan kolesterol.
  • Buah pir : Buah pir juga adalah sumber serat larut dan tidak larut yang baik dan bermanfaat untuk kesihatan usus.
  • Ubi keledek: Ubi yang lazat ini merupakan sumber serat larut dan vitamin A yang baik yang penting untuk kesihatan usus.

9. Penyakit hepatik

Penyakit hepatik seperti keadaan hati boleh menyumbang kepada punca buasir. Hati memainkan peranan penting dalam menghasilkan bahan yang diperlukan untuk pembekuan darah. Apabila hati tidak berfungsi dengan baik disebabkan oleh penyakit hepatik, ia boleh menyebabkan ketidakseimbangan yang berpotensi menyebabkan peningkatan kecenderungan untuk pendarahan. Ini boleh menjejaskan saluran darah di sekitar rektum dan dubur yang menjadikannya lebih mudah terdedah kepada keradangan dan bengkak.

Menguruskan penyakit hepatik melalui campur tangan perubatan dan pelarasan gaya hidup adalah penting untuk meminimumkan risiko komplikasi yang berkaitan termasuk buasir. Dapatkan bimbingan daripada pakar kesihatan untuk penjagaan menyeluruh bagi individu yang mempunyai penyakit hepatik.

Kajian mendapati penyakit hati, terutamanya sirosis, boleh menyebabkan kepada perkembangan buasir atau lebih teruk disebabkan oleh sesuatu yang dipanggil hipertensi portal. Ini bermakna terdapat tekanan tambahan dalam vena hepatik, yang membawa kepada masalah tambahan seperti varises ano-rectal (ARV) yang berbeza daripada varises hemoroid biasa (HV). 

Hipertensi portal boleh memburukkan keadaan buasir sedia ada dan menyebabkan ARV. Kedua-duanya mungkin membawa kepada pendarahan rektum dan masalah buasir. 

10. Faktor penuaan

Peningkatan usia juga boleh menjadi punca buasir. Ini kerana tisu yang menyokong urat di rektum dan dubur boleh menjadi lemah dari masa ke semasa, dan menjadikan anda lebih mudah terdedah kepada keradangan dan kebengkakan.

Selain itu, faktor seperti gaya hidup yang tidak aktif, perubahan dalam diet dan penurunan dalam aktiviti fizikal yang lazimnya berlaku apabila anda berusia, boleh menyebabkan perkembanganm sembelit.

Kajian menemui kelaziman penyakit buasir meningkat secara progresif dengan usia, dengan kelaziman tertinggi diperhatikan dalam kumpulan umur tertua. Ini mungkin disebabkan oleh perubahan pada lantai pelvis dan tisu penghubung dari semasa ke semasa, yang membawa kepada peningkatan risiko buasir. 

11. Sejarah keluarga

Jika terdapat sejarah keluarga yang mengalami masalah buasir di dalam keluarga anda, anda mungkin akan menghadapi masalah yang sama. Genetik boleh memainkan peranan dalam menjadikan saluran darah di sekitar rektum dan dubur lebih terdedah kepada keradangan.

Walaupun sejarah kesihatan keluarga tidak boleh diubah, anda masih boleh mengambil langkah pencegahan. Contohnya, mengekalkan gaya hidup dan diet sihat. Jika anda mempunyai sejarah kesihatan keluarga yang mengalami masalah buasir dan mengalami simptom buasir, dapatkan nasihat pakar kesihatan  untuk mendapatkan panduan peribadi tentang pencegahan dan pengurusan.

Kajian menunjukkan sekiranya terdapat sejarah keluarga mengalami masalah buasir, ia mungkin menunjukkan kebarangkalian yang lebih tinggi untuk anda mengalami keadaan ini disebabkan oleh faktor genetik. Namun begitu, ia bukan jaminan bahawa seseorang individu akan mengalami buasir. Faktor lain seperti gaya hidup, diet, dan kesihatan keseluruhan juga memainkan peranan penting dalam perkembangan buasir.

Kesimpulan

Berikut adalah punca buasir yang harus anda ketahui:

  1. Meneran terlalu kuat semasa membuang air besar kerana sembelit
  2. Tekanan pelvis akibat penambahan berat badan, terutamanya semasa mengandung
  3. Mengangkat objek berat
  4. Mengalami sembelit kronik
  5. Mengalami cirit-birit
  6. Duduk terlalu lama di dalam tandas
  7. Obesiti
  8. Kurang serat di dalam diet
  9. Penyakit hati
  10. Faktor penuaan
  11. Sejarah keluarga

Anda boleh baca tentang artikel buasir yang lain di sini:

Similar Posts

Tinggalkan Balasan