15 Tanda Gastrik Yang Ramai Selalu Terlepas Pandang
Artikel kali ini bakal membincangkan tentang 15 tanda gastrik yang mudah dikesan agar boleh dijadikan sebagai intervensi awal. Jom kita mula!
Gastrik, atau istilah perubatan gastritis adalah gangguan atau keradangan yang berlaku pada lapisan dinding bahagian atas perut (berhampiran ulu hati). Ia boleh berlaku secara kerap ataupun tiba-tiba, bergantung kepada tahap gastrik seseorang individu tersebut.
15 Tanda Gastrik
1. Sakit pada bahagian atas perut
Antara tanda utama gastrik adalah sakit perut. Lazimnya ia akan terasa pada bahagian atas perut, iaitu sekitar bahagian ulu hati.
Seseorang individu mungkin mengalami gejala ini ketika perut sedang kosong, ataupun jarak pengambilan minuman dan makanan yang terlalu lama.
Menurut kajian, rasa sakit yang berlaku secara tiba-tiba biasanya dikaitkan dengan penembusan saluran gastrousus yang berpunca daripada keradangan di dinding perut.
Jika gejala ini dibiar berlarutan, komplikasi yang lebih berbahaya boleh terjadi seperti ulser perut, pendarahan dalam perut dan esofagus, serta risiko kanser juga terhadap kedua-dua organ terbabit.
2. Masalah kembung perut
Selain itu, penyelidikan juga mendapati gejala kembung perut adalah antara masalah yang paling kerap dilaporkan oleh pesakit yang mengalami gangguan usus daripada pelbagai peringkat usia.
Kembung perut adalah situasi apabila sejumlah gas terperangkap di bahagian usus atau perut. Walaupun ia adalah gejala biasa yang sering berkait dengan sistem penghadaman, namun tidak ramai yang mampu menahan rasa kurang selesa itu.
Antara punca yang boleh mengundang kepada masalah ini adalah disebabkan pengambilan makanan terlalu banyak, sekaligus menghasilkan gas terperangkap dalam perut.
Apabila pencernaan terganggu, molekul makanan mungkin tidak dipecahkan dengan sepenuhnya. Ini menyumbang kepada proses penapaian karbohidrat yang tidak dihadam di dalam perut, seterusnya menghasilkan gas lalu mengakibatkan kembung perut.
3. Kerap sendawa
Sendawa adalah mekanisma semula jadi yang dilakukan tubuh untuk mengeluarkan gas berlebihan, seterusnya mengurangkan rasa tidak selesa di bahagian perut.
Namun begitu, gangguan sendawa secara berlebihan boleh menjadi petanda bahawa seseorang itu mengalami masalah kesihatan, termasuklah gastrik. Sewaktu mengalami gastrik, produksi gas dalam sistem pencernaan anda boleh meningkat secara mendadak.
Kajian mendapati, keadaan ini biasanya dikaitkan dengan gangguan fungsi saluran gastrousus. Malah jika proses tersebut dihalang dengan amalan menahan sendawa, maka lebih banyak gas akan terkumpul dalam badan. Ini kemudian menyebabkan gangguan lebih kritikal terhadap proses penghadaman.
4. Hilang selera makan tanpa sebab
Walaupun hilang selera makan kedengaran agak biasa, tanpa disedari ini adalah petunjuk awal yang menggambarkan wujudnya masalah gastrik dalam tubuh.
Gangguan pencernaan berlaku kerana lapisan perut yang tengah meradang sukar untuk memproses makanan, lalu ia mengembang untuk tampung kuantiti yang lebih besar. Ini menyebabkan seseorang itu kurang selera makan atau cepat merasa kenyang.
Selain tidak dapat menikmati sajian kegemaran, situasi ini boleh bertukar kritikal sehinggakan tubuh menjadi lemah akibat kekurangan nutrisi serta mengalami penurunan berat badan secara mendadak
Sekiranya anda perasan selera makan berkurangan secara konsisten atau cepat merasa kenyang, anda disarankan untuk bincangkan gejala yang dialami ini dengan doktor atau profesional kesihatan agar dapat dicegah sebelum melarat.
5. Masalah gangguan pencernaan
Kajian menunjukkan, kandungan asid paling tinggi dalam perut pada waktu tengah hari dan lewat petang. Secara tidak langsung ini mencerminkan fakta bahawa jumlah protein diambil ketika sarapan pagi adalah kurang berbanding makan tengah hari serta makan malam.
Maka jika perut dibiarkan kosong, jus pencernaan dengan nilai pH sangat berasid yang terhasil berupaya menghakis lapisan dinding perut hingga membentuk ulser.
Oleh itu, masalah ini boleh dibantu melalui pengambilan makanan sebanyak tiga kali sehari dengan kandungan nutrisi diet yang seimbang. Minum air sekurang-kurang 1.5 hingga dua liter sehari, dan pengambilan makanan berserat 25 hingga 30 gram sehari turut membantu melancarkan lagi proses penghadaman.
6. Sensasi panas di dada (heartburn)
Heartburn adalah sensasi panas yang timbul dari perut naik ke dada. Walaupun namanya begitu, tetapi ia tidak melibatkan organ jantung. Sebaliknya, ia disebabkan oleh asid perut yang mengalir balik (refluks) ke dalam esofagus.
Apabila anda menelan makanan, terdapat satu otot di bahagian bawah esofagus yang berfungsi sebagai ‘pintu’ untuk membenarkan makanan dan minuman masuk ke dalam perut. Ia dipanggil lower esophageal sphincter (LES) atau sfingter esofagus bawah.
Jika LES tidak berfungsi dengan normal atau lemah, asid perut boleh mengalir masuk semula ke saluran esofagus anda. Makanan tertentu seperti bahan pedas, berasid, kafein, alkohol dan minuman berkarbonat boleh menjadi pencetusnya.
Selain itu, tabiat makan berlebihan terutamanya menjelang waktu tidur juga boleh meningkatkan kemungkinan sensasi panas di dada ini.
Kajian telah menunjukkan bahawa, kadar seseorang itu terkena masalah refluks lebih tinggi apabila selang masa antara makan malam dan waktu tidur kurang dari 2 jam.
7. Kerap mual dan muntah
Rasa mual dan muntah adalah proses pertahanan yang penting untuk mengelakkan pengambilan atau penghadaman bahan yang mungkin berpotensi toksik terhadap tubuh.
Namun dalam sesetengah kes seperti gastrik, gejala-gejala ini boleh muncul disebabkan angin dalam perut. Sewaktu mengalami gangguan pencernaan, maklumat yang dihantar ke otak menyebabkan sensasi mual seterusnya muntah.
Kajian juga menunjukkan bahawa, muntah yang mengandungi makanan dan berlaku beberapa jam selepas makan dikaitkan dengan gangguan motilitas gastrik dan halangan anatomi pylorus gastrik.
8. Sukar untuk tidur lena
Di samping tidak dapat menikmati makanan kegemaran, hakikatnya sakit gastrik juga mempengaruhi kualiti tidur seseorang individu.
Apabila sering diganggu dengan gejala sakit perut, pedih ulu hati dan sensasi heartburn, pesakit gastrik akan sukar untuk tidur lena ataupun sering terjaga pada waktu tengah malam.
Bahkan jika masalah ini berlaku secara lebih kerap, maka dikhuatiri boleh menyumbang kesan negatif terhadap kualiti hidup secara keseluruhannya.
9. Rasa tercungap seperti sesak nafas
Dalam sesetengah kes, simptom tercungap seperti sesak nafas boleh berlaku. Ia berpunca daripada peningkatan tekanan darah yang dikaitkan dengan keradangan perut dan kegelisahan yang dialami sewaktu mengalami gastrik.
Selain itu, refluks asid yang naik kembali ke esofagus dari perut juga boleh memberi kesan seperti bengkak terhadap saluran pernafasan. Keadaan ini turut mengakibatkan kesukaran untuk bernafas.
Malah, satu kajian pada 2015 menganggarkan sehingga 89% penghidap asma juga mengalami gejala gastrik. Apabila asid yang naik ke esofagus, isyarat amaran dihantar kepada otak, untuk mengecutkan saluran pernafasan. Ini secara tidak langsung mencetuskan gejala asma juga.
10. Kerap mengalami cirit-birit
Pengambilan makanan pedas, buah-buahan sitrus yang masam, minuman yang bergas atau berkafein secara kerap juga boleh merangsang penghasilan asid gastrik. Ini menyebabkan kerengsaan pada lapisan perut dan usus.
Kajian klinikal mendapati, penghidap gastrik akut mengalami 3 kali atau lebih cirit-birit dalam sehari. Gejala ini biasanya berlangsung kurang dari seminggu, bergantung pada pengambilan ubat dan gaya pemakanan yang lebih seimbang.
Namun jika gejala tersebut berterusan lebih dua minggu, ia diklasifikasikan sebagai gastrik kronik dan pembentukan ulser boleh mengakibatkan pendarahan dalam perut.
11. Warna najis bertukar hitam
Warna najis bertukar hitam adalah tanda gastrik kronik yang boleh membawa maut. Keadaan ini berlaku apabila ulser gastrik telah menembusi salur darah lalu menyebabkan pendarahan dalam perut. Darah tersebut kemudian dicerna oleh usus sebelum dikeluarkan melalui dubur.
Menerusi kajian, ‘melena’ ditakrifkan sebagai najis hitam seperti warna tar, yang biasanya mempunyai ciri bau yang kuat yang disebabkan oleh aktiviti enzim pencernaan dan bakteria usus pada hemoglobin.
Ia boleh menyebabkan gejala-gejala seperti penurunan tekanan darah, denyutan jantung laju, pucat atau pengsan. Pesakit perlu dibawa membuat rawatan kecemasan untuk hentikan pendarahan pada lapisan perut serta menggantikan darah yang hilang.
12. Berat badan turun mendadak
Walaupun berat badan tetap menurun tanpa melakukan diet atau aktiviti bersenam kedengaran seronok, tetapi sebenarnya ia adalah ‘red flag’ anda mungkin mengalami suatu penyakit yang sangat progresif.
Antara punca kehilangan berat badan secara tiba-tiba adalah gastrik tahap serius. Menurut kajian, rata-rata pesakit gastrik dilaporkan cepat rasa kenyang selepas mengambil sedikit makanan sahaja.
Tabiat ini boleh menjejaskan pengambilan kalori dan nutrisi harian, seterusnya mengakibatkan penurunan berat badan yang drastik. Jika tidak dirawat atau gaya hidup tidak diubah segera, ulser peptik boleh menyebabkan luka pada dinding usus anda.
13. Muntah darah
Muntah darah juga merupakan tanda gastrik kronik yang serius dan boleh membawa maut jika dibiarkan. Keadaan ini berlaku apabila ulser gastrik menembusi salur darah dan menyebabkan pendarahan dalam perut. Darah tersebut kemudian naik ke kerongkong dan dikeluarkan melalui mulut.
Menurut kajian, ‘hematemesis’ ditakrifkan sebagai muntah yang mengandungi darah segar atau darah beku. Selain berwarna merah, muntah juga boleh muncul dalam keadaan warna hitam atau coklat yang menandakan darah lama.
Pesakit masalah kronik ini perlu dibawa ke bahagian rawatan kecemasan untuk menghentikan pendarahan dan menggantikan darah yang hilang. Jika tidak, mereka berisiko untuk menghidap anemia di mana tubuh kekurangan sel darah merah.
14. Kerap sakit kepala
Sesetengah penghidap gastrik juga sering mengadu sakit di bahagian kepala ataupun migrain. Walaupun penyakit ini bermula di kawasan perut dan ulu hati, namun gejala ini akhirnya boleh mengakibatkan sakit di bahagian tubuh yang lain.
Lazimnya ia mungkin disebabkan kekurangan air dan nutrisi berkhasiat, ditambah pula dengan stres akibat perut sering memulas dan kualiti tidur yang semakin berkurangan.
Daripada terus menelan ubat tahan sakit, anda disarankan untuk buat pemeriksaan darah terlebih dahulu bagi mengenal pasti punca sebenar sakit kepala yang sedang dialami.
15. Risiko emosi dan stres melampau
Dari segi fizikal, orang yang menghadapi gastrik akan selalu berasa sakit perut, pedih ulu hati, kembung perut dan hilang selera makan. Namun ramai tidak tahu bahawa, penyakit ini juga dapat mempengaruhi kesejahteraan psikologi penghidapnya.
Ini kerana rasa sakit atau ketidakselesaan yang berpanjangan boleh mencetuskan tahap stres yang tinggi, keresahan atau anxiety, dan kualiti hidup yang kian merosot.
Langkah pencegahan awal perlu dipandang serius, sebelum ia bertambah teruk kerana boleh menjurus kepada kemurungan, gangguan emosi, masalah tingkah laku serta perubahan personaliti.
Sebagai contoh, mereka yang stres akan merokok secara berlebihan, cenderung untuk mengambil alkohol dan dadah, serta menunjukkan tingkah laku agresif seperti kerap marah tanpa sebab.
Kesimpulan
Antara tanda gastrik yang ramai selalu terlepas pandang adalah seperti berikut:
- Sakit pada bahagian atas perut
- Masalah kembung perut
- Kerap sendawa
- Hilang selera makan tanpa sebab
- Masalah gangguan pencernaan
- Sensasi panas di dada atau heartburn
- Kerap mual dan muntah
- Sukar untuk tidur lena
- Rasa tercungap seperti sesak nafas
- Kerap mengalami cirit-birit
- Warna najis bertukar hitam
- Berat badan turun mendadak
- Muntah darah
- Kerap sakit kepala
- Risiko emosi dan stres melampau
Anda boleh baca segala informasi gastrik sini: