Obesiti kanak-kanak: Simptom, Punca dan Cara Mengatasi

Tahukah anda bahawa obesiti kanak-kanak semakin serius. Sehingga 30% kanak-kanak Malaysia didapati mempunyai berat badan berlebihan atau mengalami obesiti. Hari ini kita akan bincang tentang:

  • Simptom obesiti kanak-kanak
  • Punca obesiti kanak-kanak
  • Cara mengatasi obesiti kanak-kanak

Jom kita mula.

Apakah itu obesiti kanak-kanak?

Obesiti kanak-kanak featured image

Obesiti bukan sahaja di alami oleh orang dewasa, tetapi juga kana-kanak. Hasil kajian daripada Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) di Malaysia menunjukkan peningkatan prevalen berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak yang berumur 13 hingga 17 tahun daripada 24.6 peratus pada tahun 2012 kepada 30.5 peratus pada tahun 2022. Ini telah menjadikan Malaysia di kedudukan kedua tertinggi bagi obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di Asia Tenggara. 

Mengikut kajian, obesiti kanak-kanak adalah keadaan di mana lemak badan berlebihan telah memberi kesan negatif kepada kesihatan atau kehidupan kanak-kanak tersebut. Diagnosis obesiti selalunya berdasarkan BMI kanak-kanak dan juga orang dewasa.

Kajian menerangkan berat badan berlebihan dan obesiti pada zaman kanak-kanak mempunyai kesan yang besar terhadap kesihatan fizikal dan psikologi. Kanak-kanak yang berlebihan berat badan dan obes berkemungkinan kekal obes sehingga dewasa dan lebih berkemungkinan menghidap penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan penyakit kardiovaskular pada usia yang lebih muda. 

Ketahui simptom, punca dan cara mengatasi obesiti kanak-kanak daripada berlaku.

Obesiti Kanak-kanak: Simptom

Mendapan tisu lemak

Mendapan tisu lemak yang berlebihan pada badan kanak-kanak boleh menjadi salah satu simptom ketara masalah obesiti kanak-kanak. Kajian menerangkan obesiti kanak-kanak dikaitkan dengan perkembangan tisu adiposa yang tidak normal, yang memainkan peranan penting dalam homeostasis tenaga dan pengeluaran adipokin.

Adiposit dalam tisu adipos menjadi tidak terkawal dalam individu obes, yang membawa kepada pengumpulan lemak berlebihan. Disregulasi ini menyumbang kepada perkembangan komorbiditi yang serupa dengan yang dilihat pada orang dewasa dengan obesiti. Memahami perubahan molekul dan selular yang berlaku semasa obesiti boleh membantu dalam pembangunan intervensi awal dan strategi pencegahan untuk komorbiditi dewasa.

Kajian juga menunjukkan  bahawa leptin dan resistin boleh dianggap sebagai biomarker obesiti kanak-kanak. Pengkaji memerhatikan korelasi yang signifikan secara statistik antara tahap leptin plasma dan resistin dan parameter antropometrik obesiti kanak-kanak. Kajian ini menunjukkan bahawa adipocytokines, seperti leptin dan resistin, boleh dianggap sebagai biomarker obesiti kanak-kanak.

Acanthosis nigricans 

Pernah tak anda terlihat kesan kulit hitam di kawasan leher? Itu juga berkemungkinan simptom obesiti kanak-kanak. Kajian menerangkan acanthosis nigricans adalah keadaan yang biasanya berlaku di kawasan intertriginous.

Kawasan intertriginous ialah kawasan kulit di mana dua permukaan kulit bersentuhan dan bergesel. Kawasan ini selalunya berada dalam keadaan lembap dan kurang pengudaraan seperti ketiak, dalam lipatan leher dan di bawah payudara. 

Selain itu, kajian turut mendapati acanthosis nigricans adalah salah satu tanda kulit obesiti yang paling biasa pada kanak-kanak. Ia adalah peramal rintangan insulin pada kanak-kanak yang mengalami obesiti. Pesakit dengan obesiti dan acanthosis nigricans cenderung mempunyai indeks jisim badan yang lebih tinggi dan peningkatan tahap insulin ketika puasa dan pada waktu petang. 

Sesak nafas ketika melakukan aktiviti fizikal

Kesukaran bernafas selepas melakukan aktiviti fizikal boleh menjadi salah satu kebarangkalian petanda obesiti kanak-kanak.

Kajian menunjukkan berat badan yang berlebihan akan memaksa otot sistem pernafasan kanak-kanak untuk bekerja lebih keras daripada biasa. Sistem saraf mungkin bertindak balas terlalu perlahan untuk mempunyai terlalu banyak karbon dioksida dan terlalu sedikit oksigen dalam darah. 

Mengikut kajian, asma awal dan pernafasan berbunyi ‘wheezing’ dikaitkan dengan perkembagan obesiti kanak-kanak yang  tinggi. Ini membuktikan risiko untuk kanak-kanak mengalami obesiti adalah tinggi apabila kanak-kanak mengalami masalah pernafasan. Ini ini telah mengkaji kesan asma awal terhadap perkembangan obesiti pada kanak-kanak.

Akil baligh awal (perempuan) atau tertangguh (lelaki)

Simptom obesiti kanak-kanak boleh menyebabkan akil baligh awal pada perempuan dan akil baligh tertangguh pada lelaki. Kajian menunjukkan obesiti kanak-kanak boleh membawa kepada tanda-tanda awal akil baligh (thelarche) pada kanak-kanak perempuan dan kelewatan akil baligh pada kanak-kanak lelaki.

Namun begitu, perkaitan ini masih tidak jelas sama. Perkembangan awal payudara mungkin sebahagiannya mencerminkan peningkatan aromatisasi periferi androgen adrenal dalam petak tisu adipos yang berkembang. Hiperinsulinemia mungkin memainkan peranan penting dalam hal ini.

Di dalam kajian lain pula, kematangan biologi awal kerap dikaitkan dengan obesiti, terutamanya pada wanita. Dalam erti kata lain, kematangan biologi awal pada kanak-kanak perempuan mungkin menyebabkan mereka melalui kitaran haid awal dan, akibatnya, menyebabkan perkembangan beberapa isu kesihatan apabila dewasa.

Apnea tidur

Apnea tidur adalah gangguan tidur di mana pernafasan berulang kali berhenti dan bermula. Jika anda atau anak anda berdengkur dengan kuat dan berasa letih walaupun selepas tidur semalaman penuh, anda atau anak anda mungkin mengalami sleep apnea.

Kajian ke atas 400 orang kanak-kanak berumur antara 2 dan 8 tahun mendapati bahawa obesiti adalah faktor risiko yang paling ketara untuk obstructive sleep apnea (OSA) iaitu jenis apnea tidur yang paling biasa. Ia berlaku apabila otot di bahagian belakang tekak mengendur dan menyekat saluran udara. Analisis lanjut mencadangkan bahawa untuk setiap peningkatan unit dalam BMI, terdapat risiko  yang lebih tinggi untuk mengalami keadaan OSA iaitu sebanyak 12% lebih tinggi. 

Obesiti Kanak-kanak: Punca

Diet dan gaya hidup yang tidak sihat

Punca Obesiti kanak-kanak gaya hidup tidak sihat

Diet atau pemakanan yang tidak baik dapat menyebabkan perkembangan obesiti kanak-kanak. Kerap memakan makanan yang berkalori tinggi, seperti makanan segera dan snek mesin layan diri boleh menyebabkan berat badan kanak-kanak bertambah.

Gula-gula dan pencuci mulut juga boleh menyebabkan penambahan berat badan, dan semakin banyak bukti menunjukkan minuman manis termasuk jus buah-buahan dan minuman sukan sebagai menjadi obesiti pada sesetengah individu. 

Kajian terhadap 300 pelajar yang berumur di antara 1 hingga 17 tahun menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan antara obesiti di kalangan kanak-kanak dan beberapa tabiat pemakanan termasuk gula-gula, coklat dan makanan segera.

Kajian lain mendapati pengambilan makanan dalam jumlah bahagian yang besar dengan snek yang berkalori tinggi dengan kerap dapat menyumbang kepada pengambilan kalori yang berlebihan. Ketidakseimbangan tenaga ini boleh menyebabkan penambahan berat badan dan obesiti kanak-kanak.

Kurang melakukan senaman dan aktiviti Fizikal

Kurang aktiviti fizikal seperti senaman atau bersukan dapat menyebabkan kanak-kanak mempunyai berat badan yang berlebihan. Kajian menerangkan penurunan masa melakukan aktiviti fizikal adalah penyumbang penting kepada perkembangan obesiti kanak-kanak kerana penyelidikan terdahulu telah menunjukkan bahawa tahap penurunan aktiviti fizikal dikaitkan dengan peningkatan BMI, jisim lemak dan obesiti.

Kajian lain pula mendapati penglibatan dalam aktiviti fizikal membolehkan kanak-kanak  membakar kalori dan mengekalkan keseimbangan tenaga yang sihat. Walau bagaimanapun, peratusan besar populasi remaja dunia tidak memenuhi tahap aktiviti fizikal yang disyorkan, yang menyumbang kepada prevalens obesiti kanak-kanak yang lebih tinggi.

Genetik

Punca Obesiti kanak-kanak genetic

Faktor genetik adalah antara faktor yang tidak boleh diubah. Ini bermakna jika anda mempunyai sejarah keluarga yang mengalami obesiti, anak anda mempunyai kebarangkalian untuk mengalami obesiti kanak-kanak atau apabila mereka sudah dewasa. 

Kajian menunjukkan obesiti kanak-kanak bersifat kompleks yang dipengaruhi oleh faktor genetik dan persekitaran. Kajian genetik telah mendedahkan sumbangan genetik kepada obesiti kanak-kanak, dan penyelidikan lanjut boleh membawa kepada kemajuan dalam ramalan, diagnosis, dan rawatan.

Mengenal pasti punca genetik obesiti kanak-kanak boleh memberikan gambaran tentang mekanisme asas dan sasaran yang berpotensi untuk campur tangan terapeutik.

Sosioekonomi dan komuniti

Faktor sosioekonomi dan komuniti juga penyumbang besar dalam perkembangan obesiti kanak-kanak. Kajian menerangkan gangguan dalam persekitaran sosial semasa bayi dan awal kanak-kanak kelihatan memainkan peranan penting dalam penambahan berat badan dan obesiti, melalui mekanisme seperti rasa tidak selamat dan tekanan. Ini boleh menyebabkan ketagihan kepada makanan tidak sihat dan pemakanan berlebihan. 

Kajian lain pula mendapati latar belakang sosioekonomi boleh menyumbang kepada obesiti kanak-kanak melalui pelbagai faktor. Salah satu faktor utama ialah ketersediaan makanan yang lebih sihat di rumah dan sekolah. Kanak-kanak daripada kelas sosioekonomi rendah mungkin mempunyai akses terhad kepada pilihan makanan berkhasiat. Ini bpleh membawa kepada penggunaan makanan tidak sihat yang lebih tinggi.

Kanak-kanak daripada latar belakang sosioekonomi rendah mungkin mempunyai akses terhad kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti. Ini boleh memberi kesan kepada keupayaan mereka untuk menerima bimbingan dan sokongan yang betul untuk mengekalkan gaya hidup sihat.

Kesan pemasaran makanan 

Iklan makanan ringan, minuman berkarbonat atau menggunakan bahan pewarna yang menarik boleh mempengaruhi kanak-kanak untuk memilih makanan atau minuman tersebut. Jangankan orang dewasa, kanak-kanak yang kurang pengetahuan untuk membezakan apa yang berkhasiat atau tidak pun boleh terjerumus ke arah pemakanan yang tidak sihat.

Namun begitu, pengiklanan terhadap produk makanan tidak boleh dipersalahkan kerana adalah tanggungjawap orang dewasa seperti ibu bapa, penjaga dan guru untuk membimbing kanak-kanak ke arah cara pemakanan yang baik. 

Kajian menunjukkan pendedahan kepada pemasaran makanan boleh mempengaruhi pemikiran, sikap, pilihan dan penggunaan komoditi yang tidak sihat kanak-kanak. Kajian telah menunjukkan hubungan yang kuat antara pemasaran makanan dan obesiti kanak-kanak. 

Kajian mendapati manakala pengiklanan kepada kanak-kanak memang mempunyai kesan buruk pada pilihan makanan, tingkah laku pembelian dan penggunaan. Kita masih tidak ada sebab untuk mempercayai bahawa larangan sepenuhnya terhadap pengiklanan akan mempunyai sebarang kesan berguna ke atas kadar obesiti kanak-kanak. Kesimpulan ini disokong oleh pengalaman di Quebec dan Sweden, di mana larangan pengiklanan tidak menyebabkan penurunan kadar obesiti.

Obesiti Kanak-kanak: Cara Mengatasi

Jadi contoh yang baik

Cara mengatasi obesiti kanak-kanak contoh baik

Penjaga kanak-kanak, ibu bapa, guru, atau adik-beradik yang lebih dewasa harus menjadi contoh yang baik terhadap kanak-kanak. Contohnya seperti pemilihan makanan yang sihat dan gaya hidup sihat. 

Kajian menunjukkan kebanyakan ibu bapa bukan model peranan yang sihat, 30.2% adalah model peranan sihat terhad, 16.3% adalah model peranan yang baik, dan tidak ada model peranan yang sangat baik. Kebanyakan ibu bapa dan kanak-kanak tidak memenuhi garis panduan untuk berat badan yang sihat, pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran dan aktiviti fizikal. 

Ada kajian juga mendapati pemakanan ibu bapa dan corak aktiviti fizikal sangat mempengaruhi pengambilan buah-buahan atau sayur-sayuran, makanan ringan dan tahap tingkah laku yang tidak aktif oleh kanak-kanak prasekolah. Usaha intervensi pencegahan obesiti masa depan yang menyasarkan kumpulan umur ini harus memasukkan ibu bapa sebagai model peranan gaya hidup sihat untuk anak-anak mereka.

Terangkan pemakanan yang tidak baik

Cara mengatasi obesiti kanak-kanak terangkan pemakanan

Kanak-kanak akan mengulangi perkara yang tidak harus mereka lakukan jika mereka tidak faham mengapa perkara itu tidak boleh dilakukan. Sebagai orang yang lebih dewasa, kita harus menjelaskan kepada mereka dengan baik agar mereka faham tentang pentingnya aktiviti fizikal dan memakan makanan yang bernutrisi.

Kajian mendapati intervensi yang paling berkesan adalah dengan menggabungkan diet dengan senaman fizikal pada kanak-kanak berumur 0 hingga 5 tahun. Intervensi dari sekolah didapati berkesan dalam mengurangkan BMI kanak-kanak, dan intervensi ini, apabila dilaksanakan di rumah, malah boleh meningkatkan BMI ibu bapa mereka. 

Rancang aktiviti keluarga

Cara mengatasi obesiti kanak-kanak antiviti keluarga

Aktiviti yang menarik dapat memupuk minat kanak-kanak seperti beriadah dan bersenam di luar rumah dan mengadakan permainan yang menyeronokkan. Ini bukan sahaja dapat merapatkan lagi hubungan kekeluargaan tetapi juga dapat meningkatkan kesihatan mental dan fizikal kanak-kanak tersebut, dan mengelakkan obesiti kanak-kanak daripada berlaku.

Kajian menunjukkan terdapat bukti awal yang menunjukkan bahawa intervensi keluarga yang mensasarkan obesiti kanak-kanak berjaya menghasilkan penurunan berat badan dalam jangka pendek dan panjang. Melibatkan keluarga dalam rawatan penurunan berat badan kanak-kanak obes memerlukan pelaksanaan dan kajian lanjut.

Kurangkan aktiviti menggunakan gajet

Kita sering melihat kanak-kanak menggunakan gajet untuk bermain game, menonton video dan juga berkomunikasi dengan rakan mereka. Tindakan ini jika dibiarkan berlanjutan selama berjam-jam setiap hari boleh menyebabkan ketagihan dan mengurangkan pergerakan badan. 

Kajian menunjukkan pendedahan kepada media skrin boleh membawa kepada obesiti  kanak-kanak melalui peningkatan pengambilan tenaga, makan sambil menonton, dan pendedahan kepada pengiklanan makanan. Adalah penting untuk mempertimbangkan faktor-faktor ini apabila menangani kesan media skrin pada kesihatan kanak-kanak dan untuk membangunkan intervensi yang menggalakkan tabiat pemakanan yang lebih sihat dan mengurangkan tingkah laku yang tidak aktif. 

Tidur pada waktu yang ditetapkan

Tidur yang tidak mencukupi dapat membawa pelbagai masalah termasuk obesiti. Kanak-kanak yang tidak mendapat cukup tidur juga akan menjejaskan kesihatan fizikal dan mentalnya.

Kajian menunjukkan kanak-kanak yang tidur untuk tempoh yang lebih pendek atau tidak mencukupi, telah meningkatkan kemungkinan berat badan berlebihan atau obesiti, berbanding dengan mereka yang tidur untuk tempoh yang mencukupi.

Kesimpulan

Obesiti kanak-kanak di Malaysia semakin teruk dan ia telah mencecah sehingga 30% kanak-kanak berat berlebihan.

Berikut adalah simptom obesiti kanak-kanak:

  • Mendapan tisu lemak 
  • Acanthosis nigricans 
  • Sesak nafas ketika melakukan aktiviti fizikal
  • Akil baligh awal (perempuan) atau tertangguh (lelaki)
  • Apnea tidur

Berikut adalah punca obesiti kanak-kanak:

  • Diet dan gaya hidup yang tidak sihat
  • Kurang melakukan senaman dan aktiviti fizikal
  • Genetik
  • Sosioekonomi dan komuniti
  • Kesan pemasaran makanan

Berikut adalah cara mengatasi obesiti kanak-kanak:

  • Jadi contoh yang baik
  • Terangkan pemakanan yang tidak baik
  • Rancang aktiviti keluarga
  • Kurangkan aktiviti menggunakan gajet
  • Tidur pada waktu yang ditetapkan

Similar Posts

Tinggalkan Balasan