Buah Ciku: 13 Kebaikan, Khasiat dan Cara Makan Buah Ciku

Buah Ciku mengandungi banyak khasiat serta nutrient yang tersendiri. Buah ciku juga kaya dengan antioksidan dan memiliki banyak manfaat.

Jika sebelum ini anda makan buah ciku tanpa tahu manfaatnya, dalam artikel ini kami akan membincang semua tentang buah ciku termasuk kebaikan, khasiat, nutrisi, cara makan serta kesan sampingan.

Jom kita mulakan!

Kebaikan khasiat buah ciku infographic
Share this Image On Your Site By Copy and Paste the HTML Code

Apa itu buah ciku?

Buah Ciku Featured Image

Buah ciku, atau nama saintifiknya Manilkara zapota adalan buah yang berasal dari selatan Mexico, Amerika Tengah dan Caribbean. Buah yang dikenali juga sebagai sapodilla dalam bahasa Inggeris ini juga diperkenalkan di Filipina semasa penjajahan Sepanyol.  Buah ini ditanam secara besar-besaran di Mexico dan Asia, termasuklah Malaysia, Thailand, Bangladesh, Pakistan, Indonesia dan Thailand. 

Buah ciku boleh tumbuh sehingga lebih daripada 30 meter tinggi dengan diameter batang sehingga 1.5 meter. Pokok buah ciku tahan angin dan kulit kayunya kaya dengan lateks putih bergetah yang dipanggil chicle. Buah ciku berkulit nipis dan berwarna perang terang. Bentuknya seakan-akan buah kiwi.  Tekstur kulitnya pula sedikit kasar atau kesat apabila disentuh.

Setiap satu buah ciku mengandungi satu hingga enam biji ciku di dalamnya. Bijinya keras, berkilat, dan hitam, seakan-akan seperti kuaci dan mempunyai cangkuk pada salah satu hujung biji yang boleh tersangkut di kerongkong jika ditelan. Jadi, hati-hati ya.

Fakta nutrisi dan khasiat buah ciku

Berikut adalah fakta nutrisi untuk 100g buah ciku:

Makronutrien:

Kalori83 Kcal
Jumlah Karbohidrat20.0g
Serat (Karbohidrat)5.3g
Protein0.44g
Lemak1.10g

Mikronutrien (Vitamin):

Riboflavin (Vitamin B2)0.02 mg
Niacin (Vitamin B3)0.2 mg
Pantothenic acid (Vitamin B5)0.252 mg
Vitamin B60.037 mg
Folate (Vitamin B9)14 µg
Vitamin C14.7 mg

Mikronutrien (Mineral):

Calcium21 mg
Copper0.086 mg
Iron0.8 mg
Magnesium12 mg
Phosphorus12 mg
Potassium193 mg
Selenium0.6 µg
Sodium12 mg
Zinc 0.1 mg

13 kebaikan buah ciku

buah ciku kebaikan

1. Bersifat antiradang, antipiretik dan antimikrobial

Buah ciku dan sebatian tumbuhannya  bersifat antiradang yang dapat memberi banyak manfaat kepada kesihatan kita. Mengamalkan makanan yang bersifat antiradang dan dapat mengurangkan serangan bakteria ke atas organ badan dan melindungi diri daripada penyakit yang merbahaya. Bukan setakat buahnya tetapi daun buah ciku juga bersifat antiradang.

Kajian menunjukkan daun buah ciku menunjukkan aktiviti antiradang dan antipiretik yang boleh menjadi pilihan terapeutik terhadap penyakit radang dan pyrexia. Pyrexia, yang lebih dikenali sebagai demam adalah keadaan di mana peningkatan suhu badan seseorang individu melebihi dari normal.

Bahkan kajian lain menunjukkan 12 tumbuhan asli yang terdapat di pantai Yucatán di Timur Mexico termasuk buah ciku berpotensi untuk dijadikan sebagai produk makanan dan digunakan di dalam bidang farmaseutikal kerana bersifat antioksidan, antihipertensi, anti-hiperglisemik, dan antimikrobial.

2. Mengandungi antioksidan

Buah ciku kaya dengan tanin sebatian polifenol antioksidan. Tannin ialah keluarga komposit polifenol semulajadi yang dapat membantu melindungi kesihatan kita kerana terdapat kandungan polifenol yang tinggi.

Kajian menunjukkan ekstrak buah ciku mengandungi sebatian fenolik asid gallik dan kuersetin. Kedua-duanya mempunyai aktiviti antioksidan yang kuat.

Dalam kajian yang lain menunjukkan kulit kayu buah ciku berkemungkinan merupakan sumber antioksidan dan dapat menghalang enzim tyrosinase daripada berlaku. Ini yang menjadikan pokok buah ciku berpotensi untuk digunakan dalam produk kosmetik. Enzim tyrosinase dapat  membantu melindungi kulit anda dan menghalang pembentukan hiperpigmentasi.

3. Membantu kesihatan usus

Buah ciku berfungsi sebagai laksatif yang dapat membantu untuk membersihkan najis kerana kandungan serat makanan yang tinggi dan juga membantu dengan penyakit penghadaman lain, seperti cirit-birit, pedih ulu hati, keradangan saluran makanan, gastritis dan lain-lain.

Kajian menunjukkan buah ciku wajar diterokai kerana kepentingannya kepada industri farmaseutikal kerana bersifat antidiarrheal, antisecretory, antispasmodic, antimotility, dan antiulser.

Kebanyakan perubahan histopatologi dalam tisu gastrik dan gangguan yang berkaitan dalam antibodi poliklonal yang berkaitan, sebahagian besarnya dihalang oleh ekstrak buah ciku. Ini membuka jalan kepada pendekatan terapeutik baharu ke arah pengurusan mucositis gastrik yang disebabkan oleh keradangan.

4. Mengurangkan risiko diabetes

Selain daun buah ciku dan kulit pokok buah ciku, kulit buah ciku juga mempunyai potensi untuk mengurangkan risiko diabetes. Kajian menunjukkan kulit buah ciku mempunyai potensi untuk digunakan dalam pengurusan pemakanan pesakit Diabetes mellitus (DM) dan berkemungkinan dapat mencegah penyakit ini daripada berlaku. 

Kajian yang lain menunjukkan ekstrak etanol daripada biji dan ekstrak metanol daripada daun buah ciku dapat menurunkan paras glukosa dalam darah dengan mengawal pengeluaran insulin.

5. Mengurangkan risiko kanser

Kandungan antioksidan yang tinggi dalam buah ciku berpotensi untuk mengurangkan risiko pelbagai jenis kanser. Ia mengandungi tahap vitamin A dan B yang sihat yang membantu dalam penyelenggaraan beberapa lapisan mukus dalam badan. Ini dapat membantu mengurangkan risiko kanser paru-paru dan mulut.

Kajian menunjukkan ekstrak metanol daun buah ciku berkemungkinan boleh bertindak sebagai sebagai antiserviks kanser. Ekstrak metanol pada sel epitelium dapat menyekat pembiakan lesi kanser dalam konteks kemopencegahan kanser.

Kajian lain pula menunjukkan bahawa ekstrak air daun buah ciku menawarkan potensi besar melawan kanser hati melalui modulasi pelbagai laluan isyarat. Ekstrak air daun buah ciku boleh merangsang apoptosis awal dalam sel HepG2 melalui modulasi laluan mitokondria intrinsik dan penindasan metastasis. HepG2 ialah barisan sel kanser hati manusia.

6. Tinggi kandungan serat

Buah ciku mengandungi sumber serat yang sangat baik dan nutrien yang penting untuk kesihatan usus, kesihatan jantung dan pengawalan berat badan. Kajian menunjukkan setiap 100gram buah ciku terdapat lebih kurang 5.3 ke11.5 gram kandungan serat. 

Kajian yang lain menunjukkan pengambilan buah ciku dan buah-buahan, sayu-sayuran dan kekacang lain yang tinggi serat boleh membantu anda mencapai cadangan serat harian dan mengurangkan risiko keadaan kesihatan tertentu seperti kanser kolon dan penyakit jantung.

Satu kajian menarik menunjukkan CChFP iaitu concentrated chiku fiber powder atau serbuk serat buah ciku boleh ditambah ke dalam formulasi biskut sebagai sumber yang kaya dengan serat, polifenol serta antioksidan dan sekaligus menambahkan nutrisi biskut. Penambahan CChFP ke dalam biskut adalah salah satu pendekatan unik dalam penyediaan biskut untuk mereka yang mementingkan kesihatan.

7. Mengurangkan kandungan gula dan kolesterol dalam darah

Buah ciku berkemungkinan mempunyai potensi mengurangkan kandungan gula dalam darah dan penurunan kolesterol. 

Satu kajian mendapati dengan pengambilan jus buah ciku selama 50 hari dapat merawat tikus dengan mengurangkan kadar lemak dan gula darah dengan ketara. Ini juga kerana serat di dalam buah ciku dapat membuatkan anda berasa kenyang dan mengawal paras gula dan kolesterol dalam darah.

8. Menguatkan sistem imun 

Buah ciku kaya dengan vitamin C yang dapat dapat meningkatkan imuniti anda. Polifenol yang terdapat dalam sapota boleh melawan toksin yang memudaratkan dan mengurangkan risiko penyakit. Ia juga mempunyai ciri antibakteria dan antivirus yang bertindak sebagai melindungi sistem daripada mikrob berbahaya.

Kajian menunjukkan vitamin C ialah antioksidan yang kuat yang dapat membantu melindungi sel-sel anda daripada kerosakan oksidatif yang mungkin menjadi penyebab anda mudah mendapat penyakit.

9. Dapat membantu mengurangkan masalah artritis

Buah ciku mengandungi sebatian tumbuhan yang kuat, serta pelbagai vitamin dan mineral. Kajian menunjukkan buah ciku telah digunakan secara tradisional dalam pelbagai penyakit termasuk artritis, dan berfungsi sebagai agen antikulat.

Selain dari itu, kandungan tembaga dalam buah ciku yang bersifat antiradang dapat mengurangkan kekakuan dan sakit sendi.

10. Mengandungi kalium atau potassium

Buah ciku juga adalah sumber kalium yang baik iaitu jenis mineral yang kurang dalam diet kita. Anda memerlukan kalium untuk fungsi sistem saraf, peraturan tekanan darah dan banyak lagi.

Kajian menunjukkan kandungan kalium yang terlalu sedikit boleh membahayakan kesihatan anda termasuk dengan meningkatkan risiko strok dan penyakit jantung.

Kalium dapat membantu mengeluarkan natrium daripada badan anda, lebih banyak kalium yang anda ada, lebih banyak natrium badan anda dapat menyingkirkan melalui air kencing. Bagi sesetengah individu, natrium berlebihan dapat meningkatkan tekanan darah, risiko penyakit jantung serta strok.

11. Mengandungi magnesium

Setiap 100 gram buah ciku mengandungi lebih kurang 12mg magnesium. Magnesium dapat meredakan pelbagai kesakitan badan seperti sakit otot. Magnesium juga penting untuk darah dan saluran darah.

Magnesium terlibat dalam aspek fizikal dan kimia bagi sistem peredaran darah anda, ia diperlukan untuk merangsang perubahan saluran dalam darah untuk memudahkan pergerakan darah dalam badan. 

Kajian menunjukkan keseimbangan magnesium yang optimum  dapat membantu untuk mencegah keradangan dan masalah kesihatan berkaitan dengan ketidakcukupan magnesium. 

Dalam kajian lain pula menunjukkan magnesium boleh mengambil peranan sebagai analgesik atau penahan sakit terhadap pelbagai kesakitan akut dan kronik. Pengambilan magnesium atau suplemen magnesium boleh memperbaiki beberapa keadaan penyakit seperti osteoarthritis, gangguan neurologi, dan penyakit kardiovaskular. 

12. Meningkatkan kandungan zat besi dan kesihatan tulang 

Kandungan zat besi yang tinggi di dalam buah ciku dapat membantu menghentikan penyusutan kandungan hemoglobin dalam darah. Buah ciku juga dapat membantu mengekalkan kulit yang sihat, cerah dan bebas kedutan.

Mengikut kajian, zat besi adalah penting kerana ia mengambil bahagian dalam pelbagai proses metabolik, termasuk pengangkutan oksigen, sintesis asid deoksiribonukleik (DNA), dan pengangkutan elektron.

Kekurangan zat besi boleh menyebabkan pelbagai penyakit kronik. Kajian menyatakan kekurangan zat besi berlaku dalam banyak keadaan keradangan kronik, termasuk kegagalan jantung kongestif, penyakit buah pinggang kronik dan penyakit radang usus.

13. Memberi tenaga dan tinggi kandungan karbohidrat

Buah ciku adalah buah yang tinggi kalori. Setiap 100gm menghasilkan kira-kira 83Kcal dari segi tenaga. Ia mengandungi kira-kira 20gm karbohidrat,  rendah lemak dan tanpa kolesterol.

Kandungan karbohidrat yang tinggi dan nutrien penting di dalam buah ciku menawarkan banyak manfaat kepada ibu hamil dan penyusuan bayi kerana dapat memberikan tenaga dan gejala lain semasa hamil seperti loya, pening.

Kajian menunjukkan subkumpulan di dalam kajian mengesan pengambilan karbohidrat terhadap prestasi latihan kekuatan dan rintangan mendapati  bahawa manipulasi karbohidrat mungkin bermanfaat dalam konteks tertentu, iaitu ketika latihan berpuasa, senaman dengan lebih daripada 10 set setiap kumpulan otot dan latihan dwi-harian.

Apa kesan sampingan buah ciku

Walaupun buah ciku terdapat banyak khasiat, individu tertentu perlu berhati-hati apabila memakan buah ini.  Ada kajian yang menunjukkan sesetengah orang akan mendapat alahan daripada buah ciku dan perlu mengelak dari memakan buah ini. Berikut adalah kesan sampingan buah ciku yang anda perlu tahu:

  • Boleh menyebabkan anafilaksis: Menurut penyelidikan yang lebih lama dan baru,  buah ciku mengandungi protein tertentu yang boleh menyebabkan reaksi alahan dan juga anafilaksis pada orang tertentu. Anafilaksis adalah suatu jenis alahan yang sangat serius dan boleh mendatangkan maut.\
  • Biji buah ciku jangan ditelan: Anda harus juga berhati-hati untuk tidak tertelan biji ciku kerana bentuk cangkuk kecil di hujung bijinya boleh menyebabkan anda tercekik. Seelok-eloknya anda potong buah ciku dan buang bijinya terlebih dahulu sebelum makan.
  • Masalah pencernaan: Ada juga yang mengalami masalah pencernaan apabila memakan buah ciku secara berlebihan.

Cara makan buah ciku

cara makan buah ciku

Nikmatilah buah ciku apabila buahnya sudah masak. Apabila anda menekan buah ciku dan teksturnya lembut, itu tandanya buah itu sudah sedia untuk dimakan.

Buang kulitnya, potong buah ciku kepada dua atau mengikut citarasa anda, cedok bijinya, dan nikmatilah rasanya yang manis. Ada yang menyimpan buah ciku yang telah dipotong di dalam peti sejuk sebelum menjamu selera. Makan buah ciku yang sejuk lebih sedap ketika cuaca yang panas .

Anda juga boleh memasukkann buah ciku ke dalam resipi seperti ais krim, jem, salad buah-buahan, sirap, adunan kek dan kastard.

Ia juga boleh dicampurkan ke dalam smoothie, jus atau susu untuk menambah nutrisi minuman dan sebagai manisan semulajadi. 

Kesimpulan

Sekiranya anda mahu cari snek yang lazat dan berkhasiat, maka buah ciku adalah salah satu pilihan yang bagus. 

Ia kaya dengan pelbagai nutrien, serat, antioksidan dan sesuai dimakan oleh semua golongan usia. buah ciku juga mempunyai banyak manfaat seperti :

  1. Bersifat antiradang, antipiretik dan antimikrobial
  2. Mengandungi antioksidan
  3. Membantu kesihatan usus
  4. Mengurangkan risiko diabetes
  5. Mengurangkan risiko kanser
  6. Tinggi kandungan serat
  7. Mengurangkan kandungan gula dan kolesterol dalam darah
  8. Menguatkan sistem imun 
  9. Dapat membantu mengurangkan masalah artritis
  10. Mengandungi kalium atau potassium
  11. Mengandungi magnesium
  12. Meningkatkan kandungan zat besi dan kesihatan tulang 
  13. Memberi tenaga dan tinggi kandungan karbohidrat

Jika anda minat dengan khasiat atau kebaikan buah lain, boleh layari di bawah:

Similar Posts

Tinggalkan Balasan