Buah Pisang : 15 Kebaikan, Khasiat dan Cara Makan

Selain enak dimakan, buah pisang juga mengandungi banyak kelebihan dan khasiat dan tersendiri kepada aspek kesihatan.

Jika sebelum ini anda menikmati tanpa mengetahui manfaatnya, kali ini kami akan bincangkan tentang buah pisang termasuklah khasiat nutrisi, kebaikan, kesan sampingan dan cara untuk memakannya.

Jom kita mulakan!

khasiat pisang infographic
Share this Image On Your Site By Copy and Paste the HTML Code

Apa itu buah pisang?

Buah Pisang featured image

Pisang merupakan sejenis buah yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat kita. Sebut sahaja nama buah ini, pasti dikenali oleh setiap peringkat umur dan masyarakat. 

Nama saintifiknya adalah Musa paradisiaca, berasal dari keluarga tumbuhan Musaceae. Pisang mempunyai kulit yang berwarna hijau atau kuning bergantung kepada tahap kematangan serta jenisnya. Isi buahnya pula berwarna putih kekuningan.

Seperti diketahui umum, terdapat pelbagai jenis pisang mudah didapati di Malaysia. Antaranya seperti pisang emas, tanduk, berangan, abu dan lain-lain. Buah ini juga popular menjadi bahan utama dalam penyediaan aneka juadah.

Selain itu, pisang juga menjadi pilihan di seluruh pelusuk dunia kerana mempunyai banyak zat, khasiat dan nutrisi yang bagus untuk kesihatan.

Fakta nutrisi dan khasiat buah pisang

Berikut adalah fakta nutrisi untuk 100g buah pisang:

Makronutrien:

Kalori89 Kcal
Jumlah Karbohidrat22.8g
Serat (Karbohidrat)2.6g
Protein1.09g
Lemak0.33g

Mikronutrien (Vitamin):

Thiamin (Vitamin B1)0.031 mg
Riboflavin (Vitamin B2)0.073 mg
Niacin (Vitamin B3)0.665 mg
Pantothenic acid (Vitamin B5)0.334 mg
Vitamin B60.367 mg
Folate (Vitamin B9)20 µg
Vitamin C8.7 mg

Mikronutrien (Mineral):

Calcium5 mg
Copper0.078 mg
Iron0.26 mg
Phosphorus22 mg
Magnesium27 mg
Potassium358 mg
Sodium1 mg
Zinc 0.15 mg

Mikronutrien (Fitonutrien):

Beta Carotene28 µg
Lutein + zeaxanthin22 µg

15 khasiat buah pisang yang ramai tidak tahu

Buah pisang sememangnya kaya dengan mineral, vitamin dan zat nutrien. Maka tidak hairanlah jika ia mampu tawarkan banyak manfaat untuk kesihatan tubuh kita.

Jom semak 15 khasiat dan kebaikan buah pisang :

1. Menurunkan tekanan darah

Tekanan darah tinggi atau hipertensi merupakan antara keadaan yang sangat bahaya kepada manusia. Jika tidak dikawal, ia boleh meningkatkan risiko penyakit jantung dan strok.

Namun manfaat buah pisang mampu menurunkan tekanan darah secara semulajadi, disebabkan mengandungi potasium yang tinggi. Ia terbukti sebagai mineral yang menyebabkan saluran darah untuk mengembang lalu menurunkan tekanan darah.

Selain itu, kandungan natrium di dalam pisang juga sangat rendah. Oleh itu, buah ini sesuai untuk diambil oleh pesakit hipertensi.

2. Meningkatkan daya tahan tubuh

Seseorang individu akan mudah terdedah kepada penyakit jika sistem imuniti lemah. Justeru, daya tahan tubuh boleh dipertingkatkan melalui pengambilan vitamin C.

Selain karbohidrat, buah pisang juga kaya dengan kandungan Vitamin C. Bagi setiap 100g pisang, terdapat sekitar 17mg vitamin C. Ini merupakan satu jumlah yang tinggi dan mampu untuk memenuhi hampir 25% keperluan vitamin C seharian kita. 

Vitamin C merupakan salah satu komponen yang bersifat antioksidan dan mampu untuk meningkatkan sistem pertahanan badan. Ia menyokong sel darah putih untuk melawan sebarang ancaman kuman.

3. Bagus untuk kesihatan mata

Selain itu, pengambilan pisang juga bagus untuk menjaga kesihatan mata. Ini kerana kandungan beta-karoten yang sangat tinggi terdapat pada buah tersebut.

Apabila dimakan, komponen ini akan diubah menjadi vitamin A oleh tubuh. Ia bukan sahaja bagus untuk merawat masalah jangkitan mata, malah mampu menajamkan lagi daya penglihatan anda.

Kajian turut menunjukkan, pisang yang mempunyai isi berwarna kuning mempunyai kadar beta-karoten yang lebih tinggi berbanding isi berwarna putih. Justeru, ini juga boleh dijadikan sebagai indikator untuk memaksimumkan vitamin A dalam tubuh.

4. Mengatasi masalah sembelit

Buah pisang mampu mencegah masalah sembelit ataupun kesukaran untuk membuang air besar. Kandungan serat tidak terlarut yang terdapat di dalamnya akan mengeraskan kepada penambahan isipadu najis, seterusnya mencegah sembelit.

Selain itu, pisang juga membantu menyerap air di dalam kolon yang berfungsi untuk mengeraskan najis anda.

5. Baik untuk kesihatan jantung

Selain merendahkan tekanan darah, kandungan potasium yang terdapat dalam pisang juga terbukti mampu mengurangkan risiko penyakit jantung sebanyak 27%.

Buah ini turut mengandungi antioksidan yang kuat seperti dopamin, katekin dan kuersetin. Kesemua sebatian bioaktif ini bagus untuk kesihatan jantung kerana dapat menjauhkan penyakit kardiovaskular.

6. Rasa kenyang yang lebih lama

Di samping rendah kalori, buah ini juga boleh jadi makanan diet yang ideal untuk mereka yang sedang menurunkan berat badan. Ini kerana ia turut mengandungi serat dan pektin.

Kedua-duanya membantu lambatkan proses pengosongan perut. Dengan rasa kenyang yang lebih lama, ini sekaligus dapat menghalang anda dari makan berlebihan atau selesa untuk berpuasa.

7. Memperbaiki mood dan emosi gembira

Tahukah anda bahawa dengan memakan pisang, boleh mengurangkan rasa tekanan atau stres. Ini kerana ia mengandungi sejenis protein iaitu tryptophan.

Kajian mendapati, tubuh menukarkan tryptophan kepada serotonin. Hormon inilah yang bertindak memperbaiki mood dan menyebabkan kita berasa gembira.

Selain itu, kadar vitamin B yang terdapat dalam pisang pula dapat membantu menenangkan sistem saraf.

8. Mencegah ulser dalam perut

Bagi mereka yang tidak tahu, buah pisang amat baik dalam pencegahan ulser kerana ia bersifat lembut dan tidak mencederakan organ dalaman.

Ia mengandungi komponen leucocyanidin yang bertindak sebagai peneutral lebihan asid. Komponen ini meransang penghasilan mucus di dinding perut, lalu menghalang hakisan yang disebabkan oleh asid.

9. Mencegah anemia

Anemia adalah penyakit di mana badan tidak mempunyai sel darah merah yang cukup. Hal ini terjadi kerana kekurangan zat besi yang bertanggungjawab dalam penghasilan sel darah merah. 

Pesakit akan sering mengalami keletihan kerana kekurangan sel darah merah untuk mengangkut oksigen ke sel badan. Namun tahukah anda, pisang merupakan buah yang terkenal dengan kandungan vitamin C dan zat besinya untuk mencegah anemia.

Satu kajian menunjukkan bahawa, sekumpulan pesakit anemia yang diberi vitamin C mengalami peningkatan dalam kualiti hidup mereka.

10. Mengurangkan paras kolesterol

Seperti kandungan gula dan tekanan darah, paras kolesterol juga perlu dikekalkan pada tahap optimum. Sekiranya didapati tinggi, ia boleh membuatkan seseorang berisiko menghidap penyakit kronik seperti strok dan sakit jantung.

Pisang mengandungi phytosterols, iaitu sejenis sterol yang terdapat pada tumbuhan. Sterol ini terbukti untuk mengurangkan paras kolesterol dalam darah.

Buah ini juga mengandungi sejumlah kecil inulin. Serat jenis ini terbukti meningkatkan perkembangan bakteria baik dalam usus dan mengurangkan penyerapan kolesterol apabila melalui saluran pencernaan.

11. Menguatkan akar rambut

Sama seperti vitamin dan mineral, pisang juga mempunyai emolien yang bermanfaat untuk menjaga kesihatan rambut. Khasiatnya terbukti melembapkan kulit kepala dan  menguatkan akar rambut.

Selain itu, pisang juga mengandungi minyak semulajadi yang sangat diperlukan oleh rambut. Dengan cara itu rambut menjadi lebih berkilat, kuat dan mampu mengatasi masalah rambut kerinting.

12. Merawat kulit wajah

Pisang mempunyai banyak khasiat tersendiri untuk kecantikan kulit. Kaya dengan vitamin B, C, B6, magnesium, dan zat besi, ia dapat membantu dalam proses merawat wajah secara semula jadi.

Buah ini juga mampu menyingkirkan sebum atau minyak berlebihan pada permukaan kulit. Ia turut mengandungi kalsium, vitamin E dan C yang melembapkan kulit supaya bersih berseri. 

Jika anda mengalami masalah kulit berminyak, gunakan topeng muka pisang dengan jus lemon dan madu.

13. Mengurangkan risiko asma

Asma atau lelah adalah penyakit jangka panjang yang kronik. Ciri utama penyakit ini ialah pengecutan saluran udara dalam paru-paru yang berpunca daripada inflamasi dan menyebabkan pesakit sukar bernafas.

Tahukah anda, memakan pisang juga berpotensi untuk mengurangkan risiko asma. Satu kajian mendapati, pengambilan sebiji pisang sehari sudah cukup untuk menurunkan risiko dapat penyakit asma.

14. Pemberi tenaga segera

Pisang juga mengandungi jumlah karbohidrat yang tinggi. Ia merupakan makronutrisi yang berfungsi untuk membekalkan tenaga kepada tubuh dalam masa singkat. 

Bagi individu yang aktif bersukan dan melakukan kerja berat, pisang menjadi pilihan mereka kerana merupakan sumber tenaga yang banyak dan cepat.

15. Mengurangkan cirit-birit

Cirit-birit merupakan antara masalah yang sering terjadi pada pesakit yang diberi makanan melalui tiub (tube feeding). Oleh itu, rumusan cecair yang diberi perlu dipastikan mencukupi dari segi tenaga, serat dan zat makanan.

Namun satu kajian yang dijalankan ke atas sekumpulan pesakit kritikal mendapati, pengambilan serbuk pisang kering (banana flakes) bersama rawatan perubatan mampu mengurangkan gejala cirit-birit dalam kalangan mereka.

Kesan sampingan buah pisang

Secara umumnya, buah pisang selamat untuk dimakan oleh manusia di setiap peringkat umur. Banyak manfaat diperolehi tubuh jika dimakan secara teratur dan berkala.

Walaupun ia mempunyai banyak nilai pemakanan yang hebat, tapi makan pisang berlebihan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti :

Menyebabkan migrain

Pisang mengandungi tirosin, sejenis asid amino yang ketika masuk ke dalam tubuh berubah menjadi tyramine. Jika jumlah pengambilannya terlalu banyak, tyramine ini akan menyebabkan gejala sakit kepala seperti migrain. 

Jika anda sudah menghidap migrain dalam masa yang lama, sebaiknya dapatkan terus rawatan dari doktor.

Menghidap hiperkalemia

Sekiranya pisang dimakan terlalu banyak, anda juga dikhuatiri akan menghidap hiperkalemia. Ia adalah keadaan apabila jumlah potasium dalam darah lebih tinggi daripada biasa.

Hiperkalemia boleh menyebabkan degupan jantung yang tidak teratur, otot lemah, dan lumpuh sementara. Jika mempunyai penyakit buah pinggang, anda mungkin berisiko tinggi untuk dapat penyakit ini.

Risiko kenaikan gula darah yang terlalu tinggi

Selain itu, pengambilan pisang berlebihan juga berisiko menyebabkan kenaikan gula darah yang tinggi. Ia disebabkan buah ini tinggi kandungan kanji dan gula.

Namun memandangkan nilai indeks glisemik pisang rendah, pengambilan secara sederhana seharusnya tidak meningkatkan kadar gula dalam darah.

Pun begitu, penghidap diabetes disaran harus sentiasa berhati-hati serta elakkan daripada makan pisang dalam kuantiti terlalu banyak.

Cara makan buah pisang

Kaedah pengambilan buah ini juga penting bagi memperoleh khasiat maksimum. Pasti anda tertanya-tanya bagaimana cara yang betul untuk menjamah pisang. 

Selain enak dimakan begitu sahaja, buah tropika ini juga boleh diolah dengan pelbagai cara seperti :

Hiasan pencuci mulut

Tekstur manis terdapat pada isi buah pisang membuatkan ia sangat sesuai untuk dijadikan sebagai hiasan pencuci mulut.

Sama ada juadah aiskrim, kek, puding dan bermacam lagi, kehadiran buah pisang menjadikannya lebih lazat dan istimewa.

Kuih tradisional berasaskan pisang

Cara Makan Buah Pisang Goreng

Di Malaysia, pisang juga sering dijadikan sebagai bahan utama untuk membuat aneka kuih-muih tradisional. Antaranya seperti pengat pisang, cekodok pisang, lepat pisang, pisang goreng, dan bermacam lagi.

Bukan sahaja enak dinikmati bersama air teh pada waktu petang, tubuh anda juga boleh menyerap pelbagai nutrisi khasiat ditawarkan oleh buah pisang.

Jus atau susu pisang

cara makan buah pisang jus pisang

Buah yang kaya dengan pelbagai khasiat vitamin ini juga boleh diproses menjadi jus atau susu pisang.

Selain rendah kalori, minuman berasaskan pisang juga mampu memberi tenaga dan melancarkan sistem penghadaman secara semulajadi.

Kesimpulan

Sekiranya anda mahu cari snek buah yang lazat dan berkhasiat, buah pisang merupakan pilihan yang sangat tepat. 

Ia kaya dengan pelbagai nutrien, serat, vitamin dan sesuai dimakan oleh semua peringkat usia. Buah pisang juga mempunyai banyak manfaat lain seperti :

  1. Menurunkan tekanan darah
  2. Meningkatkan daya tahan tubuh
  3. Bagus untuk kesihatan mata
  4. Mengatasi masalah sembelit
  5. Baik untuk kesihatan jantung
  6. Rasa kenyang yang lebih lama
  7. Memperbaiki mood dan emosi gembira
  8. Mencegah ulser dalam perut
  9. Mencegah anemia
  10. Mengurangkan paras kolesterol
  11. Menguatkan akar rambut
  12. Merawat kulit wajah
  13. Mengurangkan risiko asma
  14. Pemberi tenaga segera
  15. Mengurangkan cirit-birit.

Jika anda minat dengan khasiat atau kebaikan buah lain, boleh layari di bawah:

Similar Posts

Tinggalkan Balasan