Buah Dabai: 12 Kebaikan, Khasiat dan Cara Makan Dabai

Buah dabai sememangnya enak dimakan. Ia juga mengandungi banyak khasiat dan kelebihan tersendiri terhadap aspek kesihatan.

Jika sebelum ini anda menikmati tanpa mengetahui manfaatnya, kali ini kami akan bincangkan mengenai buah dabai termasuk khasiat nutrisi, kebaikan, kesan sampingan dan cara untuk memakannya.

Jom kita mulakan!

Apa itu buah dabai?

buah dabai Canarium odontophyllum sibu olive

Buah dabai atau nama saintifiknya Canarium odontophyllum adalah pokok berbuah daripada genus Canarium dalam keluarga Burseraceae. Buah dabai berasal dari Borneo dan dikenali sebagai kembayau di Brunei dan Sabah. Ia juga dikenali sebagai “Sibu olive”.

Kini, dabai banyak ditanam di petak dusun di seluruh negeri Sarawak. Ia adalah buah bermusim yang juga makanan istimewa di Sarawak. Setiap tahun, Sarawak akan mengadakan perayaan khusus yang di namakan Pesta Dabai di Song, Sarawak sejak tahun 2018. 

Mengikut Dr. Chua Hun Pin dan Nicholas Daniel dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), buah dabai sangat halus dan ini menyebabkan ia mudah rosak.

Jangka hayat buah dabai yang pendek membuatkan proses pengedaran dan pemasarannya terpaksa dihadkan pada kawasan tertentu. Pasaran eksport buah dabai segar pada masa ini hanya terhad kepada pekan berhampiran di Sabah dan Brunei sahaja.

Fakta nutrisi dan khasiat buah dabai

Berikut adalah fakta nutrisi untuk 100g buah dabai:

Makronutrien:

Kalori399 Kcal
Jumlah Karbohidrat17g – 30g
Serat (Karbohidrat)9.5g – 19g
Protein3.0 – 4.8g
Lemak6.5 – 27.7g

Mikronutrien (Mineral):

Calcium200 mg
Copper0.2 – 0.5 mg
Iron1.3 mg
Phosphorus65 mg
Magnesium106 mg
Potassium810 mg
Sodium2 mg
Zinc 0.7 – 0.9 mg

12 khasiat & kebaikan buah dabai

khasiat buah dabai

1. Membantu untuk mengurangkan kolesterol

Buah dabai mengandungi kandungan asid lemak yang tinggi. Maka tidak hairanlah jika minyak buah dabai merupakan minyak yang sihat dan digemari kerana mengandungi lebih daripada 50% asid lemak tak tepu tunggal dan asid lemak tidak tepu.

Asid lemak dapat membantu anda kelihatan cantik kerana diet yang rendah asid lemak boleh menimbulkan masalah kulit seperti ekzema, kelemumur, kuku terbelah dan rambut rapuh. Asid lemak dapat membantu untuk memecahkan kolesterol.

Kajian menunjukkan makanan yang mengandungi PUFAs (polyunsaturated fatty acids) atau adis lemak tidak tepu yang  tinggi berkemungkinan mempunyai potensi manfaat terapeutik untuk mengurangkan penyerapan kolesterol. 

Dalam kajian lain menunjukkan asid lemak yang baik  boleh memberi kesan positif kepada kesihatan pengguna, mengurangkan risiko hiperkolesterolemia (penyakit kolesterol tinggi dalam darah) , aterosklerosis (keadaan di mana bahagian dalam arteri mengecil kerana pembentukan plak) , dan trombogenesis (keadaan di mana terdapat gumpalan darah (trombus) di pembuluh darah arteri). Kajian lanjut perlu dilakukan. 

2. Melindungi kesihatan jantung

Buah dabai mengandungi kandungan magnesium yang dapat mengurangkan risiko penyakit koronari jantung. Kajian menunjukkan kulit buah dabai dabai yang telah  dinyahlemakkan  mempunyai kesan kardioprotektif yang sederhana. Kardioprotektif bermaksud kulit buah dabai adalah bersifat melindungi jantung.

Kajian lain menunjukkan magnesium memainkan peranan penting dalam pengepaman natrium-kalium iaitu enzim yang terlibat dalam penjanaan impuls elektrik. Impuls elektrik ini adalah komponen penting untuk sistem kardiovaskular anda berfungsi.

3. Mengurangkan risiko penyakit kronik

Buah dabai mengandungi kandungan antioksidan yang tinggi. Kajian mendapati dapat buah dabai melambatkan proses pengoksidaan substrat boleh teroksida dengan ketara dan merangsang aktiviti terapeutik dalam beberapa penyakit, termasuk kanser, masalah hati, dan penyakit kardiovaskular.

 Penggunaan buah dabai telah terbukti berkesan untuk meningkatkan lipoprotein lipase dan kapasiti antioksidan, termasuk katalase, glutathione peroksidase, dan superoksida dismutase.

Kajian lain menunjukkan kulit buah dabai sebagai sumber utama antioksidan yang boleh menghalang peroksidaan lipid dan meningkatkan enzim selular antioksidan.

4. Menyokong kesihatan tulang

Buah dabai  mengandungi kalsium yang dapat menyokong kesihatan tulang anda. Kalsium adalah mineral yang menguatkan tulang dan gigi. Ia juga terlibat dalam fungsi badan yang lain, seperti menghantar isyarat saraf dan mengecutkan otot.

Kajian menunjukkan suplemen kalsium dapat meningkatkan jisim tulang dengan ketara. Kajian yang lain juga menunjukkan kalsium dalam buah dabai memainkan unsur penting dalam menguatkan pertumbuhan tulang.

5. Mengawal kandungan gula dalam darah

Esktrak daun buah dabai mempunyai kebaikan dalam mengawal kandungan gula dalam darah. Kajian menunjukkan ekstrak daun buah dabai boleh mengurangkan paras glukosa dalam darah. Saponin, terpenoid, dan flavonoid yang terdapat dalam ekstrak dabai boleh mempunyai kesan hipoglisemik untuk mengawal tisu pankreas dalam pengeluaran insulin dan memantau penyerapan glukosa.

Kajian yang lain juga menunjukkan ekstrak akueus daun buah dabai mempunyai sifat hipoglisemik dalam komplikasi diabetes dan berpotensi untuk mengawal diabetes.

6. Memberikan tenaga

Kandungan karbohidrat di dalam buah dabai dapat membantu untuk membentuk tenaga dalam badan anda. Kajian menunjukkan pengambilan karbohidrat adalah satu cara untuk mengelakkan kehilangan jisim otot yang berkaitan dengan kelaparan. Karbohidrat dapat membantu dalam mengurangkan pecahan otot dan membekalkan glukosa sebagai tenaga untuk otak.

Dalam kajian yang lain pula, kebanyakan sel dalam badan boleh menghasilkan ATP daripada beberapa sumber, termasuk karbohidrat dan lemak pemakanan. Tetapi jika anda mengambil diet dengan campuran nutrien ini, kebanyakan sel badan anda akan menggunakan karbohidrat sebagai sumber tenaga utama mereka.

ATP atau denosine triphosphat ialah molekul bahan api yang dihasilkan melalui proses kompleks yang dinamakan respirasi selular. ATP dihasilkan apabila glukosa dalam darah dibawa masuk ke dalam sel badan.

7. Membina otot dan membantu kesihatan mental

Buah dabai mengandungi protein yang diperbuat daripada asid amino. Asid amino mempunyai pelbagai kebaikan kepada badan antaranya membina otot dan melindungi kesihatan mental. 

Kajian menunjukkan pengambilan campuran asid amino atau protein berkualiti tinggi (dengan nisbah optimum leucine, isoleucine, dan valine) boleh merangsang muscle protein synthesis (MPS) atau sistesis protein otot dengan lebih berkesan pada orang yang lebih tua usianya. 


Kajian lain menunjukkan terdapat potensi kesan pengambilan lima jenis asid amino; Serine, Alanine, Glutamate, Aspartate, and Tyrosine (SAGAT) selama empat minggu ke atas motivasi dan fungsi kognitif dalam tempoh pemulihan selepas kerja mental sementara dilakukan. Pengambilan gabungan asid amino yang didapati berkesan untuk kesihatan mental dan berpotensi untuk mengekalkan motivasi dan fungsi kognitif yang betul pada pekerja pejabat. 

8. Bersifat Antibakteria dan antimalaria

Biji buah dabai bersifat antibakteria dan ekstrak daun buah dabai bersifat antimalaria.

Kajian mendapati biji dabai menunjukkan aktiviti antibakteria terhadap jangkitan yang berkaitan dengan Acinetobacter baumannii dan Proteus mirabilis. Penemuan menunjukkan bahawa buah dabai boleh menjadi sumber berharga untuk agen fitoterapeutik alternatif dengan potensi antimikrob.

Kajian lain pula menunjukkan ekstrak daun buah dabai dalam metanol boleh menghalang plasmodium pada 5% parasitemia pada peringkat morfologi yang berbeza, seperti trofozoit muda, trofozoit matang, dan schizont. Kajian ini menunjukkan bahawa ekstrak daun dabai boleh dikembangkan lagi menjadi ubat antimalaria.

9. Mengurangkan risiko kanser

Estrak aseton yang di dapati daripada kulit batang buah dabai dapat mengurangkan risiko kanser. 

Kajian menunjukkan ekstrak aseton daripada kulit batang buah dabai ini bersifat antiproliferatif  terhadap sel HCT 116 dan HT 29. Ini memberikan gambaran bahawa ekstrak ini boleh berfungsi sebagai agen antikanser terhadap kanser kolorektal.

Kajian yang lain juga menunjukkan ekstrak aseton daripada kulit batang buah dabai mempunyai potensi tinggi dalam pembentukan agen antikanser terhadap sel HCT 116 tanpa kesan sitotoksik terhadap sel fibroblas kolon manusia. 

10. Bersifat Antikolinesterase 

Buah dabai juga mengandungi acetylcholinesterase, enzim utama dalam pecahan acetylcholine. Acetylcholinesterase membantu dalam menyokong sistem saraf dalam memerangi kehilangan neuron kolinergik yang disebabkan oleh penyakit seperti penyakit Alzheimer.

Kajian menunjukkan antikolinesterase mempunyai potensi dalam membantu pengurusan Alzheimer. Kajian ini meneliti kesan α-Asarone iaitu sebatian kimia kelas fenilpropanoid yang terdapat dalam tumbuhan tertentu yang bersifat anti-kolinesterase dapat merawat penyakit amnesia.

Para pengkaji mendapati aktiviti asetilkolinesterase di kawasan korteks, hippocampus, dan striatum pada otak tikus amnesik telah dapat dikurangkan dengan rawatan α-asarone.

11. Melindungi kulit dan sistem kognitif

Buah dabai kaya dengan vitamin E terutamanya  γ-tokoferol dan α-tokoferol. Vitamin E mempunyai banyak manfaat kepada badan anda antaranya adalah melindungi kulit dan sistem kognitif. 

Kajian menunjukkan suplemen vitamin E mungkin boleh membantu untuk mereka yang mengalami gejala masalah kulit tertentu, seperti ekzema. Walau bagaimanapun, penyelidikan pada masa ini terhad, dan lebih banyak kajian diperlukan untuk mengetahui lebih lanjut tentang potensi manfaat ini.

Kajian lain menunjukkan tahap vitamin E yang optimum dan pengambilan makanan tambahan boleh membantu melindungi daripada penurunan sistem kognitif.

12. Menyokong sistem fungsi badan 

Buah dabai juga mengandungi lipid. Lipid berfungsi dengan menghasilkan tenaga dan melindungi organ penting seperti buah pinggang, jantung, limpa dan hati. Manfaat ini dapat meningkatkan kesihatan hati, otak dan penurunan berat badan. 

Mengikut kajian, lipid mempunyai pelbagai fungsi antaranya menyokong sel, melindungi sel saraf dan membantu menghasilkan hormon, termasuk estrogen, testosteron, dan kortisol. 

Selain itu, kajian menunjukkan lipid adalah komponen pemakanan sihat yang berpotensi untuk mempengaruhi kesihatan manusia, mengurangkan risiko penyakit dan meningkatkan kualiti hidup.

Faedah kesihatan termasuk mengurangkan kerentanan kepada penyakit jantung, obesiti, kemurungan, penyakit Alzheimer, penyakit Parkinson dan dermatitis atopik. Ia telah terbukti berkesan dan mudah didapati serta menjimatkan untuk dimasukkan ke dalam rantai makanan.

Apa kesan sampingan buah dabai

Setakat ini, tiada kajian yang menunjukkan buah dabai memberikan kesan sampingan kepada manusia. Tetapi anda haruslah berhati-hati apabila memakan buah ini kerana setiap makanan yang kita makan termasuk buah-buahan berkemungkinan mempunyai kesan sampingan kepada kesihatan kita.

Berikut adalah kemungkinan kesan sampingan yang mungkin berlaku jika kita memakan buah dabai:

  • Hipoglisemia: Buah dabai mengandungi sebatian yang boleh menurunkan paras gula dalam darah. Ini agak berbahaya kepada individu yang mengambil ubat diabetes atau yang mempunyai paras gula darah rendah.
  • Gangguan gastrousus: Pengambilan buah dabai mempunyai kemungkinan boleh menyebabkan sakit perut, cirit-birit, dan muntah kepada sesetengah individu.
  • Ketoksikan hati: Buah dabai mengandungi sebatian yang boleh merosakkan hati. Ini adalah kesan sampingan yang serius kerana boleh menyebabkan kegagalan hati.

Seeloknya, jika anda berasa ragu-ragu untuk mencuba buah-buahan eksotik seperti buah dabai, hendaklah anda bertanya kepada doktor kesihatan anda terlebih dahulu sebagai langkah berjaga-jaga. 

Terdapat kajian kesan sampingan buah dabai terhadap ikan Mahseer. Mengikut kajian, minyak buah dabai tidak sesuai untuk dianggap sebagai sumber lipid diet untuk ikan Mahseer pada tahap juvana. Juvana bermaksud spesimen mana-mana spesies akuatik yang belum mencapai kematangan seksual.

Walaupun tiada kematian ikan dilaporkan semasa kajian dijalankan, pemberian jangka panjang minyak buah dabai secara keseluruhan adalah lebih memudaratkan kepada kesihatan ikan. 

Cara makan buah dabai

cara makan buah dabai

Buah dabai juga dikenali sebagai “zaitun Sarawak”. Ia boleh dimakan secara:

  • Mentah atau dicelur
  • Dimakan bersama gula, garam atau kicap semasa dihidangkan.
  • Menjadi bahan tambahan dalam sos dan resipi nasi goreng. 
  • Dijadikan pes
  • Dikeringkan dan dikisar menjadi serbuk untuk digunakan dalam makanan dan minuman. 
  • Secara komersial, buah dabai boleh dicampurkan kedalam piza, pencuci mulut, jus, dan juga mayonis.

Kesimpulan

Buah dabai kaya dengan pelbagai nutrien, serat, vitamin dan sesuai dimakan oleh semua peringkat usia. Buah dabai juga mempunyai banyak manfaat lain seperti :

  1. Membantu untuk mengurangkan kolesterol
  2. Melindungi kesihatan jantung
  3. Mengurangkan risiko penyakit kronik
  4. Menyokong kesihatan tulang
  5. Mengawal kandungan gula dalam darah
  6. Memberikan tenaga
  7. Membina otot dan membantu kesihatan mental 
  8. Bersifat Antibakteria dan antimalaria
  9. Mengurangkan risiko kanser
  10. Bersifat Antikolinesterase 
  11. Melindungi kulit dan sistem kognitif
  12. Menyokong sistem fungsi badan 

Jika anda minat dengan khasiat atau kebaikan buah lain, boleh layari di bawah:

Similar Posts

Tinggalkan Balasan