Buah Salak: 10 Kebaikan, Khasiat dan Cara Makan Buah Salak

Buah salak atau dikenali juga sebagai ‘snake fruit’ bukan sahaja mempunyai isi yang berasa manis. Ia turut kaya dengan pelbagai nutrisi dan cukup bermanfaat kepada manusia.

Jika sebelum ini anda menikmati buah salak tanpa mengetahui khasiatnya, kali ini kami akan membincangkan semua mengenainya termasuklah nutrisi, kebaikan, khasiat, kesan sampingan dan cara untuk memakannya.

Jom kita mulakan.

buah salak infographic
Share this Image On Your Site By Copy and Paste the HTML Code

Apa itu buah salak?

buah salak featured image

Buah salak atau nama saintifiknya Salacca Zalacca termasuk dalam keluarga pokok palma, yang sama dengan tanaman pinang, kurma, kelapa dan kelapa sawit. Ia merupakan tanaman asli dari Indonesia. Bagaimanapun, penanaman buah ini telah lama meluas ke beberapa negara Asia lain seperti Malaysia, Filipina, Thailand, Myanmar dan China.

Buahnya mempunyai kulit yang berwarna merah, berbulu halus dan permukaan kasar. Disebabkan kulitnya seakan-akan sisik ular, oleh itu masyarakat Barat menggelarnya sebagai ‘snake fruit’.

Selain itu, isinya pula berwarna putih kekuningan. Buah salak mempunyai rasa yang agak unik, iaitu manis bercampur dengan masam dan kelat.

Walaupun kurang popular di pasaran Malaysia jika dibandingkan dengan buah-buah lain, tapi salak memiliki kandungan zat yang cukup tinggi. Selain dimakan segar, buahnya juga boleh diproses menjadi jus, jeruk atau manisan dan tubuh anda masih mendapat khasiatnya.

Fakta nutr/isi dan khasiat buah pala

Berikut adalah fakta nutrisi untuk 100g buah salak:

Makronutrien:

Kalori55 Kcal
Jumlah Karbohidrat12.8g
Serat (Karbohidrat)3.2g
Protein0.4g
Lemak0.2g

Mikronutrien (Vitamin):

Thiamin (Vitamin B1)0.04 mg
Riboflavin (Vitamin B2)0.03 mg
Vitamin C58 mg

Mikronutrien (Mineral):

Calcium6 mg
Copper0.2 mg
Iron0.5 mg
Phosphorus46 mg
Potassium113 mg
Sodium39 mg
Zinc 0.3 mg

Mikronutrien (Fitonutrien):

Carotene4 mcg

10 Kebaikan Buah Salak Yang Ramai Tak Tahu

Seperti diketahui umum, buah salak mengandungi mineral, vitamin dan nutrien. Maka tidak hairanlah jika ia mempunyai banyak kebaikan atau manfaat untuk kesihatan tubuh kita.

Jom semak 10 kebaikan dan manfaat buah salak:

1. Baik untuk mata

Mata merupakan antara organ yang terpenting untuk memudahkan kehidupan seharian kita. Selain lobak merah, kajian juga dapati buah salak juga mengandungi sejenis antioksidan iaitu beta karotin yang bagus untuk kesihatan mata.

Beta karotin berfungsi untuk lindungi mata daripada kerosakan yang disebabkan oleh faktor usia. Ia juga membantu untuk elak kekeringan dan mengekalkan kelembapan pada lapisan mata.

Selain itu, ia juga mampu mengurangkan stres pada mata yang disebabkan oleh cahaya berlebihan. Beta-karotin daripada buah salak ini akan ditukarkan ke dalam bentuk Vitamin A, bagi mengelakkan masalah rabun.

2. Boleh meningkatkan daya memori

Tidak mahu nyanyuk sebelum lanjut usia? Mudah saja, amalkan pengambilan buah salak dengan kerap. Ini kerana kandungan kalium, pektin dan beta-karotin di dalamnya terbukti boleh meningkatkan daya ingatan dan kognitif tubuh.

Bukan itu sahaja, kandungan nutrisi dalam buah salak juga boleh membantu mencegah penyakit neurodegenerative (seperti Parkinson atau Alzheimer). Maka tidak hairanlah, ia juga dapat gelaran sebagai ‘memory fruit’.

3. Boleh bantu mengekalkan berat badan

Buat mereka yang sedang menurunkan berat badan, jangan ambil risiko dengan mudah percaya pada iklan dan membeli sebarang produk kurus. Sebaliknya, apa kata cuba tambah buah salak juga dalam menu diet anda. 
Menurut kajian, kandungan serat yang tinggi terdapat dalam buah salak dapat berikan rasa kenyang yang lebih lama. Ini dapat membantu anda kekalkan berat badan sambil menjaga pengambilan kalori pada setiap hari.

4. Mampu menurunkan kadar gula dalam darah

Bagi penghidap diabetes, mungkin banyak pantang larang yang anda terima tentang buah-buahan. Tapi jangan risau, anda boleh menikmati buah salak kerana ia mampu menurunkan kadar gula dalam darah. 

Hal ini dibuktikan dalam penelitian satu kajian pada 2017 melibatkan sekelompok tikus diabetes selama empat minggu. Hasilnya, kadar gula darah pada tikus yang disuntik cuka salak lebih rendah dibandingkan dengan yang tidak disuntik.

Tapi jangan sampai lupakan terus ubat-ubatan dari hospital, kerana ia lebih efektif daripada buah salak untuk merawat pesakit diabetes.

5. Meningkatkan imuniti tubuh

Telah terbukti dengan satu kajian di sebuah Universiti di Indonesia, buah salak ternyata mampu meningkatkan sistem imuniti badan untuk melawan jangkitan penyakit. 

Elemen polifenol dan flavonoid dalam buah salak penting untuk meningkatkan sistem ketahanan badan kita. Jadi jangan bersusah payah cari produk di luar sana, makan sahaja salak. Perut pun kenyang, badan juga sihat.

6. Mengatasi masalah cirit-birit

Cirit-birit atau diarrhea merupakan masalah yang sering terjadi berpunca daripada jangkitan kuman pada makanan yang tidak bersih. Selain kaya serat dan vitamin, buah salak mengandungi kandungan nutrien istimewa iaitu tanin. 

Ia terbukti sebagai bahan semulajadi yang bertindak sebagai anti cirit-birit. Dengan kehadiran tanin, ia sangat bermanfaat kerana mampu mengatasi masalah tersebut dengan cepat. Tapi jika keadaan terlalu serius, terus dapatkan bantuan doktor.

7. Bagus untuk cerahkan kulit

Tidak terhad pada tubuh sahaja, buah salak juga boleh menawarkan khasiat terhadap kesihatan kulit. Jika inginkan kulit yang cantik dan cerah, anda harus cuba mengambilnya secara berkala. 

Menurut kajian, kandungan flavonoid dalam buah ini mengandungi antioksidan yang cukup tinggi untuk melindungi kulit daripada kesan buruk yang boleh dimusnahkan oleh radikal bebas. 

Selain itu, ia juga mengandungi vitamin C yang sangat berkesan dalam menggalakkan proses penjanaan semula kulit. Ini turut menjadikan buah salak berkhasiat bagi mengekalkan kualiti pigmentasi dan penampilan kulit secara keseluruhan.

8. Bermanfaat untuk kesihatan jantung

Buah salak ternyata cukup bermanfaat untuk menjaga kesihatan satu lagi organ terpenting manusia iaitu jantung. Ia mengandungi kalium, antioksidan, dan mineral yang mempunyai manfaat untuk memastikan sistem kardiovaskular berfungsi dengan baik.

Menurut kajian, antara fungsi kalium adalah membantu kawal paras tekanan darah dan mempengaruhi kadar denyutan jantung. Oleh itu, pengambilan kalium sangat penting bagi mereka yang mempunyai masalah tekanan darah tinggi.

9. Bagus untuk sistem penghadaman

Anda sering sakit perut? Percaya atau tidak, kandungan serat dan air yang tinggi dalam buah salak dapat mempercepatkan proses penyingkiran sisa bahan dan toksin. Ini berupaya melancarkan sistem penghadaman tubuh.

Di samping itu, kandungan tanin dalam salak juga mempunyai manfaat sebagai antimikrob semulajadi yang baik untuk usus dan membantu mengatasi gangguan pencernaan.

Satu kajian pada tahun 2009, menyatakan kanak-kanak bergejala cirit-birit yang diberi tanin bersama hidrasi yang cukup lebih cepat sembuh berbanding mereka yang hanya menerima hidrasi cukup sahaja.

10. Mengurangkan risiko kanser

Kajian mendapati individu yang selalu ambil makanan yang kaya dengan karotenoid memiliki risiko yang jauh lebih rendah dalam penyakit kanser payudara, kanser usus besar dan kanser paru-paru. Ini disebabkan buah salak yang bersifat antioksidan. 

Selain efektif melawan pertumbuhan kanser, karotenoid juga membantu dalam memperbaiki sel-sel utama. Walau bagaimanapun, masih banyak penyelidikan yang diperlukan untuk lihat potensi sebenar buah salak dalam mencegah kanser.

Kesan sampingan buah salak

buah salak kesan sampingan

Secara tradisionalnya, buah salak memang selamat untuk dimakan. Ia juga kaya dengan pelbagai khasiat terhadap kesihatan manusia.

Walaupun begitu, pengambilan buah ini secara berlebihan boleh mendatangkan kesan sampingan yang tidak baik kepada tubuh seperti berikut:

  • Menyebabkan sembelit : Mungkin ramai tidak tahu, tapi jumlah serat yang tinggi boleh menjadi punca sembelit. Apabila mengambil tempoh yang lama untuk dihadam, ia akan meningkatkan kadar asid dalam perut.
  • Tidak baik untuk penghidap gastrik dan ulser perut : Buat mereka yang ada sejarah penyakit gastrik dan ulser perut, disaran untuk elak makan buah salak yang tinggi serat secara berlebihan atau ketika perut kosong. Ini kerana, ia dikhuatiri boleh menyebabkan perut bertambah cedera.
  • Bahaya kandungan asid tinggi terhadap ibu hamil : Ibu-ibu hamil memang disyorkan ambil buah salak sebagai rawatan alternatif untuk kurangkan ‘morning sickness’. Namun pengambilan secara berlebihan boleh meningkatkan asid perut, yang mana tidak bagus untuk kesihatan ibu dan bayi dalam kandungan.

Cara makan buah salak

Cara Makan Buah Salak

Di samping mempunyai banyak kelebihan, cara pengambilan buah-buahan juga penting bagi memperoleh manfaat yang maksimum. Walaupun buah salak kecil dan muat di tapak tangan, tapi kulitnya berduri halus dan bersisik seperti ular.

Pasti anda tertanya-tanya bagaimana ingin makan buah salak dengan cara yang betul. Sebenarnya, ia boleh dikupas dan isinya yang berwarna coklat kekuningan boleh dimakan begitu sahaja. Tapi jangan ditelan pula bijinya.

Selain itu, buah salak juga boleh dimakan dengan pelbagai cara seperti :

  • Jus minuman: Isi buahnya boleh diperah untuk membuat jus salak. Anda boleh mengambilnya sebagai alternatif kepada jus lobak merah, yang cukup dikenali khasiatnya untuk kesihatan mata.
  • Jeruk atau cuka salak: Sejak dahulu lagi, buah salak sering dijadikan jeruk atau ditinkan dalam air gula oleh masyarakat tempatan di Indonesia. Selain itu, ia juga boleh diproses sebagai cuka salak yang berkhasiat dan mampu tahan lebih lama.
  • Pencuci mulut: Untuk menambahkan kesedapan atau tarik minat anak-anak kecil, buah salak juga boleh dijadikan sebagai pencuci mulut. Sebagai contoh, ia boleh diolah menjadi puding salak.
  • Kerepek salak: Selain itu, masa kini ada juga pihak yang memprosesnya sebagai kerepek salak. Di samping teksturnya yang lebih rangup, malah rasanya tidak ubah seperti buah salak yang segar.

Kesimpulan

Sekiranya anda mahu cari snek yang lazat dan berkhasiat, maka buah salak adalah pilihan yang sangat tepat. 

Ia kaya dengan pelbagai nutrien, serat, antioksidan dan sesuai dimakan oleh semua golongan usia. Salak juga mempunyai banyak manfaat seperti :

  1. Baik untuk mata
  2. Boleh meningkatkan daya memori
  3. Bantu mengekalkan berat badan
  4. Mampu menurunkan kadar gula dalam darah
  5. Meningkatkan imuniti tubuh
  6. Mengatasi masalah diarrhea atau cirit-birit
  7. Bagus untuk cerahkan kulit
  8. Bermanfaat untuk kesihatan jantung
  9. Bagus untuk sistem penghadaman
  10. Mengurangkan risiko kanser

Jika anda minat dengan khasiat atau kebaikan buah lain, boleh layari di bawah:

Soalan Lazim

Mungkin anda mempunyai beberapa soalan tentang buah salak. Berikut adalah beberapa soalan lazim berkaitan dengan buah salak.

Ya, makan buah salak selamat untuk kebanyakan orang. Buah salak, juga dikenali sebagai snake fruit, merupakan buah tropika yang popular dan biasa dimakan di banyak negara. Ia mempunyai tekstur kulit yang beralur dan daging buah yang manis.

Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa buah salak mengandungi biji keras dan tidak boleh dimakan. Anda perlu mengupas kulit dan mengeluarkan bijinya sebelum memakan dagingnya.

Bagi kebanyakan orang, makan buah salak dalam jumlah yang sederhana tidak akan menyebabkan masalah kesihatan. Walau bagaimanapun, individu yang mempunyai alahan atau sensitiviti tertentu terhadap buah-buahan tertentu mungkin perlu berhati-hati. Jika anda tidak pernah makan buah salak sebelum ini, anda dinasihatkan untuk mencuba sedikit dahulu dan perhatikan sebarang tanda tindak balas alahan seperti ruam, gatal-gatal, atau kesukaran bernafas. Jika anda mempunyai sebarang reaksi yang merisaukan, hentikan mengambilnya dan dapatkan nasihat doktor.

Selain itu, pastikan buah salak yang anda beli sudah masak dan dari sumber yang boleh dipercayai untuk memastikan kesegaran dan kebersihan buah tersebut.

Rasa buah salak unik dan berbeza dengan buah-buahan lain. Ia biasanya digambarkan sebagai manis dan masam pada masa yang sama. Rasa buah salak agak kuat dan pedas, dengan kehadiran nota manis yang kaya dan kadang-kadang sentuhan keasidan yang halus. Ada yang mengaitkan rasa buah salak dengan rasa strawberi manis dan anggur masam.

Daging buah salak mempunyai tekstur dan serat yang agak kenyal yang memberikan rasa sedikit rangup dalam setiap gigitan. Ia biasanya dianggap sebagai buah yang sedap dikunyah.

Walaupun rasa buah salak boleh berbeza antara jenis dan kematangan buahnya, ramai orang menikmati rasa unik dan menyegarkan yang disediakan oleh salak. Ia sering digunakan sebagai buah snek, digunakan dalam pencuci mulut, atau dimakan sebagai hidangan sendiri.

Similar Posts

Tinggalkan Balasan