Buah Betik : 15 Kebaikan, Khasiat dan Cara Makan Betik

Buah betik ternyata memiliki banyak kelebihan dan khasiat tersendiri terhadap aspek kesihatan selain sedap dimakan.

Jika sebelum ini anda menikmati betik tanpa mengetahui manfaatnya, kami akan bincangkan tentang khasiat, kebaikan, kesan sampingan dan cara untuk makan buah berkenaan.

Jom kita mulakan!

Kebaikan Khasiat Buah Betik Infographic
Share this Image On Your Site By Copy and Paste the HTML Code

Apa itu buah betik?

Buah Betik Featured Image

Betik atau nama saintifiknya Carica Papaya merupakan sejenis buah yang tergolong di dalam keluarga Caricaceae. Tumbuhan ini berasal dari Mexico Selatan dan Amerika Tengah. Namun selepas disebarkan oleh pedagang Sepanyol suatu ketika dahulu, kini ia boleh didapati di hampir semua negara beriklim tropika termasuk Asia Tenggara. 

Dari segi luaran, buah ini berbentuk bujur dan mempunyai kulit hijau kekuningan. Apabila sudah matang, isinya berwarna jingga manakala biji benihnya pula berwarna kehitaman. Selain teksturnya yang lembut dan enak dimakan, setiap komponen buah ini juga mampu menawarkan kebaikan tersendiri.

Betik boleh dianggap sebagai ‘tonik tambahan’ kerana ia mengandungi hampir semua zat makanan yang memang diperlukan bagi kesihatan tubuh kita. Justeru, artikel kali ini akan membincangkan lebih lanjut tentang nutrisi dan khasiat buah betik pada kesihatan.

Fakta nutrisi dan khasiat buah betik

Buah Betik Nutrisi

Berikut adalah fakta nutrisi untuk 100g buah betik:

Makronutrien:

Kalori179 Kcal
Jumlah Karbohidrat10.8g
Serat (Karbohidrat)1.7g
Protein0.47g
Lemak0.26g

Mikronutrien (Vitamin):

Thiamin (Vitamin B1)0.023 mg
Riboflavin (Vitamin B2)0.027 mg
Niacin (Vitamin B3)0.357 mg
Pantothenic acid (Vitamin B5)0.191 mg
Vitamin B60.112 mg
Folate (Vitamin B9)37 µg
Vitamin C60.9 mg

Mikronutrien (Mineral):

Calcium20 mg
Copper0.045 mg
Iron0.25 mg
Phosphorus10 mg
Magnesium21 mg
Potassium182 mg
Zinc 0.08 mg

Mikronutrien (Fitonutrien):

Beta Carotene274 µg
Lycopene1830 µg
Lutein + zeaxanthin89 µg

15 kebaikan buah betik yang anda perlu tahu

Kebaikan Buah Betik

Buah betik sememangnya kaya dengan serat, mineral, vitamin dan nutrien. Maka tidak hairanlah ia mampu menawarkan banyak manfaat untuk kesihatan tubuh.

Jom semak 15 khasiat dan kebaikan buah ini :

1. Merawat masalah sembelit

Buah betik seringkali jadi pilihan buat mereka yang mempunyai masalah sembelit dan penghadaman. Selain tinggi dengan serat, buah ini juga mempunyai enzim pencernaan protein unik seperti papain dan chymopapain yang membantu untuk lawaskan perut.

Kajian mendapati bahawa enzim papain yang sangat aktif ditemukan pada buah betik yang sudah matang. Ia mampu menyumbang kepada tahap pencernaan protein yang tinggi dalam tubuh.

Selain itu, aktiviti enzim ini juga tidak terjejas terhadap pesekitaran berasid dalam perut manusia. Ini menguatkan lagi fungsinya sekaligus dapat menyokong sistem pencernaan.

2. Bagus untuk kesihatan jantung

Betik juga merupakan sumber vitamin C yang sangat bagus. Ia adalah mikronutrien penting yang berfungsi sebagai antioksidan untuk menjaga kesihatan jantung daripada penyakit.

Ia juga melindungi jantung daripada pengoksidaan kolesterol. Ini bermakna keupayaan kolesterol untuk membentuk plak di sepanjang dinding arteri dapat dikurangkan.

3. Meningkatkan imunisasi tubuh

Betik merupakan sejenis buah-buahan yang kaya dengan vitamin C. Seperti diketahui umum, vitamin C menawarkan banyak kelebihan. Antaranya penting untuk penghasilan kolagen, mencegah skurvi, dan juga meningkatkan imuniti.

Vitamin C terbukti meningkatkan penghasilan sel darah putih yang sangat penting dalam sistem pertahanan dan imunisasi tubuh.

4. Bantu mencegah asma

Asma adalah penyakit paru-paru yang disebabkan oleh keradangan kronik pada saluran pernafasan. Namun begitu, kandungan beta karoten dalam betik dapat membantu mencegah risiko asma.

Selain itu, betik juga dapat mengekalkan tahap vitamin A yang mencukupi dalam diet sekaligus amat penting untuk mengurangkan keradangan saluran pernafasan.

5. Memperbaiki fungsi organ yang merosot akibat COVID-19

Pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak tiga tahun lalu bukan sahaja mudah berjangkit, malah turut mampu merosakkan sistem tubuh. 

Apabila virus itu masuk ke badan, ia menyebabkan kerosakan secara terus kepada paru-paru dan menyebabkan tindak balas keradangan. Ini sekaligus memberi bebanan terhadap sistem kardiovaskular, lalu menyebabkan komplikasi jantung.

Namun kajian klinikal mendapati, Suplemen berasaskan betik pesakit terbukti mampu memperbaiki fungsi jantung dan paru-paru pesakit yang merosot akibat COVID-19.

6. Melegakan keradangan

Keradangan adalah tindak balas imun semula jadi oleh tubuh manusia untuk berlindung daripada sebarang jangkitan. Malah jika bertambah kronik, boleh menjadi punca penyakit jantung, kanser, dan banyak lagi.

Enzim papain ternyata dapat mengurangkan keradangan dan merangsang penyembuhan akibat kesan terbakar. Tambahan pula, kandungan polifenol, flavonoid dan juga alkaloid yang terdapat di dalam buah betik mampu merencatkan proses keradangan.

7. Merendahkan kadar kolesterol

Ramai tidak menyedari mereka sebenarnya berdepan masalah paras kolesterol yang tinggi. Jika tidak dicegah segera, keadaan itu boleh mengundang penyakit serius seperti serangan jantung dan strok.

Antara cara terbaik untuk mengawal kolesterol adalah pengambilan betik yang kaya dengan serat dan nutrisi untuk tubuh.

Kajian yang dijalankan terhadap haiwan juga mendapati, ekstrak biji betik boleh mengurangkan kadar trigliserida, kolesterol LDL (jahat) dan meningkatkan kolesterol HDL (baik).

8. Membantu turunkan berat badan

Berita baik untuk anda yang sedang berusaha menurunkan berat badan, betik merupakan buah yang sangat rendah kalori. Kandungan serat yang terdapat padanya juga membantu anda berasa kenyang lebih lama. 

Selain itu, serat juga semula jadi menyahtoksin badan (detox) secara semulajadi. Bukan setakat dapat turunkan berat, tubuh anda juga secara tidak langsung bertambah sihat dan cergas.

9. Baik untuk kesihatan mata

Tahukah anda, kandungan beta kerotin dalam betik yang berikannya warna jingga sama seperti lobak merah. Antioksidan ini terbukti mampu mengurangkan risiko masalah penglihatan yang berkait dengan usia seperti rabun dan buta. 

Bukan itu sahaja, kandungan vitamin A dalam betik juga bantu menghalang daripada penyakit atau kerosakan mata. 

10. Menghalang pertumbuhan kanser

Dalam satu kajian membabitkan 14 jenis buah-buahan, hanya betik menunjukkan ciri antikanser terhadap sel kanser payudara. Ini kerana ia mengandungi kadar sejenis karotinoid iaitu lycopene yang tinggi. 

Bertindak sebagai antioksidan yang menghalang kematian atau kerosakan sel, lycopene dilihat mempunyai potensi untuk mencegah kanser.

Di samping itu, terdapat juga laporan mengenai penghidap kanser paru-paru, perut, pankreas, hati dan darah yang berjaya hidup lebih lama dengan amalkan meminum ekstrak daun betik.

11. Menurunkan tekanan darah tinggi

Tekanan darah tinggi atau hipertensi merupakan penyakit kronik yang boleh mengundang masalah strok dan serangan jantung. Tapi tahukah anda, bahawa betik mempunyai potensi untuk cegahnya daripada berlarutan.

Hasil kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati, jus betik muda terbukti dapat menurunkan kadar degupan jantung dan tekanan darah. Malah, ia juga dikatakan lebih mujarab berbanding ubat darah tinggi jenis hydralazine.

Selain itu, petua amalan minum air pucuk betik yang telah direbus juga mampu menurunkan tekanan darah tinggi dalam badan kita.

12. Merawat masalah parasit di dalam usus

Satu kajian telah dijalankan untuk menguji keberkesanan biji betik yang dikeringkan terhadap parasit dalam sistem pencernaan manusia. Hasilnya mendapati, ia mujarab merawat masalah parasit atau kecacingan tanpa memberi sebarang kesan sampingan. 

Oleh itu, kaedah rawatan begini disifatkan murah, tidak berbahaya, dan senang untuk didapati di Malaysia. Bagaimanapun, kajian lanjutan dalam skala besar perlu dibuat untuk mengukuhkan lagi dapatan tersebut.

13. Mengurangkan risiko jangkitan kuman

Salah satu khasiat buah ini adalah ia juga boleh bertindak sebagai anti-mikrob. Betik sememangnya kaya dengan pelbagai ‘phytochemical’ yang memainkan peranan dalam mengurangkan risiko jangkitan kuman.
Satu kajian menemukan bahawa, ekstrak daripada daun buah betik merencatkan aktiviti bakteria seperti S.Aureus, E. Coli dan juga C. Albicans.

14. Melindungi kesihatan kulit

Aktiviti radikal bebas boleh merosakkan jaringan kulit sehingga menyebabkannya kelihatan kusam, berkedut dan rosak. Lebih teruk lagi, ia juga boleh jadi punca risiko kanser.
Kandungan vitamin C dan lycopene dalam buah betik menjadikannya pilihan yang baik untuk dapatkan kulit sihat dan melambatkan penuaan. Jenis karoten ini terbukti boleh melindungi kulit daripada sinaran UV.

15. Menjaga kesihatan rambut

Bukan sahaja untuk kulit, khasiat betik juga dikatakan bagus dalam penjagaan kesihatan rambut. Kandungan vitamin A dalam buah ini dapat merapikan rambut, manakala lycopene pula merangsang pertumbuhan rambut. 

Selain itu, khasiatnya juga dapat mengatasi masalah kelemumur dan kulit kepala. Hal ini kerana buah betik mengandungi komponen yang bersifat anti kulat.

Kesan sampingan buah betik

Secara umumnya betik selamat untuk dimakan oleh masyarakat setiap lapisan umur dan jantina. Pelbagai manfaat boleh diperolehi sekiranya buah ini dimakan secara teratur.

Biarpun terdapat nilai pemakanan yang hebat, tetapi pengambilan betik secara berlebihan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti :

Boleh menyebabkan alahan

Seperti buah tropika lain,  komponen bahan yang terkandung dalam betik mungkin boleh mencetuskan reaksi alergi yang teruk terhadap tubuh sesetengah individu yang sensitif atau tidak mampu bertoleransi dengannya.

Ini termasuklah gejala masalah pernafasan serta kegatalan di dalam mulut dan tekak. Bagaimanapun, reaksi alahan terhadap buah eksotik berbeza mengikut keupayaan setiap orang.

Menaikkan paras gula

Betik merupakan buah yang mempunyai kandungan gula yang agak tinggi. Dalam erti kata lain, buah ini boleh meningkatkan kadar gula dalam darah jika diambil secara berlebihan.

Justeru buat penghidap diabetes, pengambilannya haruslah dikawal secara bersederhan. Sekiranya peningkatan gula dalam darah terjadi secara berterusan, ini kemudiannya boleh meningkatkan risiko komplikasi lain.

Betik muda punca keguguran

Buah betik muda atau mentah dilaporkan mengandungi lateks yang boleh menjadi punca berlakunya kontraksi pada rahim. Keadaan ini adalah berisiko bagi ibu-ibu hamil.

Apabila berlakunya kontraksi yang tidak normal atau terlalu awal sebelum tarikh jangkaan bersalin, ini boleh menyebabkan keguguran mahupun kelahiran pramatang.

Jika sedang mengandung, anda dinasihati agar sebaiknya makan isi betik yang sudah matang dan berwarna jingga saja.

Cara makan buah betik

Cara makan Buah Betik

Kaedah pengambilan buah ini juga penting bagi memperoleh khasiat maksimum. Pasti anda tertanya-tanya bagaimana cara yang betul untuk makan betik. 

Selain enak dimakan begitu saja, buah betik juga boleh diolah menjadi pelbagai juadah seperti :

Rojak buah

Tekstur manis dan berais yang terdapat pada isi betik jadikan ia sesuai untuk dicampur ke dalam menu rojak buah atau rojak petis.

Di samping banyak dijual di pasar malam, atau anda juga boleh sediakan juadah rojak sendiri di rumah.

Jus betik

Jus betik juga menawarkan banyak manfaat nutrisi kepada tubuh. Selain dapat merawat sembelit, jus ini juga mempunyai ciri-ciri kesan penyejukan bagi melegakan perut dan usus.

Oleh itu, penghidap gastrik disarankan untuk mengamalkan minuman berkhasiat ini dalam menu harian mereka.

Jeruk betik

Di Malaysia, isi buah ini juga sering diproses menjadi jeruk betik. Malah semakin lama jeruk ini disimpan dalam peti sejuk, ia akan menjadi semakin rangup. 

Dengan tekstur yang masam, masin dan manis, jeruk betik ini sesuai dijadikan snek berkhasiat dan diminati ramai.

Kesimpulan

Sekiranya anda mahu cari buah yang manis dan berkhasiat, buah betik pastinya merupakan pilihan yang tepat. 

Ia kaya dengan serat, vitamin, antioksidan serta sesuai dimakan oleh semua lapisan masyarakat. Buah ini juga terbukti menawarkan banyak manfaat lain seperti :

  1. Merawat masalah sembelit
  2. Bagus untuk kesihatan jantung
  3. Meningkatkan imunisasi tubuh
  4. Bantu mencegah asma
  5. Memperbaiki fungsi organ yang merosot akibat COVID-19
  6. Melegakan keradangan
  7. Merendahkan kadar kolesterol
  8. Membantu turunkan berat badan
  9. Baik untuk kesihatan mata
  10. Menghalang pertumbuhan kanser
  11. Menurunkan tekanan darah tinggi
  12. Merawat masalah parasit di dalam usus
  13. Mengurangkan risiko jangkitan kuman
  14. Melindungi kesihatan kulit
  15. Menjaga kesihatan rambut

Jika anda minat dengan khasiat atau kebaikan buah lain, boleh layari di bawah:

Similar Posts

Tinggalkan Balasan