Buah Nanas: 15 Kebaikan, Khasiat dan Cara Makan Nenas

Selain enak dimakan, buah nanas juga mengandungi banyak kelebihan dan khasiat tersendiri kepada aspek kesihatan.

Jika sebelum ini anda menikmati nanas tanpa mengetahui manfaatnya, kami akan bincangkan tentang khasiat, kebaikan, kesan sampingan dan cara untuk makan buah ini.

Jom kita mulakan!

Khasiat nanas infographic
Share this Image On Your Site By Copy and Paste the HTML Code

Apa itu buah nanas?

Buah nanas featured image

Nanas atau nama saintifiknya, Ananas comosus merupakan buah jenis tropika yang berasal dari Amerika Selatan dan Brazil. Ia dibawa ke Tanah Melayu pada zaman penjajahan Sepanyol pada abad ke-16. 

Walaupun daun serta kulitnya berduri tajam, tetapi nanas mempunyai keistimewaan tersendiri iaitu isinya manis dan penuh dengan air. Namun, jumlah duri dan tekstur isinya bergantung pada jenis nanas itu sendiri.

Mengikut statistik eksport dan import global, nanas adalah tanaman komoditi ketiga tertinggi di dunia selepas pisang dan buah oren. Penanaman nanas mendapat permintaan yang tinggi kerana mempunyai nilai nutrisi yang tinggi selain dijual pada harga berpatutan.

Ia juga diklasifikasikan sebagai ‘super food’, kerana berpotensi meningkatkan tahap kesihatan hampir ke seluruh tubuh manusia. Justeru, artikel kali ini akan menghuraikan komposisi nutrisi, kandungan berkhasiat dan kepentingan buah nanas terhadap kesihatan.

Fakta nutrisi dan khasiat buah nanas

Berikut adalah fakta nutrisi untuk 100g buah nanas:

Makronutrien:

Kalori50 Kcal
Jumlah Karbohidrat13.1g
Serat (Karbohidrat)1.4g
Protein0.54g
Lemak0.12g

Mikronutrien (Vitamin):

Thiamin (Vitamin B1)0.079 mg
Riboflavin (Vitamin B2)0.032 mg
Niacin (Vitamin B3)0.5 mg
Pantothenic acid (Vitamin B5)0.213 mg
Vitamin B60.112 mg
Folate (Vitamin B9)18 µg
Vitamin C47.8 mg

Mikronutrien (Mineral):

Calcium13 mg
Copper0.11 mg
Iron0.29 mg
Phosphorus8 mg
Magnesium132mg
Potassium109 mg
Zinc 0.12 mg

Mikronutrien (Fitonutrien):

Beta Carotene35 µg

15 kebaikan & khasiat buah nanas yang ramai tidak tahu

kebaikan buah nanas

Buah nanas sememangnya kaya dengan serat, mineral, vitamin dan nutrien. Maka tidak hairanlah ia mampu menawarkan banyak manfaat untuk kesihatan tubuh kita.

Jom semak 15 khasiat dan kebaikan buah ini :

1. Mempercepat proses pemulihan

Berbeza dengan buah lain, nanas mengandungi sejenis enzim unik iaitu bromelain. Selain membantu pencernaan, ia juga didapati boleh mempercepatkan proses pemulihan selepas menjalani pembedahan.

Dalam satu kajian klinikal, separuh daripada 60 pesakit yang mengalami keretakan tulang dirawat dengan bromelain selepas pembedahan. Manakala separuh lagi pula diberikan rawatan seperti biasa tanpa enzim tersebut.

Hasilnya mendapati, kumpulan pesakit yang diberi bromelain melalui proses penyembuhan yang lebih pantas. Selain itu, mereka turut mengalami pengurangan ketara dari segi kesakitan dan bengkak.

2. Membekalkan tenaga

Nanas merupakan energiser semulajadi kerana menjadi sumber terbaik mineral mangan. Ia adalah komponen penting dalam enzim untuk menghasilkan tenaga dan perlindungan antioksidan. 

Selain itu, kandungan vitamin B6 dan B1 (atau thiamine) turut bertindak sebagai faktor sampingan dalam enzim untuk menghasilkan tenaga. Kalori nanas yang rendah juga menyumbang kepada tubuh agar sentiasa bertenaga.

3. Meningkatkan imuniti

Sejak dahulu lagi, nanas telah digunakan dalam rawatan tradisional kerana kandungan vitamin, mineral dan enzim seperti bromelain meningkatkan sistem imunisasi tubuh. 

Satu kajian menunjukkan dua kumpulan dimana satu kumpulan (Kumpulan A), mengambil nanas sebanyak 140 g sehari. Manakala satu kumpulan yang lain (Kumpulan B) mengambil nanas sebanyak 280 g sehari.

Hasilnya menunjukkan bahawa kumpulan B mempunyai empat kali ganda sel darah putih yang penting untuk melawan penyakit berbanding kumpulan A.

4. Menguatkan gigi dan gusi

Ramai tidak tahu, bahawa nanas juga bermanfaat untuk kesihatan oral. Ini kerana terdapat jumlah mangan yang ideal untuk menguatkan gigi dan gusi.

Selain itu, kebersihan gigi dan gusi juga terjaga disebabkan kehadiran xylitol dalam buah nanas segar (bukan dalam tin). Bahan ini yang membantu hapuskan bakteria penyebab mulut berbau secara semulajadi.

5. Mencegah asma

Asma adalah penyakit paru-paru yang disebabkan oleh keradangan kronik saluran pernafasan. Berita baiknya, kandungan bromelain membantu cairkan kahak sekaligus menyumbang kepada pengurangan gejala asma.

Selain itu, kajian melaporkan wanita dengan asma yang diberi makanan lebih tinggi kandungan beta-karoten dapat mengurangkan risiko asma. Ini sekaligus dapat meningkatkan kualiti kehidupan penghidap penyakit tersebut.

6. Melegakan sakit sendi

Arthritis adalah penyakit yang disebabkan oleh keradangan yang menyerang bahagian sendi. Namun pengambilan bromelain dalam nanas yang mempunyai kesan antiradang, membantu dalam melegakan kesakitan simptom arthritis. 

Sebuah kajian melibatkan 42 pesakit osteoartritis mendapati, penggunaan ubat yang mengandungi bromelain mengurangkan kesakitan sendi dengan ketara.

Selain itu, nanas juga mengandungi mineral seperti fosforus, mangan, kalsium, zink dan kuprum yang bagus untuk meningkatkan kekuatan tulang.

7. Mencegah katarak mata

Mata adalah antara organ yang memainkan peranan terpenting di dalam kehidupan harian kita. Kandungan vitamin C dalam nanas bagus untuk mengurangkan risiko penyakit mata yang biasanya terjadi apabila usia meningkat.

Hasil kajian menunjukkan bahawa diet yang kaya dengan vitamin C dapat melindungi daripada katarak mata.

8. Bagus untuk kesuburan

Kandungan vitamin dan mineral dalam nanas juga bagus untuk kesuburan lelaki dan wanita. Pengambilan makanan yang kaya dengan antioksidan boleh membantu melawan radikal bebas penyebab masalah kemandulan.

Bagi lelaki, kandungan mangan yang tinggi dalam nanas menyumbang kepada peningkatan kualiti sperma. Manakala kehadiran bromelain yang melancarkan lagi aliran darah boleh meningkatkan peluang implantasi dan membantu dalam persenyawaan bagi wanita.

9. Menghalang pertumbuhan kanser

Kanser adalah penyakit kronik disebabkan oleh pertumbuhan sel yang tidak terkawal. Nanas mengandungi vitamin C yang berupaya melawan radikal bebas daripada menyerang dan merosakkan sel-sel baik dalam tubuh. 

Selain itu, enzim bromelain juga memiliki sifat antikanser. Kajian menunjukkan, bromelain terbukti dapat menghalang pertumbuhan sel kanser usus. Ia menghasilkan molekul penting supaya darah putih lebih efektif dalam mencegah sel kanser.

10. Mencegah penyakit Alzheimer

Alzheimer adalah penyakit neurodegeneratif yang lazimnya melibatkan kehilangan ingatan secara beransur-ansur. Dalam kes yang teruk, penghidapnya tidak berupaya untuk meneruskan perbualan, mengawal pergerakan dan bertindak balas terhadap persekitaran mereka.

Kajian terhadap tikus makmal yang diberikan rawatan bromelain menunjukkan bahawa, aktiviti otaknya bertambah lebih baik. Ini sekaligus menandakan bahawa enzim tersebut berpotensi merawat gejala penyakit Alzheimer.

11. Mengawal tekanan darah

Buah nanas juga merupakan sumber elemen potasium yang sangat bagus. Ia bertindak sebagai elektrolit semulajadi dan penting untuk fungsi otot.

Di samping itu, pengambilan potasium turut terbukti mampu menurunkan tekanan darah dalam kalangan mereka yang menghidap penyakit hipertensi ataupun tekanan darah tinggi.

12. Mengurangkan batuk dan selsema

Jika mengalami gejala batuk berkahak atau selsema, anda disarankan untuk makan buah penuh berkhasiat ini. Vitamin C terkandung di dalamnya mampu mencegah lendir, kahak dan legakan resdung.

Sementara itu, bromelain pula menunjukkan kesan antiradang yang bagus untuk mengatasi kesan radang serta bengkak pada tekak.

13. Menyokong sistem penghadaman

Bukan sahaja mencegah sembelit, kandungan air dan serat terdapat pada buah ini turut menyumbang kepada kelancaran sistem penghadaman.

Selain itu, bromelain yang hanya terdapat dalam nanas juga bertindak sebagai enzim penghadaman yang sangat efektif. Ia memecahkan molekul protein kepada asid amino dan peptida kecil agar mudah diserap ketika melalui usus kecil.

Menurut kajian, rawatan bromelain sangat membantu golongan individu yang mengalami masalah pankreas. Ia adalah keadaan di mana pankreas tidak menghasilkan enzim pencernaan yang cukup untuk tubuh.

14. Baik untuk kesihatan kulit

Nanas mengandungi asid askorbik dan bromelain yang bertindak sebagai exfoliator semulajadi. Ini sekaligus membantu kurangkan bintik hitam, mengurangkan jerawat serta redakan inflamasi pada muka.

Bukan itu sahaja, asid malik membentuk 13% kandungan asid dalam nanas. Manfaat sebatian organik ini adalah dapat menjadikan kulit lebih lembut dan anjal. Manakala vitamin C pula membuatkan kulit wajah kekal awet muda.

15. Mengekalkan kesihatan jantung

Menariknya, nanas juga dapat menghalang penyakit jantung seperti tekanan darah tinggi, serangan jantung, strok dan kegagalan fungsi jantung untuk berfungsi.

Selain itu, pengambilan nanas juga terbukti dapat menghalang platelet darah dari tergumpal. Ini kerana ekstrak kulit nanas didapati tinggi dengan sumber anti-koagulan.

Kesan sampingan buah nanas

Secara umumnya nanas selamat untuk dimakan oleh masyarakat setiap peringkat umur, termasuklah ibu-ibu hamil. Pelbagai manfaat boleh diperolehi jika buah ini dimakan secara teratur.

Walaupun mempunyai nilai pemakanan yang hebat, tapi pengambilan nanas secara berlebihan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti :

Menyebabkan cirit-birit, loya dan pedih ulu hati

Biarpun kandungan vitamin C nanas menawarkan banyak khasiat, tapi jika dimakan secara berlebihan boleh mendatangkan kesan negatif kepada tubuh.

Ini termasuklah gejala cirit-birit, rasa loya, sakit pada abdomen, dan pedih hulu hati.

Menaikkan paras gula

Nanas merupakan buah yang mempunyai kandungan gula yang sangat tinggi. Oleh itu, buah ini boleh meningkatkan kadar gula dalam darah jika diambil secara berlebihan.

Ia kemudiannya boleh mengakibatkan gejala sakit kepala, rasa dahaga meningkat, dan kerap membuang air kecil. Buat penghidap diabetes, peningkatan gula dalam darah secara berterusan juga boleh meningkatkan risiko komplikasi.

Bromelain berlebihan boleh cetuskan komplikasi

Kandungan enzim bromelain dalam jumlah yang sangat tinggi juga boleh menyebabkan komplikasi seperti ruam kulit, muntah, cirit-birit, dan pendarahan haid berlebihan. 

Ia juga boleh berinteraksi dengan beberapa jenis ubat seperti antibiotik, penipisan darah, antikonvulsan, barbiturat, benzodiazepin, ubat insomnia atau antidepresan trisiklik. 

Jika anda sedang mengambil ubat-ubat tersebut, adalah dinasihatkan untuk berhati-hati dan tidak makan terlalu banyak nanas.

Cara makan buah nanas

cara makan Buah nanas

Kaedah pengambilan buah ini juga penting bagi memperoleh khasiat maksimum. Pasti anda tertanya-tanya bagaimana cara yang betul untuk makan nanas. 

Selain isinya enak dimakan begitu saja, buah nanas juga boleh diolah dengan pelbagai kaedah seperti :

Rojak buah

Tekstur manis isi nanas membuatkan ia sesuai untuk dicampur dengan buah-buahan lain sebagai menu salad atau rojak buah.

Rasa masam, segar dan manis selepas dicampur kuah rojak boleh membuatkan sesiapa sahaja tergiur untuk menjamahnya. Juadah ini mudah didapati di pasar malam, atau anda juga boleh buatnya sendiri di rumah.

Jus nanas

Jus nanas bukan sahaja menyegarkan, tapi juga memberikan manfaat nutrisi yang optimum. Enzim bromelain biasanya mudah terurai apabila buah ini diproses atau dimasak. 

Oleh itu, pengambilan dengan cara ini juga boleh menjadi alternatif untuk menikmati nanas secara sihat dan lazat.

Jem nanas

Nanas juga boleh diproses lalu dijadikan sebagai jem nanas yang sangat lazat. Rasa masam dan manisnya sangat sesuai untuk dimakan bersama roti atau biskut.

Kesimpulan

Sekiranya anda mahu cari buah yang manis dan berkhasiat, buah nanas pastinya merupakan pilihan yang cukup tepat. 

Ia kaya dengan serat, vitamin, enzim, antioksidan serta sesuai dimakan oleh semua peringkat usia. Buah ini juga mempunyai banyak manfaat lain seperti :

  1. Mempercepat proses pemulihan
  2. Membekalkan tenaga
  3. Meningkatkan imuniti
  4. Menguatkan gigi dan gusi
  5. Mencegah asma
  6. Melegakan sakit sendi
  7. Mencegah katarak mata
  8. Bagus untuk kesuburan
  9. Menghalang pertumbuhan kanser
  10. Mencegah penyakit Alzheimer
  11. Mengawal tekanan darah
  12. Mengurangkan batuk dan selsema
  13. Menyokong sistem penghadaman
  14. Baik untuk kesihatan kulit
  15. Mengekalkan kesihatan jantung

Jika anda minat dengan khasiat atau kebaikan buah lain, boleh layari di bawah:

Similar Posts

Tinggalkan Balasan