Buah Plum: 15 Kebaikan, Khasiat dan Cara Makan Buah Plum

Di samping lazat dimakan, buah plum juga mengandungi banyak kelebihan dan khasiat tersendiri kepada aspek kesihatan.

Jika sebelum ini anda menikmati tanpa mengetahui manfaatnya, kali ini kami akan bincangkan tentang buah plum. Ini termasuklah khasiat nutrisi, kebaikan, kesan sampingan dan cara untuk memakannya.

Jom kita mulakan!

Khasiat Buah Plum Infographic
Share this Image On Your Site By Copy and Paste the HTML Code

Apa itu buah plum?

Buah Plum featured image

Tanaman plum tergolong dalam keluarga Rosaceae, yang juga sama dengan buah pic dan aprikot. Buah ini asalnya dari negara China, dan telah tersebar ke beberapa negara lain di benua Asia, Amerika dan Eropah. Sehingga kini, terdapat 2,000 jenis plum berbeza di seluruh dunia.

Penampilan luarannya menyerupai epal dengan saiz yang kecil, iaitu kira-kira 5 hingga 6 sentimeter diameter. Kulit luarnya licin dan isi buahnya pula bertekstur lembut.

Warna kulit plum berbeza bergantung kepada tahap kematangan dan jenisnya. Ada yang berwarna ungu, merah, hijau, kuning, dan oren. Manakala isi buahnya pula berwarna kuning, oren, atau merah jambu.

Selain enak dimakan segar, plum yang dikeringkan iaitu prun juga sering menjadi pilihan ramai. Kedua-duanya mengandungi pelbagai zat, khasiat dan nutrisi yang baik untuk kesihatan.

Fakta nutrisi dan khasiat buah plum

Berikut adalah fakta nutrisi untuk 100g buah plum:

Makronutrien:

Kalori46 Kcal
Jumlah Karbohidrat11.4g
Serat (Karbohidrat)1.4g
Protein0.7g
Lemak0.28g

Mikronutrien (Vitamin):

Thiamin (Vitamin B1)0.028 mg
Riboflavin (Vitamin B2)0.026 mg
Niacin (Vitamin B3)0.417 mg
Pantothenic acid (Vitamin B5)0.135 mg
Vitamin B60.029 mg
Folate (Vitamin B9)5 µg
Vitamin C9.5 mg

Mikronutrien (Mineral):

Calcium6 mg
Copper0.057 mg
Iron0.17 mg
Phosphorus16 mg
Magnesium7 mg
Potassium157 mg
Zinc 0.1 mg

Mikronutrien (Fitonutrien):

Beta Carotene190 µg
Cryptoxanthin35 µg
Lutein + zeaxanthin73 µg

15 kebaikan & khasiat buah plum yang ramai tidak tahu

Buah Plum Pokok

Buah plum sememangnya kaya dengan mineral, vitamin dan zat nutrien. Maka tidak hairanlah ia mampu menawarkan banyak manfaat untuk kesihatan tubuh kita.

Jom semak 15 khasiat dan kebaikan buah plum:

1. Mengurangkan risiko diabetes 

Diabetes ataupun penyakit kencing manis merupakan komplikasi kronik yang berkaitan dengan paras gula dalam darah yang terlalu tinggi.

Walaupun tinggi dengan nilai karbohidrat, bagaimanapun kajian menunjukkan buah plum atau prun tidak menyebabkan peningkatan mendadak terhadap gula dalam darah anda selepas memakannya.

Justeru buah ini dilihat ada kemampuan untuk membantu kawal paras gula dalam darah, seterusnya mengurangkan risiko penyakit diabetes.  

2. Melancarkan sistem penghadaman 

Manfaat plum yang paling terkenal adalah menyokong kesihatan pencernaan. Kandungan sorbitol terdapat padanya dapat melancarkan sistem penghadaman perut anda.

Selain itu, serat tidak larut dalam buah plum juga menggalakkan peningkatan bakteria baik dalam usus besar. Ia akan melawan patogen yang mencetuskan pelbagai penyakit dan mengganggu saluran penghadaman.

3. Bagus untuk kesihatan mata 

Pengambilan plum juga bagus untuk menjaga kesihatan mata. Ini kerana kandungan beta-karoten yang terdapat pada buah tersebut.

Komponen ini akan diubah menjadi vitamin A ketika berada dalam tubuh. Kajian membuktikan, beta-karoten bagus untuk merawat penyakit mata serta menajamkan daya penglihatan.

4. Meningkatkan sistem imun tubuh

Fungsi sistem imun sangat penting untuk melindungi tubuh daripada sebarang jangkitan atau penyakit. Untuk menyokongnya, setiap individu perlu mengamalkan pemakanan yang baik serta gaya hidup sihat.

Makan plum juga boleh meningkatkan daya tahan tubuh, susulan kandungan antioksidan tinggi terdapat di dalamnya. Jika diambil secara teratur, buah ini dapat mencegah kerosakan pada sel tubuh akibat radikal bebas.

5. Mengatasi sembelit 

Selain itu, plum turut mampu mengatasi masalah sembelit. Khasiat ini didorong oleh kandungan serat tinggi yang terdapat pada buah berkenaan.

Satu kajian melibatkan 40 penghidap sembelit menunjukkan, pengambilan 50 gram prun (plum kering) 2 kali sehari boleh mengatasi komplikasi sembelit tahap ringan dan sederhana.

6. Meningkatkan fungsi otak

Buah plum juga mempunyai khasiat terhadap fungsi kognitif otak. Fungsi kognitif adalah keupayaan untuk mengembangkan potensi minda manusia.

Menerusi kajian yang dijalankan terhadap haiwan, ekstrak plum didapati boleh meningkatkan memori dan fungsi kognitif otak. Ini sekaligus dapat mengurangkan risiko penyakit kemerosotan otak seperti penyakit Alzheimer.

7. Rasa kenyang yang lebih lama

Di samping rendah kalori, buah ini juga boleh jadi makanan diet yang ideal untuk mereka yang sedang menurunkan berat badan. Plum mempunyai kalori yang rendah, iaitu 30-45 kalori dalam setiap 100 gram buah tersebut. 

Selain itu, plum juga tinggi serat dan boleh membantu anda berasa kenyang lebih lama. Ini dapat melambatkan proses pengosongan perut dan mengurangkan pengambilan kalori tambahan. 

Walaupun rasa plum manis, tapi indeks glisemiknya rendah. Jadi, ia tidak akan menaikkan paras gula anda secara drastik.

8. Mengurangkan anxiety

Resah normal bagi setiap individu, namun keresahan melampau atau dibiarkan berterusan boleh menyebabkan seseorang berdepan anxiety disorder.

Buah plum mengurangkan kelakuan yang berkaitan keresahan atau anxiety. Satu kajian mendapati, asid klorogenik boleh mengurangkan kelakuan yang berkaitan dengan keresahan.

Bagaimanapun, kajian-kajian yang melibatkan manusia masih diperlukan untuk mengetahui kesan buah plum ini terhadap fungsi otak manusia.

9. Menyuburkan akar rambut 

Bukan sahaja untuk tubuh, plum juga berupaya menyuburkan akar rambut. Ia berfungsi dengan mengurangkan pengeluaran hormon kortisol, yang menjadi punca keguguran rambut. 

Vitamin E yang terkandung pada buah ini juga boleh menguatkan sel rambut dan menghalang radikal bebas daripada menyerang folikel kulit kepala.

Dua khasiat ini sekaligus mampu melancarkan peredaran darah di kulit kepala dan memaksimumkan pertumbuhan rambut.

10. Berpotensi melawan kanser 

Kanser merupakan antara penyakit yang menyebabkan kadar kematian tertinggi di seluruh dunia. Oleh itu, pemakanan yang sihat adalah kunci untuk mengatasinya.

Buah plum mengandungi antioksidan yang bertindak sebagai agen pencegah kanser. Ekstrak buah ini terbukti mampu merencatkan sel kanser daripada merebak termasuklah barah payudara.

Namun begitu, masih banyak kajian terperinci diperlukan lagi untuk melihat kesan baik dan potensinya melawan kanser.

11. Mencegah anemia 

Anemia adalah penyakit di mana badan tidak mempunyai sel darah merah yang cukup. Hal ini terjadi disebabkan kurangnya zat besi yang menghasilkan sel darah merah. 

Pesakit akan sering mengalami keletihan kerana kekurangan sel darah merah untuk mengangkut oksigen ke sel badan. Namun tahukah anda, plum merupakan sumber zat besi yang sangat bagus.

Satu kajian mendapati, ekstrak daun dan buah plum boleh digunakan sebagai rawatan tradisional untuk mencegah penyakit anemia.

12. Mengurangkan risiko COPD 

Pulmonari obstruktif kronik (COPD) adalah satu keadaan di mana saluran pernafasan menjadi sempit. Lazimnya ia berpunca daripada tabiat merokok, yang mencetuskan radang saluran pernafasan dan kerosakan tisu paru-paru.

Buah plum kaya dengan kandungan antioksidan, yang dipercayai boleh mengurangkan risiko penyakit COPD. Dengan meneutralkan oksidatif dalam tubuh, komponen ini juga berupaya mengurangkan risiko kanser paru-paru.

13. Merawat osteoporosis

Buah ini juga memberi manfaat terhadap kesihatan tulang. Ini termasuklah potensinya sebagai rawatan semulajadi untuk penyakit osteoporosis. 

Sebuah kajian klinikal menunjukkan bahawa, pengambilan prun mampu meningkatkan ketumpatan jisim tulang sekumpulan wanita menopause yang berdepan masalah osteoporosis.

Di samping itu, plum juga merupakan sumber kepada boron. Mineral ini boleh membantu membina tulang dan otot yang kuat.

14. Melindungi kulit dari jerawat degil

Plum boleh menjadi penyelesaian tepat untuk sesetengah orang yang mempunyai tekstur kulit muka kering atau kasar. Buah yang kaya dengan antioksidan ini dapat memastikan kulit anda sentiasa lembap serta mengekalkan kehalusannya.

Selain antioksidan, buah ini juga mengandungi vitamin C yang tinggi. Pengambilan plum dengan kerap mampu melindungi kulit daripada serangan bakteria yang menyebabkan jerawat degil.

15. Mengurangkan risiko strok

Dalam mengurangkan risiko strok, potasium dalam plum terbukti berfungsi dengan mengawal kadar tekanan darah. Ia membantu badan menyingkirkan sodium dan mengurangkan ketegangan dalam saluran darah.

Dalam erti kata lain, pengurangan ketara dalam tekanan darah boleh membantu mengurangkan risiko strok. Untuk mendapatkan manfaat ini, anda perlu makan plum dengan kerap.

Kesan sampingan buah plum

Secara umumnya, plum selamat untuk dimakan oleh manusia di setiap peringkat umur. Banyak manfaat diperolehi tubuh jika buah ini dimakan secara teratur.

Walaupun ia mempunyai banyak nilai pemakanan yang hebat, tapi pengambilan plum secara berlebihan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti :

Mengakibatkan perut kembung

Serat yang terdapat pada buah plum tak dinafikan amat berkesan dalam mencegah masalah seperti sembelit.

Namun jika diambil secara berlebihan, ia boleh menyebabkan peningkatan gas yang lebih banyak dan akibatnya perut menjadi kembung.

Menyebabkan tindak balas alahan

Sulfit ditemui secara semula jadi dalam sesetengah buah seperti strawberi, beri hitam, dan plum. Bagaimanapun, sesetengah orang yang sensitif sulfit akan bertindak balas terhadap pengambilan sulfit.

Untuk golongan ini, sulfit boleh mencetuskan gejala tindak balas sama seperti alahan makanan. Selain itu, kebanyakan penghidap asma juga dipercayai sensitif terhadap kehadiran sulfit ini.

Mencetuskan risiko batu karang

Jika diambil secara berlebihan, kalsium oksalat dalam plum mempunyai potensi untuk mengkristal. Batu karang yang terbentuk seterusnya menyebabkan jangkitan saluran kencing boleh berlaku. 

Risiko ini akan menjadi lebih teruk bagi orang yang mempunyai sejarah penyakit saluran kencing. Oleh itu, mereka perlu dihadkan pengambilan buah plum.

Cara makan buah plum

Cara makan Buah Plum

Kaedah pengambilan buah ini juga penting bagi memperoleh khasiat maksimum. Pasti anda tertanya-tanya bagaimana cara yang betul untuk makan buah plum. 

Selain enak dimakan mentah atau dikeringkan terlebih dahulu menjadi prun, ia juga boleh diolah dengan pelbagai cara seperti :

Hiasan pencuci mulut

Tekstur manis terdapat pada buah plum membuatkan ia sangat sesuai untuk dijadikan sebagai hiasan pencuci mulut.

Sama ada aiskrim, kek, ataupun sorbet, kehadiran buah plum menjadikan setiap juadah lebih lazat untuk dinikmati ketika musim panas.

Acar plum

Selain itu, plum yang diproses menjadi acar atau jeruk juga terkenal di beberapa negara seperti Jepun dan China.

Acar plum boleh dinikmati sebagai ulam atau dimakan bersama nasi putih. Ia juga sesuai dengan ikan kukus, daging panggang dan sup.

Minuman smoothie berasaskan plum

Seperti pelbagai jenis buah lain, plum juga boleh dikisar dan dijadikan sebagai smoothie yang sangat lazat.

Di samping itu, minuman tersebut juga boleh berikan nutrisi tambahan. Ini seterusnya boleh memenuhi keperluan khasiat tubuh setiap hari.

Kesimpulan

Sekiranya anda mahu cari snek buah yang lazat dan berkhasiat, buah plum atau prun merupakan pilihan yang sangat tepat. 

Ia kaya dengan pelbagai nutrien, serat, vitamin dan sesuai dimakan oleh semua peringkat usia. Buah ini juga mempunyai banyak manfaat lain seperti :

  1. Mengurangkan risiko diabetes 
  2. Melancarkan sistem penghadaman 
  3. Bagus untuk kesihatan mata
  4. Meningkatkan sistem imun tubuh
  5. Mengatasi sembelit 
  6. Meningkatkan fungsi otak
  7. Rasa kenyang yang lebih lama
  8. Mengurangkan anxiety
  9. Menyuburkan akar rambut 
  10. Berpotensi melawan kanser 
  11. Mencegah anemia 
  12. Mengurangkan risiko COPD 
  13. Merawat osteoporosis
  14. Melindungi kulit dari jerawat degil
  15. Mengurangkan risiko strok

Jika anda minat dengan khasiat atau kebaikan buah lain, boleh layari di bawah:

Similar Posts

Tinggalkan Balasan