Buah Manggis: 16 Kebaikan, Khasiat dan Cara Makan

Selain enak dimakan, buah manggis juga mengandungi banyak kelebihan dan khasiat tersendiri kepada aspek kesihatan.

Jika sebelum ini anda menikmati Ratu Buah tanpa mengetahui manfaatnya, kali ini kami akan bincangkan tentang khasiat nutrisi, kebaikan, kesan sampingan dan cara untuk makan buah manggis.

Jom kita mulakan!

Kebaikan Khasiat buah manggis
Share this Image On Your Site By Copy and Paste the HTML Code

Apa itu buah manggis?

buah manggis featured image

Manggis atau nama saintifiknya Garcinia Mangostana L. merupakan buah tropika yang berasal dari Kepulauan Sunda dan Maluku. Selain Indonesia, buah ini juga banyak ditanam dan diusahakan di Malaysia, Thailand dan Filipina.

Buah manggis memiliki kulit lembut yang tebal dan berwarna ungu pekat yang melindungi isinya yang bewarna putih dan boleh dimakan. 

Pokok manggis tumbuh setinggi 5 meter (15 kaki) dan menghasilkan buah berwarna ungu pekat yang melindungi isinya yang bewarna putih. Meskipun kulit tebalnya tidak boleh dimakan, tetapi ia mempunyai isi yang sangat manis.

Ia merupakan sejenis buah yang bermusim dan hanya berbunga pada masanya sahaja. Jika durian dipanggil raja buah, manggis pula adalah ratunya. Bukan setakat boleh dimakan begitu sahaja, manggis juga mengandungi pelbagai khasiat dan nutrisi yang baik untuk kesihatan.

Fakta nutrisi dan khasiat buah manggis

Berikut adalah fakta nutrisi untuk 100g buah manggis:

Makronutrien:

Kalori73 Kcal
Jumlah Karbohidrat17.9g
Serat (Karbohidrat)1.8g
Protein0.41g
Lemak0.58g

Mikronutrien (Vitamin):

Thiamin (Vitamin B1)0.054 mg
Riboflavin (Vitamin B2)0.054 mg
Niacin (Vitamin B3)0.286 mg
Pantothenic acid (Vitamin B5)0.032 mg
Vitamin B60.018 mg
Folate (Vitamin B9)31 µg
Vitamin C2.9 mg

Mikronutrien (Mineral):

Calcium12 mg
Copper0.069 mg
Iron0.3 mg
Phosphorus8 mg
Magnesium13 mg
Potassium48 mg
Zinc 0.21 mg

Mikronutrien (Fitonutrien):

Beta Carotene16 µg
Cryptoxanthin9 µg

16 kebaikan & khasiat buah manggis

Buah manggis sememangnya kaya dengan serat, mineral, vitamin dan nutrien. Maka tidak hairanlah ia mampu menawarkan banyak manfaat untuk kesihatan tubuh kita.

Jom semak 16 khasiat dan kebaikan buah ini :

1. Menurunkan berat badan

Berita baik buat anda yang sedang berusaha menurunkan berat badan. Ini kerana, buah manggis mengandungi beberapa komponen yang membantu meningkatkan metabolisme dan membakar lemak.

Pertama, manggis kaya dengan sebatian kimia semulajadi yang sangat unik iaitu Xanthone. Ia terbukti memberi kesan terhadap pengurangan berat badan pemakan buah ini.

Kedua menurut kajian, asid hidroksisitrik (HSA) yang terdapat pada ekstrak kulit buah manggis juga mempunyai sifat anti-obesiti. Manfaatnya termasuklah mampu kurangkan selera makan serta merencatkan pembentukan lemak dalam tubuh.

2. Menyembuhkan keradangan

Selain itu, sebatian Xanthone juga didapati berperanan dalam mengurangkan dan menyembuhkan keradangan secara semulajadi.

Dalan satu kajian melibatkan 60 orang peserta mendapati, pengambilan jus manggis selama 30 hari boleh menurunkan paras keradangan dalam tubuh sebanyak 46% tanpa memberi kesan sampingan terhadap organ hati dan buah pinggang.

3. Mengurangkan simptom arthritis

Disebabkan mempunyai kesan anti-radang yang kuat, buah ini juga berupaya mengurangkan kesakitan sendi pada penghidap arthritis.

Penyelidikan terhadap spesimen tikus makmal mendapati, sebatian Xanthone yang terdapat pada ekstrak kulit manggis mampu mengurangkan simptom arthritis. Bagaimanapun, ini belum terbukti sepenuhnya pada manusia.

4. Menjaga kesihatan mata

Mata merupakan antara organ yang memainkan peranan terpenting di dalam kehidupan harian kita. Degenerasi macular berkaitan usia merupakan antara masalah kesihatan yang menyebabkan seseorang hilang kebolehan untuk melihat. 

Kajian telah mendapati, sebatian Xanthone yang terdapat pada buah manggis dapat melambatkan dan mencegah kemunculan penyakit mata ini.

5. Meningkatkan imuniti

Fungsi sistem imun sangat penting untuk melindungi tubuh daripada sebarang jangkitan atau penyakit. Untuk menyokongnya, kita perlu amalkan gaya hidup serta pemakanan yang sihat.

Pengambilan buah manggis boleh membantu meningkatkan sistem imunisasi badan, dengan kehadiran vitamin C dan antioksidan yang sentiasa melawan radikal bebas penyebab sistem imun menjadi lemah.

6. Berpotensi mencegah kanser

Selain itu, manggis juga berpotensi untuk mencegah kanser secara semulajadi. Keupayaan ini disumbang oleh kandungan Xanthone yang terdapat di dalamnya.

Kajian melaporkan sebatian ini menunjukkan ciri-ciri antikanser di beberapa perkembangan barah seperti permulaan, perkembangan dan progresi. 

Xanthone turut berupaya merencatkan pertumbuhan pelbagai jenis kanser seperti kanser payudara dan paru-paru. Namun, banyak kajian klinikal perlu dijalankan untuk mengukuhkan lagi fakta tersebut.

7. Menjaga kesihatan mulut (oral)

Kesihatan mulut amat penting dalam menjaga penampilan diri. Mulut merupakan bahagian permulaan sistem penghadaman dan menyerlahkan kecantikan diri seseorang melalui penjagaan mulut dan gigi.

Bagaimana buah ini dapat menjaga kesihatan mulut? Ini kerana manggis mempunyai sifat antibakteria yang dapat membunuh kuman di dalam mulut. 

Satu kajian mendapati, semburan mulut yang mengandungi ekstrak buah manggis berhasil membunuh patogen yang menyebabkan masalah jangkitan kuman dalam mulut.

8. Merawat penyakit kemerosotan saraf

Kemerosotan saraf adalah penyakit yang mengganggu aktiviti tubuh seperti keseimbangan, pergerakan, percakapan dan fungsi jantung. Penyakit Alzheimer dan Parkinson adalah 2 jenis kemerosotan saraf yang sering terjadi.

Apa yang menarik, buah manggis didapati boleh membantu merawat penyakit kemerosotan saraf dan juga gangguan emosi seperti kemurungan.

Menurut satu kajian, ekstrak kulit manggis dan sebatian Xanthone memberi perlindungan kepada saraf. Ini sekaligus dapat mengurangkan risiko sebarang penyakit kemerosotan.

9. Mencegah pembentukan batu karang

Selain itu, pengambilan manggis juga membantu lancarkan pengeluaran air kencing dan memastikan pundi kencing anda kosong. Ini secara tidak langsung dapat mencegah pembentukan batu karang.

Selain kaya dengan komposisi air, buah manggis juga dilaporkan menyumbang kepada kesan diuretik atau kecenderungan untuk membuang air kecil.

10. Mengawal paras gula dalam darah

Jika paras gula dalam darah terlalu tinggi, ia boleh menyebabkan penyakit kencing manis. Tapi jangan bimbang, kerana manggis boleh membantu mengawal dan mengekalkan paras gula yang sihat dalam darah.

Kajian yang melibatkan 22 wanita obesiti mendapati bahawa, pengambilan ekstrak manggis dapat meningkatkan kepekaan insulin bagi kumpulan peserta tersebut.

Kepekaan insulin tinggi membolehkan sel-sel menyerap kandungan gula dengan lebih efisien, seterusnya mengurangkan paras gula yang terdapat dalam darah.

11. Mencegah penyakit kardiovaskular

Satu lagi manfaat kesihatan manggis adalah berupaya mencegah penyakit kardiovaskular. Khasiat ini sangat penting untuk kesihatan tubuh dan jantung.

Kandungan kuprum, mangan, potasium dan magnesium dalam buah manggis dapat menurunkan tekanan darah. Ekstrak buah ini juga boleh mengurangkan kolesterol jahat dan meningkatkan kolesterol baik.

12. Merawat masalah mental 

Masalah mental merupakan antara penyakit serius yang memerlukan rawatan berterusan. 

Satu kajian melaporkan bahawa ekstrak kulit manggis berpotensi digunakan sebagai rawatan sokongan terhadap penyakit mental seperti kecelaruan bipolar dan skizofrenia.

Bagaimanapun, kajian-kajian klinikal masih diperlukan untuk memperoleh dapatan kukuh bahawa manggis benar-benar mampu merawat masalah mental.

13. Menjaga sistem penghadaman

Setiap individu dewasa seharusnya ambil 30 gram makanan kaya serat setiap hari untuk memastikan fungsi sistem penghadaman yang normal. Namun kebanyakan kita tidak berkesempatan mendapatkannya kerana gaya hidup yang sibuk.

Manggis mengandungi serat yang tinggi. Serat diperlukan untuk kesihatan penghadaman dan baik untuk bakteria baik dalam usus.

Oleh itu, buah manggis merupakan antara makanan berserat tinggi yang perlu anda ambil. Selain menggalakkan pertumbuhan bakteria baik, pengambilan serat juga menghindarkan kita daripada pelbagai penyakit.

14. Baik untuk kesihatan kulit 

Bukan sahaja untuk penghadaman, manggis juga bermanfaat untuk mengekalkan kesihatan kulit. 

Antara nutrien yang menyumbang kepada kesihatan kulit adalah protein, vitamin C, vitamin B1, vitamin B2 dan mineral seperti mangan, kuprum dan magnesium.

Kajian malah mendapati, pengambilan ekstrak kulit manggis sebanyak 100mg sehari selama 3 bulan berhasil meningkatkan keanjalan kulit dan anti penuaan.

15. Mencegah anemia 

Anemia adalah penyakit di mana badan tidak mempunyai sel darah merah yang cukup. Hal ini terjadi disebabkan kurangnya zat besi yang menghasilkan sel darah merah. 

Pesakit akan sering mengalami keletihan kerana kekurangan sel darah merah untuk mengangkut oksigen ke sel badan. Namun tahukah anda, manggis merupakan sumber zat besi yang bagus.

Selain itu, vitamin C dalam buah ini juga membantu penyerapan zat besi sekaligus menggalakkan penghasilan sel darah merah.

16. Merawat penyakit asma

Asma tergolong dalam kategori penyakit yang berbahaya dan boleh menyebabkan kematian. Namun siapa sangka, pengambilan buah manggis boleh merawatnya.

Penyelidikan terhadap spesimen tikus makmal yang diberikan ekstrak manggis selama 3 hari mendapati, sebatian Xanthone dipercayai berperanan dalam mengurangkan gejala asma.

Kesan sampingan buah manggis

kesan sampingan buah manggis

Secara umumnya, manggis selamat untuk dimakan oleh manusia di setiap peringkat umur. Banyak manfaat diperolehi tubuh jika buah ini dimakan secara teratur.

Walaupun mempunyai nilai pemakanan yang berkhasiat, tapi pengambilan manggis secara berlebihan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti :

Melambatkan pembekuan darah

Sebatian Xanthone yang terdapat pada buah manggis tak dinafikan mempunyai banyak manfaat dan khasiat terhadap kesihatan manusia.

Namun jika dimakan secara berlebihan, Xanthone juga boleh melambatkan proses pembekuan darah. Selain itu, pengambilan manggis juga meningkatkan risiko pendarahan semasa atau selepas prosedur pembedahan.

Menyebabkan asid laktik terkumpul dalam tubuh

Lactic acidosis adalah keadaan di mana asid laktik terkumpul. Ini berlaku kerana pH aliran darah terlalu rendah, lalu menunjukkan pengumpulan asid laktik yang berlebihan dalam badan.

Keadaan ini boleh bertukar lebih teruk akibat mengambil buah manggis sebagai makanan tambahan. Jika tidak dirawat ia boleh menyebabkan pengumpulan asid dalam badan ke tahap berbahaya, lalu membawa kepada kejutan atau kematian.

Mencetuskan gejala gastrousus

Sesetengah kajian menunjukkan bahawa individu mengalami gejala gastrousus selepas makan manggis selama lebih 26 minggu. 

Gejala penyakit ini termasuklah seperti kembung perut, cirit-birit, refluks gastrik dan juga sembelit.

Cara makan buah manggis

Kaedah pengambilan buah ini juga penting bagi memperoleh khasiat maksimum. Pasti anda tertanya-tanya bagaimana cara yang betul untuk makan buah manggis. 

Selain isinya enak dimakan begitu saja, buah manggis juga boleh diolah dengan pelbagai kaedah seperti :

Salad buah (mixed fruits salad)

Tekstur manis dan lembut pada isi manggis membuatkan ia sesuai untuk dicampur dengan buah-buahan lain sebagai menu salad.

Di samping sesuai untuk menggantikan manisan kerana rendah kalori, salad buah juga membuatkan perut cepat berasa kenyang.

Jus kulit manggis

Kebiasaannya, kulit manggis yang berwarna ungu dibuang selepas proses mengupas. Namun ramai tidak tahu, bahagian itu sebenarnya kaya dengan sebatian Xanthone yang menawarkan banyak manfaat kepada tubuh.

Resepinya juga cukup mudah. Terlebih dahulu kulit manggis dicuci bersih, lalu dipotong kecil dan dimasukkan ke dalam pengisar bersama air. Walaupun asalnya jus tersebut berasa pahit, tetapi ia boleh diminum selepas dikacau bersama madu.

Milkshake berasaskan manggis

cara makan buah manggis

Seperti pelbagai jenis buah lain, isi manggis juga boleh dikisar lalu dijadikan sebagai milkshake yang sangat lazat.

Selain enak diminum ketika cuaca panas, ia juga mampu memberikan khasiat dan nutrisi tambahan kepada tubuh seseorang individu.

Kesimpulan

Sekiranya anda mahu cari snek buah yang lazat dan berkhasiat, buah manggis pastinya merupakan pilihan yang cukup tepat. 

Ia kaya dengan pelbagai serat, vitamin, antioksidan serta sesuai dimakan oleh semua peringkat usia. Buah ini juga mempunyai banyak manfaat lain seperti :

  1. Menurunkan berat badan
  2. Menyembuhkan keradangan
  3. Mengurangkan simptom arthritis
  4. Menjaga kesihatan mata
  5. Meningkatkan imuniti
  6. Berpotensi mencegah kanser
  7. Menjaga kesihatan mulut (oral)
  8. Merawat penyakit kemerosotan saraf
  9. Mencegah pembentukan batu karang
  10. Mengawal paras gula dalam darah
  11. Mencegah penyakit kardiovaskular
  12. Merawat masalah mental 
  13. Menjaga sistem penghadaman
  14. Baik untuk kesihatan kulit 
  15. Mencegah anemia 
  16. Merawat penyakit asma

Jika anda minat dengan khasiat atau kebaikan buah lain, boleh layari di bawah:

Similar Posts

Tinggalkan Balasan