Rambut Gugur Selepas Bersalin: Punca dan Cara Merawat

Rambut gugur selepas bersalin adalah perkara yang biasa. Oleh itu, jangan anda berasa risau sangat.

Artikel ini bincang tentang:

  • punca rambut gugur selepas bersalin
  • cara merawat rambut gugur selepas bersalin

Mari kita mula!

Kitaran rambut

Kebanyakan wanita selepas bersalin akan mengalami masalah rambut gugur. Pada kebiasaanya, rambut gugur selepas bersalin tidak akan menyebabkan kebotakan.

Ketika wanita sedang mengandung, rambut akan menjadi lebih tebal kerana peningkatan hormon estrogen. Selepas dalam dua hingga 5 bulan selepas melahirkan anak, paras estrogen akan menurun dan akan menyebabkan keguguran rambut.

Kesan keguguran rambut akan kelihatan agak ketara di sekitar garis rambut dan di kawasan hadapan atas kiri dan kanan kepala.

Namun, jangan bimbang kerana rambut akan tumbuh semula tanpa sebarang rawatan, dan kadangkala rawatan dari segi makanan, pengubahan gaya hidup atau rawatan moden dapat membantu anda untuk mendapatkan rambut yang sihat semula. 

Ada tiga fasa kitaran rambut manusia yang merangkumi pertumbuhan dan keguguran rambut perlu kita ketahui:

Kitaran pertama dinamakan Anagen

Anagen adalah fasa pertumbuhan rambut di mana folikel rambut menolak serat rambut. Lebih kurang 85% folikel rambut dalam fasa ini sedang tumbuh dengan aktif selama dua hingga enam tahun.

Kitaran kedua dinamakan Catagen

Catagen adalah fasa peralihan pertumbuhan rambut di mana diameter folikel rambut akan berkurangan dan menjadi bentuk seakan-akan silinder dan rambut hanya kelihatan lebat secara beransur-ansur ke arah hujung atau digambarkan seperti bentuk bunga club di dalam permainan kad daun terup. Jika rambut terus gugur, rambut akan kelihatan semakin menipis. Fasa ini dianggarkan akan berlaku selama beberapa minggu.

Kitaran ketiga dinamakan Telogen

Telogen adalah fasa rehat daripada pertumbuhan rambut di mana folikel rambut akan menjadi tidak aktif dan tiada rambut baru akan tumbuh. Dianggarkan sekitar 15% daripada folikel rambut akan berada di dalam fasa rehat. Selepas dua hingga tiga bulan, fasa Anagen akan bermula semula dan menolak rambut telogen keluar.

Fasa eksogen

Eksogen adalah fasa tambahan yang berbeza di mana batang rambut aktif dan rambut baru akan terus tumbuh.

Adalah normal untuk kita keguguran rambut sekitar 50 hingga 100 helaian rambut sehari. Faktor bersalin adalah salah satu punca yang menyebabkan gangguan kepada kitaran rambut yang boleh mengakibatkan 70% rambut di dalam fasa Anagen bertukar ke fasa Telogen. Keadaan ini dinamakan sebagai telogen effluvium. 

Mari ketahui lebih lanjut tentang punca lain yang menyebabkan rambut gugur selepas bersalin!

4 punca rambut gugur selepas bersalin

Rambut Gugur Selepas bersalin featured image

Perubahan hormon

Hormon boleh memainkan peranan dalam corak rambut yang terdapat di kepala anda serta seluruh badan anda. Perubahan hormon dan ketidakseimbangan yang menjejaskan pertumbuhan rambut boleh disebabkan oleh kehamilan, bersalin, menopaus serta masalah tiroid. 

Anda tidak perlu bimbang kerana keguguran rambut yang berkaitan dengan hormon biasanya bersifat sementara, dan pertumbuhan rambut yang normal akan kembali apabila keseimbangan hormon kembali.

Kajian menunjukkan ramai pesakit mengalami telogen effluvium selama dua hingga empat bulan selepas bersalin. Postpartum telogen effluvium (PPTE) adalah fenomena yang biasa yang  berterusan selama 6 hingga 24 minggu dan, jarang sekali, boleh bertahan sehingga 15 bulan. 

Bahkan kajian juga menunjukkan,kulit telogen selepas bersalin mengandungi perencat endogen peralihan telogen-anagen, yang dipanggil chalone. Kesan BMP4 pada folikel rambut telogen selepas bersalin mengesahkan identiti BMP4 sebagai chalone.

BMP4 (Bone morphogenetic protein 4) adalah polipeptida superfamili TGF-β protein. Ia berfungsi seperti protein morfogenetik tulang yang lain yang terlibat dalam pembangunan tulang dan rawan terutamanya pembangunan gigi dan anggota badan serta pembaikan patah tulang.

Stress

punca rambut gugur stress

Kehadiran orang baru di dalam kehidupan kita adalah salah satu saat yang sangat dinanti-nantikan dan bahagia dalam hidup. Bagaimanapun, kita semua tahu bahawa proses perubahan dalam hidup memerlukan masa untuk kita menyesuaikan diri di dalam suasana baru. Kadangkala, ini dapat membuatkan kita rasa stress atau tertekan. 

Terdapat tekanan emosi dan fizikal yang besar yang terlibat sejurus selepas melahirkan anak. Tekanan selepas bersalin dan kemurungan boleh menyebabkan keguguran rambut.

Kajian menunjukkan dalam keadaan tertekan, kandungan kortikosteron akan meningkat dan menghalang pertumbuhan semula ram but. Kortikosteron didapati mempengaruhi sel stem folikel rambut dengan menghalang papila dermal daripada merembeskan GAS6 iaitu molekul yang boleh mengaktifkan sel stem folikel rambut. Penghantaran molekul GAS6 ke dalam kulit dapat memulihkan pertumbuhan rambut pada tikus yang diberi kortikosteron atau mengalami tekanan kronik.

Kajian juga menunjukkan tempoh tekanan yang berpanjangan boleh mengakibatkan telogen effluvium, iaitu keguguran rambut telogen atau rehat yang berlebihan selepas tekanan metabolik, perubahan hormon atau disebabkan oleh pengambilan ubat. Keguguran rambut biasanya berlaku kira-kira 3 bulan selepas peristiwa yang menimbulkan tekanan.

Kurang tidur

Bayi yang masih kecil memerlukan perhatian yang lebih daripada ibunya tidak kira waktu. Maka tidak hairanlah ibu selepas bersalin kelihatan lesu kerana tidak mendapat tidur yang cukup. Kekurangan rehat dan kekurangan tidur dapat menyebabkan rambut gugur selepas bersalin.

Kajian menunjukkan corak tidur yang tidak baik dan kitaran sirkadian yang tidak betul akan meningkatkan tahap kortisol (hormon tekanan) yang mengakibatkan keguguran rambut.

Selain itu, kajian juga menunjukkan pembebasan neurohormon, neurotransmitter, dan sitokin yang berkaitan dengan tahap tekanan yang berlebihan menjejaskan kitaran pertumbuhan rambut.

Kurang nutrisi

Kekurangan nutrisi yang baik dapat menjejaskan kesihatan wanita selepas bersalin termasuk menyebabkan rambut gugur. Oleh kerana badan anda mengalami perubahan besar (bersalin) dan kehilangan banyak darah, anda juga kehilangan nutrisi. Rambut memerlukan nutrien untuk tumbuh dengan sihat  termasuk protein, zat besi, vitamin B, dan zink. Kekurangan nutrien ini boleh menjejaskan kualiti dan kuantiti rambut seseorang.

Kajian menunjukkan riboflavin, biotin, folat, dan kekurangan vitamin B12 telah dikaitkan dengan keguguran rambut. Vitamin B2 (riboflavin) adalah komponen dua koenzim yang penting iaitu flavin mononucleotide (FMN) dan flavin adenine dinucleotide (FAD). 

Kajian juga menunjukkan kekurangan nutrisi boleh menjejaskan struktur rambut dan pertumbuhan rambut. Kesan pada pertumbuhan rambut termasuk akut telogen effluvium (TE), kesan penurunan berat badan secara tiba-tiba atau penurunan pengambilan protein, serta kekurangan niasin. Kajian juga telah melaporkan terdapat potensi kaitan antara kekurangan nutrisi dengan TE kronik, alopecia androgenetik (AGA), keguguran rambut corak wanita (FPHL), dan alopecia areata (AA).

Cara merawat rambut gugur selepas bersalin

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, rambut gugur selepas bersalin adalah tidak kekal dan rambut dijangkakan akan tumbuh seperti biasa pada tempoh tertentu.

Terdapat beberapa cara merawat rambut gugur antaranya adalah melalui pemakanan yang mengandungi vitamin yang dapat membantu kesihatan rambut, herba atau petua menjaga rambut daripada bahan semulajadi dan juga rawatan moden seperti ubat-ubatan dan rawatan pakar.

Cara merawat rambut gugur selepas bersalin melalui pemakanan

Telur

Telur adalah sumber protein dan biotin yang baik untuk kesihatan dan pertumbuhan rambut. Kekurangan salah satu daripada nutrien ini telah dikaitkan dengan keguguran rambut.

Kajian menunjukkan asid amino sulfur dalam protein adalah prekursor kepada sintesis protein rambut keratin yang dapat menguatkan akar rambut dan mencegah keguguran rambut pramatang.

Kajian juga menunjukkan kandungan protein yang mencukupi adalah penting untuk pertumbuhan rambut kerana folikel rambut kebanyakannya diperbuat daripada protein. Kekurangan protein yang mencukupi di dalam diet akan meningkatkan risiko keguguran rambut.

Malah kajian turut menyokong bahawa telur mengandungi faktor pertumbuhan rambut utama yang merangsang sel papilla kulit manusia iaitu sekumpulan sel yang mengawal pengeluaran rambut dan kitaran pertumbuhan rambu untuk perkembangan rambut baru.

Ikan

Ikan juga kaya dengan protein dan asid lemak omega-3 yang dapat meningkatkan kesihatan rambut.

Kajian mendapati bahawa suplemen minyak ikan yang kaya dengan asid lemak omega-3 dapat menggalakkan pertumbuhan rambut dan mengurangkan penipisan rambut.

Selain itu, kajian pada tahun 2015  terhadap 120 wanita menunjukkan bahawa pengambilan suplemen yang mengandungi asid lemak omega-3 dan omega-6 serta antioksidan boleh mengurangkan keguguran rambut dan meningkatkan ketumpatan rambut.

Ikan yang mempunyai kandungan lemak baik atau fatty fish adalah seperti ikan salmon, ikan sardin dan ikan kembung.

Kekacang

Kekacang bukan sahaja snek yang mudah didapati, ia juga mengandungi pelbagai nutrien yang penting untuk pertumbuhan rambut. Sesetengah jenis kacang kaya dengan nutrien seperti asid lemak, vitamin B, vitamin E dan zink.

Kajian menunjukkan kacang seperti kacang kuda dan lentil merah kaya dengan asid folik, zat besi, fosforus, zink, magnesium dan serat.

Kajian juga mendapati kekacang mengandungi vitamin B, zink, dan asid lemak penting. Kekurangan nutrien-nutrien ini telah dikaitkan dengan masalah keguguran rambut

Sayur- sayuran dan buah-buahan

Cara merawat rambut gugur selepas bersalin melalui pemakanan

Pengambilan sayur-sayuran amat digalakkan kerana ia dapat menyokong dan meningkatkan sistem imun anda. Sayur-sayuran juga mengandungi nutrien penting yang dapat membantu kesihatan rambut anda juga.

Kajian menunjukkan bayam ialah sayuran yang sarat dengan nutrien bermanfaat seperti folat, zat besi, dan vitamin A dan C yang penting untuk pertumbuhan rambut

Buah-buahan yang mengandungi vitamin C juga dapat membantu kesihatan rambut. Kajian juga menunjukkan badan menggunakan vitamin C untuk menghasilkan kolagen iaitu protein yang dapat membantu menguatkan rambut untuk mengelakkannya daripada menjadi rapuh dan mudah patah.

Kajian juga mendapati sayur-sayuran yang mengandungi vitamin E dapat melindungi kawasan kulit termasuk kulit kepala daripada tekanan oksidatif dan kerosakan. Kulit yang rosak pada kulit kepala boleh mengakibatkan kualiti rambut yang buruk dan jumlah folikel rambut yang sedikit.

Daging ternakan

Daging ternakan seperti ayam dan daging lembu juga mengandungi nutrien penting yang dapat mengurangkan masalah keguguran rambut.

Kajian menunjukkan lemak haiwan di dalam daging ayam mengandungi asid lemak omega-6 yang dapat merangsang papila dermal dan mengawal kitaran pertumbuhan rambut untuk rambut yang sihat.

Kajian juga menunjukkan potongan daging lembu tanpa lemak kaya dengan zat besi, zink, selenium, vitamin dan protein yang menggalakkan pertumbuhan rambut yang sihat dan mengurangkan keguguran rambut.

Sesentengah ibu selepas bersalin mempunyai pantang dalam pemakanan yang perlu di patuhi dalam tempoh tertentu. Anda boleh mengamalkan pemakanan ini selepas tempoh pantang selesai jika jenis makanan tidak sesuai untuk diambil semasa dalam pantang. 

Cara merawat rambut gugur selepas bersalin melalui bahan semulajadi

Minyak pati

Penggunaan minyak pati dapat membantu merangsang pertumbuhan rambut. 

Kajian menunjukkan pelbagai jenis minyak pati antaranya minyak chamomile, minyak thyme, minyak pokok teh dan lain-lain boleh memperbaiki masalah berkaitan dengan keguguran rambut seperti alopecia areata, androgenetic alopecia dan psoriatic alopecia.

Anda boleh cuba dengan mencampurkan beberapa titis minyak pati pilihan anda dengan beberapa sudu besar carrier oil, seperti jojoba atau biji anggur. Carrier oil adalah minyak yang berasal dari tumbuhan dan berfungsi sebagai campuran minyak yang penting sebelum disapukan ke kulit. Pastikan anda tiada alahan terhadap minyak pati yang digunakan.

Kajian juga menunjukkan penggunaan minyak rosemary bersama minoxidil dapat mengurangkan kegatalan pada kulit kepala. Satu lagi kajian ke atas tikus mendapati minyak pudina dapat meningkatkan bilangan folikel rambut, kedalaman folikel rambut dan pertumbuhan rambut secara keseluruhan.

Herba Cina

Penggunaan herba cina juga merupakan alternatif yang baik untuk merawat rambut anda.

Kajian menunjukkan cendawan reishi yang juga dikenali sebagai lingzhi sering digunakan dalam tonik rambut. Ia mempunyai sifat antioksidan, antivirus, antimikrob, anti-radang dan antibakteria. 

Kajian juga menunjukkan herba cina yang dinamakan Wu Wei Zin Herba berfungsi sebagai tonik yang membantu membersihkan darah. Ia juga adalah faktor penggalak pertumbuhan rambut dalam kajian yang dijalankan ke atas tikus.

Kajian ke atas satu lagi herba cina, Fo-ti  yang juga dikenali sebagai he-shou-wu. Fo-ti telah digunakan sejak sekian lama untuk merawat keguguran rambut dan kebotakan. Ia juga boleh membantu memulihkan pigmentasi semula jadi rambut dan meningkatkan peredaran darah.

Pastikan anda mendapat nasihat pakar sebelum memulakan rawatan ini.

Inai

Penggunaan daun inai adalah tidak asing lagi terutamanya dikalangan kaum melayu di Malaysia. Hari ini terdapat pelbagai jenis inai yang dijual dalam bentuk serbuk dan cecair untuk memudahkan anda mewarnakan kuku dan merawat rambut anda.

Kajian menunjukkan daun inai dapat membantu memperbaiki dan mengekalkan kesihatan kulit kepala kerana ia dapat menyejukkan kulit kepala, bersifat antikulat dan antimikrob. 

Kajian juga menunjukkan nutrien dalam inai dapat membantu dalam menyuburkan rambut anda dan membaiki kerosakan rambut. Penyelidikan menunjukkan inai boleh mengurangkan hujung rambut bercabang, keguguran rambut, dan kerosakan rambut. Ia juga membantu menjaga kulit kepala bersih.

Bunga Raya

Bunga raya dapat membantu pertumbuhan rambut anda secara semulajadi. 

Kajian mencadangkan bunga raya berpotensi untuk merangsang folikel rambut yang tidak aktif dalam tompok botak pada rambut. 

Kajian ke atas tikus juga mendapati bahawa ekstrak daun dan bunga bunga raya menggalakkan pertumbuhan rambut. 

Selain itu, kajian juga menunjukkan biji bunga raya kaya dengan asid amino yang dapat menyuburkan rambut, menguatkan akar rambut dan membuatkan rambut anda bersinar dan kelihatan sihat.

Kaedah lain yang dapat merawat rambut gugur selepas bersalin

  1. Penggunaan shampoo volumizing boleh membuatkan rambut anda kelihatan lebat dan bersinar.
  2. Kurangkan penggayaan rambut yang memberi tekanan kepada akar rambut anda.
  3. Cuci rambut mengikut keperluan untuk mengelakkan lebihan minyak dan kotoran pada kulit kepala yang boleh menyebabkan rambut gugur dan kegatalan. Cuci rambut secara berlebihan boleh menyebabkan rambut gugur. 
  4. Amalkan gaya hidup yang sihat seperti senaman ringan dan mengelakkan diri dari memakan makanan yang boleh menjejaskan kesihatan rambut. 
  5. Dapatkan nasihat pakar sebelum mengamalkan apa-apa jenis vitamin atau suplemen. Pastikan vitamin atau suplement tidak mengandungi bahan terlarang yang dapat menbahayakan anda sebagai ibu yang baru lepas bersalin dan proses penyusuan kepada bayi anda.

Kesimpulan

Kebanyakan wanita akan mengalami masalah rambut gugur selepas bersalin.

Punca utama adalah disebabkan paras estrogen menurun lepas bersalin yang akan menyebabkan keguguran rambut. Selain itu, faktor-faktor seperti stress, kurang tidur dan kurang nutrisi juga menyebabkan keguguran rambut.

Anda boleh mengurangkan keguguran rambut dengan memastikan anda makan makanan yang seimbang termasuk telur, ikan, kekacang, sayur-sayuran, buah-buahan dan daging ternakan.

Anda juga boleh merawat rambut gugur melalui bahan semula jadi seperti minyak pati, herba cina, inai dan bunga raya.

Anda boleh baca lebih lanjut tentang:

Similar Posts

Tinggalkan Balasan