12 Kesan Kencing Manis Yang Anda Harus Tahu

Artikel ini bincang tentang kesan kencing manis. Ia bukan sahaja dari aspek bagaimana badan menjalankan fungsi dan peranannya, tetapi ia juga memberi impak kepada emosi, fizikal dan gaya kehidupan seseorang pesakit. Jom kita mula.

Kesan Kencing Manis featured image

Kesan kencing manis

1. Menjejaskan kesihatan mata

Kesan Kencing Manis Mata

Kesihatan mata yang terjejas adalah salah satu kesan kencing manis yang boleh membawa kepada pelbagai komplikasi penglihatan. Salah satu kebimbangan utama ialah retinopati diabetik iaitu keadaan di mana terdapat kerosakan pada saluran darah di retina akibat dari paras gula dalam darah tinggi yang berpanjangan. 

Apabila saluran darah ini lemah dan bocor, ia boleh menyebabkan pembengkakan pada retina dan membentuk saluran darah yang tidak normal. Perubahan ini boleh mengakibatkan gangguan penglihatan dan, jika tidak dirawat, ia boleh berkembang menjadi buta yang tidak dapat dipulihkan. 

Selain itu, kencing manis juga berpotensi meningkatkan risiko penyakit mata yang lain seperti katarak dan glaukoma. Kajian mendapati  penyakit kencing manis boleh menyebabkan katarak melalui tiga mekanisme molekul iaitu glikasi bukan enzimatik protein kanta, tekanan oksidatif dan laluan poliol teraktif. 

Mekanisme ini menyumbang kepada perkembangan katarak diabetes. Ada juga kemungkinan bahawa diabetes mellitus meningkatkan gentian saraf optik akan mudah terdedah kepada kerosakan glaukoma kerana kesannya pada saluran kecil mata. 

Pemeriksaan mata yang kerap dan mengekalkan paras gula darah yang optimum adalah penting bagi individu yang menghidap diabetes untuk mengurangkan risiko ini dan memelihara kesihatan mata mereka.

2. Melambatkan penyembuhan luka dan jangkitan

Kesan Kencing Manis luka

Melambatkan penyembuhan luka dan jangkitan adalah antara kesan kencing manis yang utama. Penyakit kencing manis boleh menghalang proses penyembuhan semula jadi luka dengan ketara dan mudah terdedah kepada jangkitan. 

Tahap gula dalam darah yang tinggi pada individu yang menghidap diabetes boleh menyebabkan peredaran darah yang lemah. Ini akan menjejaskan penghantaran nutrien dan oksigen penting ke kawasan yang terjejas. Akibatnya, keupayaan tubuh untuk menjana tisu baru dan membaiki saluran darah yang rosak terjejas. 

Tambahan lagi, penyakit kencing manis boleh menjejaskan fungsi sistem imun dan mengurangkan keupayaan sistem imun untuk memerangi jangkitan dengan efisien. Paras gula dalam darah tinggi yang berterusan juga boleh menyumbang kepada kerosakan saraf yang mengurangkan rasa sakit dan menjadikan individu yang menghidap diabetes kurang menyedari tentang kecederaan yang dialami. Akibatnya, luka kecil boleh meningkat menjadi ulser atau jangkitan yang lebih teruk tanpa tindakan perubatan yang sepatutnya.

Kajian menerangkan kencing manis berpotensi melambatkan penyembuhan luka dan mudah terdedah kepada jangkitan atas beberapa faktor, antaranya:

  • Disfungsi Vaskular dan Mikrovaskular: Hiperglisemia akan menyebabkan saluran peredaran darah berkurangan dan disfungsi mikrovaskular yang mengakibatkan pengurangan pengoksigenan tisu dan aliran darah terjejas ke tapak luka.
  • Fungsi Leukosit Terjejas: Perubahan saluran darah pada pesakit diabetes mengurangkan penghijrahan leukosit ke dalam luka menjadikan mereka lebih terdedah kepada jangkitan. Persekitaran hiperglisemik juga boleh menjejaskan fungsi leukosit, seterusnya menghalang keupayaan tubuh untuk melawan jangkitan.
  • Tindak Balas Radang Berpanjangan: Diabetes membawa kepada keparahan keadaan keradangan, dengan peningkatan paras sitokin radang seperti interleukin 1β (IL-1β) dan faktor nekrosis tumor α (TNFα) yang boleh memanjangkan tindak balas keradangan dan melambatkan proses penyembuhan.
  • Mengurangkan Pengeluaran Faktor Pertumbuhan: Diabetes menjejaskan pengeluaran faktor pertumbuhan yang terlibat dalam memulakan dan mengekalkan proses penyembuhan seperti faktor pertumbuhan seperti insulin-1 (IGF-1) dan faktor pertumbuhan mengubah-β (TGFβ) yang penting untuk sel granulasi, epithelisasi semula luka dan angiogenesis.

Pengurusan tahap glukosa darah yang betul, penjagaan luka yang teliti dan pemantauan perubatan yang kerap adalah penting untuk mengurangkan komplikasi ini dan memudahkan proses penyembuhan pada individu yang menghidap diabetes.

3. Risiko ke atas kesihatan buah pinggang

Penyakit kencing manis akan memberi kesan terhadap kesihatan buah pinggang. Salah satu komplikasi yang paling lazim ialah nefropati diabetik. Pendedahan paras gula yang tinggi dalam darah secara berpanjangan boleh merosakkan saluran darah kecil di buah pinggang. Ini akan menjejaskan keupayaan mereka untuk menapis sisa dan cecair berlebihan daripada darah dengan berkesan. 

Dari masa ke masa, ini boleh membawa kepada pengumpulan bahan berbahaya dan penurunan beransur-ansur dalam fungsi buah pinggang. Selain itu, perubahan tekanan darah yang disebabkan oleh kesan kencing manis boleh membebankan lagi buah pinggang. Keadaan ini berlaku secara senyap, dengan simptom-simptom hanya muncul pada peringkat akhir. 

Jika dibiarkan tanpa rawatan, nefropati diabetik boleh berkembang menjadi penyakit buah pinggang peringkat akhir yang memerlukan dialisis atau pemindahan buah pinggang untuk terus hidup. 

Kajian mendapati diabetes menjejaskan kesihatan buah pinggang dengan menyebabkan penyakit buah pinggang diabetik atau Diabetic Kidney Disease (DKD), yang merupakan komplikasi biasa diabetes Jenis 1 dan Jenis 2. Selain itu, glukosa berlebihan bergabung dengan asid amino bebas boleh menyebabkan komplikasi buah pinggang dan mikrovaskular. 

Pengurusan diabetes yang optimum, termasuk kawalan gula darah dan tekanan darah, bersama-sama dengan pengubahsuaian gaya hidup memainkan peranan penting dalam mencegah atau memperlahankan perkembangan komplikasi buah pinggang pada individu yang menghidap diabetes. 

4. Kerosakan saraf

Kesan Kencing Manis saraf

Kerosakan saraf atau neuropati diabetik adalah kesan kencing manis  yang terhasil daripada pendedahan berpanjangan terhadap paras gula dalam darah yang tinggi. Dari masa ke masa, paras glukosa yang tinggi ini boleh menjejaskan saraf di seluruh badan, terutamanya di bahagian kaki. 

Mekanisme yang tepat tidak difahami sepenuhnya tetapi dipercayai bahawa perubahan metabolik yang dikaitkan dengan diabetes, keradangan dan tekanan oksidatif menyumbang kepada kerosakan saraf. Neuropati diabetik boleh menyebabkan gejala seperti kesemutan, kebas, atau sakit, selalunya bermula pada bahagian kaki dan berkembang ke bahagian badan yang lain. 

Kajian menunjukkan penyakit kencing manis berpotensi mengalami kerosakan saraf melalui gabungan komponen iskemia dan metabolik. Hiperglisemia mendorong perubahan reologi yang meningkatkan rintangan vaskular endothelial dan mengurangkan aliran darah saraf. Ia juga mengurangkan myoinositol saraf dan mengaktifkan laluan poliol yang membawa kepada pengumpulan sorbitol dan fruktosa dalam saraf. 

Selain itu, hiperglisemia mendorong tekanan oksidatif dan mengaktifkan protein kinase C yang telah dikaitkan dengan kerosakan vaskular dalam neuropati diabetik. Perubahan ini mengakibatkan metabolisme sel neuron, akso, dan Schwann yang tidak normal. Ini akan membawa kepada pengangkutan akson terjejas dan akhirnya kerosakan saraf.

Kawalan glisemik yang ketat, pengubahsuaian gaya hidup dan pengesanan awal adalah penting dalam mengurus neuropati diabetik dan mencegah perkembangannya kerana keadaan boleh menjadi lebih kronik termasuk pergerakan terjejas dan peningkatan risiko jangkitan, dan kecederaan akibat pengurangan sensasi di kawasan yang terjejas.

5. Penyakit gusi

Kesan kencing manis boleh menyumbang kepada peningkatan risiko penyakit gusi yang juga dikenali sebagai penyakit periodontal. Tahap glukosa yang tinggi dalam darah boleh menyebabkan fungsi imun terjejas dan ini menjadikan individu yang menghidap diabetes lebih mudah terdedah kepada jangkitan, termasuk menjejaskan kesihatan gusi. 

Penyakit kencing manis boleh mengganggu keseimbangan bakteria di dalam mulut dan membawa kepada pengumpulan plak iaitu bakteria yang terbentuk pada gigi. Apabila plak tidak dikeluarkan secukupnya melalui pembersihan mulut yang betul, ia boleh mengeras menjadi karang gigi dan menyebabkan keradangan pada gusi.

Kajian menerangkan individu yang menghidap diabetes mempunyai tiga kali ganda peningkatan risiko periodontitis dan tahap kawalan glisemik adalah penting dalam menentukan risiko ini. Selain itu, individu diabetes dengan periodontitis yang parah telah meningkatkan keadaan makroalbuminuria dan penyakit buah pinggang peringkat akhir.

Oleh itu, mengekalkan kebersihan mulut yang baik, pemeriksaan pergigian yang kerap dan pengurusan diabetes yang berkesan adalah penting dalam mencegah dan mengurus penyakit gusi pada individu yang menghidap diabetes.

6. Masalah kesihatan berkaitan dengan kulit

Terdapat pelbagai masalah kulit akibat daripada kesan kencing manis yang menjejaskan struktur dan fungsi kulit. Saalah satu komplikasi kulit adalah dermopati diabetik iaitu keadaan di mana tompok bersisik coklat muda muncul pada kulit dan pada kebiasaanya di kawasan tulang kering. 

Peredaran darah yang berkurangan dan kerosakan saraf yang berkaitan dengan diabetes boleh menyebabkan kulit kering. Ini akan menyebabkan pesakit lebih terdedah kepada kegatalan dan mewujudkan persekitaran yang kondusif kepada jangkitan. Tambahan pula, penyakit kencing manis boleh menjejaskan keupayaan sistem imun untuk memerangi bakteria, kulat dan patogen lain, dan ini boleh meningkatkan risiko jangkitan kulit. 

Masalah kulit yang kedua adalah acanthosis nigricans, di mana tompok gelap muncul di kawasan kulit lipatan badan seperti leher. Selain itu, penyembuhan luka yang perlahan dalam diabetes boleh menyumbang kepada perkembangan ulser dan jangkitan kulit. 

Mengikut kajian, diabetes boleh menyebabkan acanthosis nigricans (AN) kerana kaitannya dengan hiperinsulinemia. AN dikategorikan oleh hiperpigmentasi, hiperkeratosis dan papillomatosis, dan ia telah terbukti dikaitkan dengan tahap insulin yang tinggi. AN juga boleh menjadi penanda untuk peningkatan risiko diabetes. 

Kawalan gula dalam darah dan penjagaan kulit yang betul adalah penting bagi individu yang menghidap diabetes untuk meminimumkan risiko komplikasi kulit dan mengekalkan kesihatan kulit secara keseluruhan.

7. Isu sistem penghadaman

Sistem penghadaman juga boleh terjejas akibat kesan kencing manis. Antaranya adalah gastroparesis iaitu satu keadaan di mana pengosongan perut berlaku secara perlahan. Paras gula dalam darah yang tinggi boleh merosakkan saraf yang mengawal otot-otot yang terlibat dalam proses pencernaan. Ini akan menyebabkan pergerakan makanan yang perlahan atau terjejas melalui saluran pencernaan. Ini boleh mengakibatkan gejala seperti loya, muntah, kembung perut dan rasa kenyang. 

Selain itu, penyakit kencing manis boleh menjejaskan fungsi hati dan pankreas, iaitu organ utama dalam penghadaman. Rintangan insulin boleh menyumbang kepada penyakit hati berlemak, manakala disfungsi pankreas boleh menjejaskan rembesan enzim pencernaan. Kedua-dua keadaan boleh menjejaskan keseluruhan proses pencernaan dan penyerapan nutrien. 

Kajian menunjukkan penyakit kencing manis boleh menyebabkan hati berlemak melalui proses yang melibatkan rintangan insulin dan peningkatan paras asid lemak bebas yang beredar. Rintangan insulin, yang biasanya dikaitkan dengan obesiti dan diabetes akan menyebabkan peningkatan penghantaran asid lemak bebas ke hati dan sintesis trigliserida yang berlebihan. 

Selain itu, rembesan lipoprotein berketumpatan sangat rendah akan terjejas dan menyumbang kepada pengumpulan lemak hepatik. Faktor-faktor ini secara kolektif menyumbang kepada perkembangan penyakit hati berlemak bukan alkohol di kalangan individu yang menghidap kencing manis. 

Adalah penting bagi individu yang menghidap diabetes untuk mengurus paras gula dalam darah mereka dengan berkesan, mengamalkan gaya hidup sihat dan mendapatkan panduan perubatan untuk mencegah atau menguruskan komplikasi pencernaan yang berkaitan dengan diabetes.

8. Menjejaskan kesuburan lelaki dan wanita

Kesan kencing manis juga boleh menjejaskan kesuburan lelaki dan wanita. Untuk wanita, kencing manis boleh menyumbang kepada masalah kesihatan reproduktif seperti sindrom ovari polikistik (PCOS) iaitu keadaan yang disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon yang boleh mengganggu kitaran haid dan ovulasi. 

Wanita yang menghidap diabetes juga mungkin mengalami kitaran haid yang tidak teratur. Penyakit kencing manis juga  boleh meningkatkan risiko komplikasi semasa kehamilan.

Untuk lelaki, penyakit kencing manis telah dikaitkan dengan disfungsi erektil dan mengurangkan kualiti sperma. Paras gula dalam darah yang tinggi boleh merosakkan saluran darah dan saraf dan boleh menjejaskan keupayaan untuk mencapai dan mengekalkan ereksi.

Kajian mendapati kencing manis boleh mengurangkan fungsi sel Leydig dan pengeluaran testosteron, yang membawa kepada pengurangan pengeluaran sperma dan kesuburan bagi lelaki. Bagi wanita, kencing manis boleh menyebabkan kitaran haid tidak teratur, ketidakseimbangan hormon dan kesuburan berkurangan akibat kesan ke atas ovulasi dan kualiti telur. 

Pengurusan paras gula dalam darah yang baik, amalan gaya hidup sihat dan bimbingan pakar perubatan untuk menangani masalah kesuburan dan meningkatkan peluang untuk hamil. 

9. Masalah metabolik

Masalah metabolik merupakan kesan kencing manis yang biasa kerana penyakit mengganggu keupayaan tubuh untuk mengawal glukosa dengan betul iaitu komponen asas metabolisme. Hiperglisemia yang berterusan boleh menyumbang kepada pelbagai masalah metabolik. Ia boleh mengganggu metabolisme lipid yang membawa kepada paras kolesterol dan trigliserida yang tidak normal. Keadaan ini boleh meningkatkan risiko masalah kardiovaskular. 

Selain itu, penyakit kencing manis boleh menjejaskan metabolisme protein yang menjejaskan pembaikan tisu dan gangguan pembaziran otot. Kajian menerangkan masalah metabolik berlaku apabila sel-sel badan tidak dapat mengambil glukosa daripada darah dan mengakibatkan paras gula darah tinggi. 

Faktor risiko lain untuk sindrom metabolik dalam pesakit diabetes termasuk peningkatan umur, merokok, pengambilan alkohol, berat badan berlebihan, gaya hidup tidak aktif dan sejarah keluarga diabetes jenis 2. 

10. Menjejaskan kesihatan mental

Kesan Kencing Manis mental

Kesan kencing manis juga boleh memberi impak yang besar kepada kesihatan mental yang mempengaruhi kesejahteraan emosi dan fungsi kognitif. Keperluan berterusan untuk memantau paras gula dalam darah, mematuhi pengambilan ubat dan membuat pelarasan gaya hidup boleh menimbulkan beban psikologi yang besar. 

Kebimbangan terhadap komplikasi, seperti kerosakan saraf, masalah penglihatan atau keperluan untuk suntikan insulin boleh menjejaskan kesihatan mental.  Keadaan turun naik paras gula dalam darah juga boleh menjejaskan mood dan fungsi kognitif, yang membawa kepada kesukaran dalam penumpuan dan ingatan. 

Kajian mendapati kira-kira satu pertiga daripada penghidap diabetes mempunyai masalah psikologi dan/atau sosial yang menghalang keupayaan mereka untuk menguruskan penyakit ini. Ini menunjukkan kehadiran diabetes boleh menggandakan risiko kemurungan komorbid. 

Menangani halangan psikiatri dan psikologi kepada kawalan glukosa yang baik boleh membantu mengurangkan beban diabetes dan komplikasinya.

11. Boleh menyebabkan masalah jantung yang lebih serius

Masalah jantung yang lebih serius juga berpotensi disebabkan oleh kesan kencing manis. Paras gula dalam darah yang tinggi yang dikaitkan dengan kencing manis boleh menyumbang kepada pembentukan deposit lemak dalam saluran darah yang membawa kepada aterosklerosis. Keadaan ini menyempitkan dan mengeraskan arteri. Keadaan ini menyekat aliran darah ke jantung. 

Penyakit kencing manis juga meningkatkan kemungkinan hipertensi dan profil lipid yang tidak normal, seterusnya meningkatkan risiko masalah kardiovaskular. Selain itu, individu yang menghidap diabetes sering mempunyai faktor risiko tambahan seperti obesiti dan gaya hidup yang tidak aktif yang boleh menyebabkan risiko kardiovaskular.

Kajian mendapati kehadiran faktor risiko kardiovaskular seperti obesiti, hipertensi dan dislipidemia dalam pesakit diabetes berpotensi meningkatkan risiko kejadian jantung. Selain itu, diabetes dikaitkan dengan peningkatan tekanan oksidatif, disfungsi endothelial dan neuropati autonomi yang semuanya secara langsung menyumbang kepada perkembangan penyakit kardiovaskular.

12. Mengurangkan keanjalan salur darah dan menjadikan salur darah menjadi sempit

Salah satu kesan kencing manis yang merbahaya adalah mengurangkan keanjalan salur darah dan menjadikan salur darah menjadi sempit. Tahap glukosa yang tinggi dalam aliran darah boleh menyebabkan pembentukan produk akhir glikasi lanjutan atau advanced glycation end-products (AGEs) yang terkumpul di dalam dinding saluran darah dan mengganggu keanjalannya. 

Selain itu, diabetes boleh menyebabkan keradangan dan tekanan oksidatif, dan merosakkan lapisan dalaman halus saluran darah yang dikenali sebagai endothelium. Kerosakan ini mengganggu pengeluaran nitrik oksida iaitu sebatian yang membantu mengawal pembesaran dan penyempitan saluran darah. Akibatnya, saluran darah menjadi kurang fleksibel dan lebih terdedah kepada penyempitan. Ini akan menyebabkan peningkatan rintangan kepada aliran darah. Proses ini menyumbang kepada aterosklerosis iaitu pembentukan plak di dalam arteri, menyempitkan lumen saluran dan menghalang aliran darah yang lancar. 

Mengikut kajian, penyakit kesan manis boleh mengurangkan keanjalan saluran darah dan menjadikannya sempit melalui beberapa mekanisme:

  • Aterosklerosis: Dalam diabetes, aterosklerosis adalah punca utama jangka hayat terjejas. Keadaan ini membawa kepada penyempitan dan pengerasan saluran darah. Ini akan mengurangkan keanjalan salur darah.
  • Perubahan dalam Fungsi Vaskular: Diabetes menyebabkan perubahan dalam fungsi utama saluran darah  yang membawa kepada pengurangan aliran darah dalam arteri akibat aterosklerosis yang meningkatkan perfusi glomerular pada diabetes awal dan aliran darah yang tidak mencukupi di retina. Perubahan ini menyumbang kepada penyempitan saluran darah.
  • Keabnormalan dalam Fungsi Vaskular: Keabnormalan seperti lekatan leukosit, peningkatan kebolehtelapan vaskular dan peningkatan selular dalam sel otot licin vaskular dan sel endothelial yang menyumbang kepada penyempitan saluran darah.

Faktor-faktor ini secara kolektif menyumbang kepada pengurangan keanjalan dan penyempitan saluran darah dalam diabetes.

Kesimpulan

Berikut adalah kesan kencing manis yang anda harus mengetahui:

  1. Menjejaskan kesihatan mata
  2. Melambatkan penyembuhan luka dan jangkitan
  3. Risiko ke atas kesihatan buah pinggang
  4. Kerosakan saraf
  5. Penyakit gusi
  6. Masalah kesihatan berkaitan dengan kulit
  7. Isu sistem penghadaman
  8. Menjejaskan kesuburan lelaki dan wanita
  9. Masalah metabolik
  10. Menjejaskan kesihatan mental
  11. Boleh menyebabkan masalah jantung yang lebih serius
  12. Mengurangkan keanjalan salur darah dan menjadikan salur darah menjadi sempit

Anda juga boleh baca tentang:

Similar Posts

Tinggalkan Balasan