Buah Aprikot: 15 Kebaikan, Khasiat dan Cara Makan

Selain enak dimakan, buah aprikot juga menawarkan banyak kelebihan dan khasiat tersendiri terhadap aspek kesihatan.

Jika sebelum ini anda menikmati tanpa mengetahui manfaatnya, kali ini kami akan bincangkan tentang buah aprikot termasuklah khasiat nutrisi, kebaikan, kesan sampingan dan beberapa cara untuk memakannya.

Jom kita mulakan!

Khasiat Buah Aprikot Infogprahic
Share this Image On Your Site By Copy and Paste the HTML Code

Apa itu buah aprikot?

Buah Aprikot featured image

Aprikot atau nama saintifiknya, Prunus armeniaca L. tergolong dalam keluarga Rosaceae. Keluarga Rosaceae merupakan keluarga terbesar yang mengandungi 3400 spesis seperti badam, buah pic, epal, plum, ceri dan beri.

Buah aprikot ini merupakan buah yang tumbuh di negara yang mengandungi beberapa musim kerana ia memerlukan musim sejuk dan cuaca panas yang sederhana pada musim bunga dan musim panas. Pokok buah aprikot tidak sesuai ditanam di kawasan yang mempunyai iklim subtropikal.

Seperti buah lain dalam kelompok keluarganya, aprikot adalah buah yang mempunyai isi lembut pada bahagian luar menyeliputi biji keras di dalamnya. Aprikot terdiri daripada warna jingga dan jingga kekuningan, tetapi terdapat juga buah aprikot berwarna putih dan putih kehijauan. 

Aprikot berasal dari Asia Tengah dan telah ditanam secara besar-besaran sejak zaman 1920-an. Buah ini telah berjaya menembusi pasaran negara di Asia Barat dan Laut Mediterranean. Setelah itu, buah aprikot melebarkan kawasannya di negara Asia dan Eropah.

Trend terkini menunjukkan bahawa buah aprikot menjadi pilihan orang ramai untuk memenuhi keperluan buah-buahan dan sayur-sayuran seharian demi menjaga kesihatan tubuh badan. Oleh itu, mari kita rungkaikan rahsia yang terkandung dalam buah aprikot ini.

Fakta nutrisi dan khasiat buah aprikot

Berikut adalah fakta nutrisi untuk 100g buah aprikot:

Makronutrien:

Kalori48 Kcal
Jumlah Karbohidrat11.12g
Serat (Karbohidrat)2g
Protein1.4g
Lemak0.39g

Mikronutrien (Vitamin):

Thiamin (Vitamin B1)0.013mg
Riboflavin (Vitamin B2)0.04 mg
Niacin (Vitamin B3)0.6 mg
Vitamin B60.054 mg
Folate (Vitamin B9)9 µg
Vitamin C10 mg

Mikronutrien (Mineral):

Calcium13 mg
Iron0.39 mg
Magnesium10 mg
Phosphorus23 mg
Potassium259 mg
Copper0.078 mg
Zinc 0.2 mg

Mikronutrien (Fitonutrien):

Beta Carotene1094 µg
Lutein + zeaxanthin89 µg

15 khasiat buah aprikot yang anda wajib ketahui

Buah Aprikot bagus

Buah aprikot sememangnya kaya dengan mineral, vitamin dan zat nutrien. Maka tidak hairanlah jika ia mampu tawarkan banyak manfaat untuk kesihatan tubuh kita.

Jom semak 15 khasiat dan kebaikan buah aprikot:

1. Mengawal tekanan darah

Tekanan darah tinggi atau hipertensi merupakan antara keadaan yang sangat bahaya kepada manusia. Jika tidak dikawal, ia boleh meningkatkan risiko penyakit jantung dan strok.

Buah aprikot mengandungi potasium yang tinggi. Ia terbukti sebagai mineral semulajadi yang berupaya menurunkan tekanan darah manusia.

Pengambilan dua biji buah aprikot (kira-kira dalam 70g) membekalkan 181mg potasium, iaitu 4% daripada keperluan harian. Kalium bertindak seiringan dengan natrium untuk mengekalkan keseimbangan cecair, sekaligus dapat mengelakkan berlakunya kembung perut serta mengawal tekanan darah.

2. Mengekalkan hidrasi badan 

Sama seperti buah-buahan yang lain, aprikot juga mempunyai kandungan air yang tinggi. Pengambilan buah ini sebanyak 165g dapat membekalkan air kepada tubuh sebanyak 2/3 cawan ataupun 142ml. 

Mengekalkan hidrasi badan adalah penting bagi memastikan kesemua sistem dalam tubuh kita agar berfungsi sebaiknya. Selain mengekalkan suhu badan pada paras normal, pengambilan air yang mencukupi sangat penting kerana membantu mengawal tekanan darah dan denyutan jantung.

Sekiranya air dalam badan tidak mencukupi, isipadu darah akan berkurangan dan memaksa jantung bekerja lebih kuat untuk mengepam darah. Oleh itu, pengambilan aprikot selepas bersenam merupakan langkah yang bijak dalam menggantikan semula air yang telah keluar melalui peluh.

3. Memperbaiki kesihatan mata 

Khasiat vitamin A dan E yang terdapat dalam buah aprikot amat penting untuk mengekalkan mata kita sentiasa sihat.

Vitamin A terbukti bagus untuk menjauhkan mata daripada masalah rabun malam. Manakala vitamin E pula adalah sejenis antioksidan yang berupaya melindungi mata daripada radikal bebas.

Kajian turut mendapati, lutein dan zeaxantin yang turut ada pada aprikot mampu bertindak sebagai pelindung mata daripada sinar UV matahari serta masalah degenerasi yang boleh membawa kerosakan terhadap mata.

4. Memelihara kesihatan perut

Antara faktor yang menyumbang kepada kesihatan perut adalah pertumbuhan bakteria baik, atau turut dikenali sebagai probiotik. 

Probiotik berfungsi membantu dalam pencernaan serta membantu dalam melawan bakteria jahat yang boleh membawa kepada penyakit. Aprikot mengandungi serat, yang bermanfaat sebagai makanan untuk probiotik. 

Ini sekaligus dapat memastikan probiotik berfungsi dengan baik, dalam memelihara sistem pencernaan dan kesihatan perut kita secara menyeluruh.

5. Baik untuk kesihatan jantung

Jantung berfungsi mengepam darah yang membawa oksigen ke seluruh badan. Oleh itu, menjaga kesihatan jantung adalah sangat penting bagi memastikan darah dapat disalurkan dengan baik.

Kajian mendapati, flavonoid (sejenis antioksidan) yang terdapat dalam aprikot berpotensi memelihara jantung daripada kerosakan dan tekanan oksidatif. Ini secara tidak langsung membantu memelihara tubuh daripada penyakit kardiovaskular.

6. Mengelakkan masalah sembelit

Serat larut dan serat tidak terlarut dalam buah aprikot yang baik untuk sistem penghadaman dan membantu masalah sembelit. Ia merangsang pergerakan peristalsis dalam sistem pencernaan, kemudian memudahkan proses penyahtinjaan dengan melembutkan najis.

Jadi, tidak hairanlah buah aprikot dijadikan sebagai alternatif untuk pesakit yang sembelit kerana ia mempunyai kesan laksatif yang berkesan.

7. Mengurangkan risiko dapat serangan strok 

Selain merendahkan tekanan darah, kajian menunjukkan bahawa peningkatan potasium dalam tubuh boleh mengurangkan risiko dapat serangan strok.

Mineral yang terdapat dalam buah aprikot ini juga bertindak sebagai elektrolit dalam tubuh kita. Ia bertanggungjawab untuk menghantar isyarat saraf dan juga mengawal kontraksi otot.

8. Mencegah anemia 

Anemia adalah kondisi yang boleh menyebabkan seseorang berasa letih dan lemah, kerana kurangnya penghasilan sel darah merah yang mencukupi dalam badan.

Tahukah anda, aprikot kering merupakan buah yang tinggi dengan kandungan zat besi. 100g daripada buah ini boleh membekalkan kira-kira 21% zat besi harian bagi seorang wanita dewasa. 

Nutrien ini bertanggungjawab dalam penghasilan sel darah merah, secara tidak langsung melindungi seseorang daripada penyakit anemia.

9. Menguatkan tulang 

Menurut kajian, aprikot juga mengandungi beberapa mineral yang penting untuk pembentukan tulang, seperti kalsium (4.6mg), protein (0.5g), fosforus (8mg) dan magnesium (3.5mg).

Di samping itu, zink (0.07mg), tembaga (0.03mg), vitamin K (90.6mg) dan vitamin C (3.5mg) turut menyumbang kepada meningkatkan ketumpatan tulang serta mencegah keretakan atau pereputan tulang.

Oleh itu, pengambilan buah aprikot dalam diet harian dapat mengelakkan penyakit berkaitan masalah tulang seperti osteoporosis.

10. Rasa kenyang lebih lama 

Buah ini juga boleh menjadi diet harian yang ideal buat mereka yang sedang menurunkan berat badan. Tahukah anda, setiap 100g aprikot mengandungi 45g kalori dan serat. 

Maka tidak hairanlah jika pengambilan aprikot dapat membantu lambatkan proses pengosongan perut. Dengan rasa kenyang yang lebih lama, ini sekaligus dapat menghalang anda dari makan berlebihan.

11. Melindungi kulit wajah daripada kerosakan

Masalah kedutan dan kerosakan kulit terutamanya pada wajah biasanya disebabkan oleh faktor persekitaran, seperti sinaran matahari dan pencemaran udara.

Tapi jangan bimbang, vitamin C dalam buah aprikot dapat menjaga kualiti kulit wajah kita. Menurut kajian, vitamin C bertindak sebagai pelindung kulit semulajadi daripada sinaran UV dan pencemaran dengan meneutralkan radikal bebas.

Diet yang tinggi dengan vitamin C juga membantu pembentukan kolagen, iaitu sejenis protein yang menambah keanjalan serta kekuatan kulit. 

12. Berpotensi mencegah kanser

Biji aprikot dipercayai sangat efektif dalam mencegah kanser. Ia kaya dengan kandungan antioksidan, yang mampu meneutralkan serta melawan radikal bebas. 

Perkara ini sekaligus membantu dalam pencegahan kanser serta mencegah penyakit berbahaya yang lain. Bagaimanapun, penyelidikan terperinci mengenai potensi dan kesannya terhadap manusia masih belum mencukupi lagi.

13. Berkesan mengurangkan keradangan 

Keradangan adalah tindak balas normal yang dicetuskan oleh sistem imun untuk menghalang ‘penceroboh asing’ serta melindungi tubuh daripada kecederaan.

Namun keradangan kronik sebaliknya, boleh mendatangkan komplikasi pada tubuh dan menyumbang kemunculan penyakit berbahaya seperti penyakit jantung, diabetes dan artritis reumatoid.

Buah aprikot, khususnya pada bijinya mempunyai sifat anti-radang yang kuat dan berkesan dalam melegakan sakit keradangan. Dalam satu kajian terhadap haiwan, pemberian ekstrak aprikot memberi perlindungan daripada kolitis ulseratif, sejenis penyakit radang usus.

14. Mengurangkan sakit telinga

Selain daripada dimakan secara segar, buah aprikot boleh diproses untuk dijadikan minyak. Minyak buah aprikot adalah ubat yang sangat bagus untuk mengurangkan sakit telinga (earache).

Sakit telinga boleh menyebabkan gejala kesakitan yang luar biasa. Jika anda tidak dapat berjumpa doktor dengan segera, hanya letakkan beberapa titis minyak aprikot ke dalam saluran telinga dan ia boleh berikan kelegaan segera.

Selain itu, minyak ini juga dipercayai mampu untuk lawan sesetengah jangkitan pada bahagian telinga manusia.

15. Melindungi organ hati 

Kajian menunjukkan buah aprikot melindungi organ hati daripada tekanan oksidatif. Terdapat dua kumpulan tikus, di mana kumpulan A diberikan alkohol dan buah aprikot. Manakala kumpulan B diberikan alkohol tetapi tidak diberikan buah aprikot.

Keputusan menunjukkan tikus yang berada dalam kumpulan A menghasilkan paras enzim hati dan keradangan yang lebih rendah. 

Ini kerana buah aprikot mengandungi antioksidan yang tinggi yang melindungi kerosakan organ hati. Antioksidan ini berfungsi dengan meneutralkan radikal bebas sekaligus mengurangkan keradangan.

Kesan sampingan buah aprikot

Kesan sampingan Buah Aprikot

Secara umumnya, buah aprikot selamat untuk dimakan oleh setiap lapisan umur masyarakat. Banyak manfaat diperolehi tubuh jika dimakan secara teratur dan berkala.

Walaupun mempunyai nilai pemakanan yang hebat, tapi makan aprikot secara berlebihan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti :

  • Berpotensi terkena keracunan sianida

Meskipun banyak manfaatnya, tetapi ekstrak biji aprikot boleh meningkatkan paras sianida jika diambil secara berlebihan. 

Selain simptom pening kepala, sesak nafas, muntah dan tidak sedarkan diri, keracunan sianida juga boleh menyebabkan komplikasi maut.

  • Menyebabkan peningkatan gula dalam darah

Walau mengandungi banyak nutrien yang bermanfaat, pengambilan aprikot kering haruslah dikawal kerana tinggi dengan kalori dan gula.

Jika tidak, ia boleh menyebabkan penambahan berat badan serta peningkatan paras gula dalam darah.

  • Risiko alahan terhadap aprikot

Sesetengah individu juga mungkin mengalami gejala alahan makanan terhadap buah aprikot. 

Jika anda syak mungkin mempunyai alahan tersebut atau menghidap sebarang kesan sampingan selepas memakannya, hentikan pengambilan buah ini dan rujuk doktor anda terlebih dahulu.

Cara makan buah aprikot

Cara makan Buah Aprikot

Kaedah pengambilan buah ini juga penting bagi memperoleh khasiat maksimum. Pasti anda tertanya-tanya bagaimana cara yang betul untuk menjamah aprikot. 

Selain enak dimakan segar, buah ini juga boleh diolah dengan pelbagai cara seperti :

Hiasan pencuci mulut

Tekstur manis pada isi buah aprikot membuatkan ia sangat sesuai untuk dijadikan sebagai hiasan pencuci mulut.

Sama ada pai, kek, pastri dan bermacam lagi, kehadiran aprikot menjadikan hidangan pencuci mulut ini lebih lazat dan istimewa.

Diproses menjadi jem 

Selain itu, pati buah aprikot juga boleh digunakan sebagai jem. Ia merupakan alternatif yang berkhasiat untuk dimakan bersama roti atau biskut. 

Minuman berasaskan aprikot

Jika sudah jemu makan aprikot, anda juga boleh kisarkan isinya untuk dijadikan sebagai minuman yang berasaskan buah ini.

Sama ada susu aprikot, smoothies aprikot ataupun yogurt, bukan setakat enak diminum ketika cuaca panas. Malah bermanfaat untuk kesihatan anda.

Kesimpulan

Sekiranya anda mahu cari snek buah yang lazat dan berkhasiat, buah aprikot merupakan pilihan yang sangat tepat. 

Ia kaya dengan pelbagai nutrien, serat, vitamin dan sesuai dimakan oleh semua peringkat usia. Buah aprikot juga mempunyai banyak manfaat lain seperti :

  1. Mengawal tekanan darah
  2. Mengekalkan hidrasi badan
  3. Memperbaiki kesihatan mata
  4. Memelihara kesihatan perut
  5. Baik untuk kesihatan jantung
  6. Mengelakkan masalah sembelit
  7. Mengurangkan risiko dapat serangan strok 
  8. Mencegah anemia
  9. Menguatkan tulang
  10. Rasa kenyang lebih lama
  11. Melindungi kulit wajah daripada kerosakan
  12. Berpotensi mencegah kanser
  13. Berkesan mengurangkan keradangan 
  14. Mengurangkan sakit telinga
  15. Melindungi organ hati

Jika anda minat dengan khasiat atau kebaikan buah lain, boleh layari di bawah:

Similar Posts

Tinggalkan Balasan