Buah Anggur: 15 Kebaikan, Khasiat dan Cara Makan

Selain enak dimakan, buah anggur juga mengandungi banyak kelebihan dan khasiat tersendiri kepada aspek kesihatan.

Jika sebelum ini anda menikmati tanpa mengetahui manfaatnya, kali ini kami akan bincangkan tentang buah anggur termasuklah khasiat nutrisi, kebaikan, kesan sampingan dan cara untuk memakannya.

Jom kita mulakan!

Khasiat Buah Anggur Infographic
Share this Image On Your Site By Copy and Paste the HTML Code

Apa itu buah anggur?

Buah Anggur Featured Image

Anggur merupakan antara buah yang popular dan menjadi kegemaran ramai di seluruh pelusuk dunia. Ini kerana ia sering diamalkan dalam pemakanan seharian kita, sama ada dimakan secara segar atau sudah diproses menjadi kismis atau wain. 

Nama saintifiknya adalah Vitis vinifera, sejenis buah dalam keluarga beri yang banyak didapati di negara beriklim sub-tropika atau sederhana sejuk. Namun kini, ia juga telah cuba dikomersialkan di negara beriklim tropika termasuklah di Malaysia. 

Malah ada pengusaha anggur tempatan mendakwa, cuaca panas di Malaysia memberi manfaat kepada mereka apabila buah yang dihasilkan lebih manis dan rangup berbanding jika ditanam di cuaca sejuk.

Terdapat pelbagai jenis dan warna buah anggur yang boleh didapati di seluruh dunia. Sebagai contoh, tiga jenis anggur iaitu anggur merah, hitam dan hijau sering dikomersialkan kerana tekstur masam dan manis yang disukai ramai.

Selain turut terkenal sebagai ramuan utama dalam pembuatan wain di negara Barat, anggur juga kaya dengan pelbagai manfaat, khasiat dan nutrisi yang bagus untuk kesihatan manusia.

Fakta nutrisi dan khasiat buah aprikot

Berikut adalah fakta nutrisi untuk 100g buah anggur:

Makronutrien:

Kalori69 Kcal
Jumlah Karbohidrat18g
Serat (Karbohidrat)0.9g
Protein0.7g
Lemak0.2g

Mikronutrien (Vitamin):

Thiamin (Vitamin B1)0.069mg
Riboflavin (Vitamin B2)0.07 mg
Niacin (Vitamin B3)0.188 mg
Vitamin B60.086 mg
Folate (Vitamin B9)2 µg
Vitamin C3.2 mg

Mikronutrien (Mineral):

Calcium10 mg
Iron0.36 mg
Magnesium7 mg
Phosphorus20 mg
Potassium191 mg
Copper0.013 mg
Zinc 0.07 mg

Mikronutrien (Fitonutrien):

Beta Carotene39 µg
Lutein + zeaxanthin72 µg

15 khasiat buah anggur yang ramai tidak tahu

Kebaikan buah anggur

Buah anggur sememangnya kaya dengan mineral, vitamin dan zat nutrien. Maka tidak hairanlah jika ia mampu tawarkan banyak manfaat untuk kesihatan tubuh kita.

Jom semak 15 khasiat dan kebaikan buah anggur :

1. Menurunkan kadar gula dalam darah

Meskipun rasanya agak manis, tetapi buah ini mempunyai indeks glisemik yang rendah iaitu 53. Malah polifenol dan serat yang terdapat dalam anggur berupaya menurunkan kadar gula dalam darah. Ini berdasarkan kajian terhadap 38 peserta lelaki yang mengambil 20 gram ekstrak anggur setiap hari selama 4 bulan.

Sebatian resveratrol pula terbukti meningkatkan kepekaan insulin, yang membolehkan tubuh menggunakan glukosa dengan lebih baik. Ini kemudiannya dapat merendahkan paras gula dalam darah.

Oleh itu anggur sesuai untuk dimakan oleh pesakit diabetes, selagi mereka menjaga aspek diet pemakanan harian.

2. Melancarkan penghadaman

Serat larut adalah salah satu jenis serat yang memberi impak baik dalam penjagaan usus iaitu melancarkan proses penghadaman. Untuk pengetahuan anda, kandungan serat larut dalam 100g buah anggur lebih tinggi daripada 100g oren. 

Maka jelaslah bahawa pengambilan anggur dapat memberi manfaat terhadap kesihatan kita, di samping dapat memenuhi keperluan serat harian.

3. Bagus untuk kesihatan mata

Selain buah pisang, pengambilan anggur juga bagus untuk menjaga kesihatan mata. Ini kerana sebatian-sebatian aktif dalam buah ini didapati mampu mencegah daripada penyakit mata.

Menurut kajian, sebatian seperti lutein dan zeaxantin boleh melindungi mata daripada rosak akibat penyakit degenerasi makular berkaitan usia dan katarak.

Di samping itu, sebatian resveratrol dalam anggur turut terbukti boleh mengelakkan penyakit seperti glaukoma, katarak dan penyakit mata akibat diabetes.

4. Meningkatkan sistem imun tubuh

Selain mata, kandungan vitamin C dalam buah anggur turut menyumbang kepada peningkatan sistem imun. Vitamin tersebut berperanan menggalakkan penghasilan sel-sel darah putih.

Dalam satu kajian klinikal terhadap 85 peserta mendapati, pengambilan jus anggur selama 9 minggu terbukti meningkatkan bilangan sel darah putih sekaligus meningkatkan kualiti sistem pertahanan tubuh mereka.

5. Menghalang risiko pembentukan sel kanser

Komponen antioksidan seperti flavonoid, polifenol dan vitamin C yang terdapat dalam anggur berpotensi untuk menghalang pembentukan sel abnormal seperti tumor. 

Dalam satu kajian terhadap tikus makmal mendapati, pemberian diet berasaskan buah anggur dapat memperlahankan pembiakan sel kanser dan memanjangkan hayat haiwan tersebut.

6. Melegakan sakit migrain

Migrain adalah simptom sakit kepala yang berulang dan lazimnya menjadi lebih kerap selepas berumur 45 hingga 50 tahun. Satu daripada 4 wanita dan satu daripada 12 lelaki menghidap migrain pada suatu masa sepanjang hayat mereka.

Menurut kajian, riboflavin (vitamin B2) yang terdapat dalam anggur hitam adalah pilihan yang selamat untuk mencegah gejala migrain pada orang dewasa.

7. Membantu menguatkan tulang

Tahukah anda bahawa anggur juga kaya dengan komponen yang penting untuk menyokong kesihatan tulang? Antaranya adalah seperti kalsium, magnesium, fosforus, potasium dan vitamin K.

Malah kajian terhadap haiwan mendapati, khasiat sebatian resveratrol juga terbukti boleh meningkatkan ketumpatan tulang.

8. Mencegah masalah insomnia

Berdasarkan pemantauan klinikal semasa, memang berlaku peningkatan ketara kes insomnia di Malaysia. Masalah gangguan tidur ini membuatkan seseorang sukar untuk tidur atau kekurangan tidur dengan secukupnya.

Anggur mengandungi melatonin semulajadi, iaitu hormon yang membantu mengawal kitaran tidur yang lebih lama dan berkualiti. Oleh itu, buah ini boleh dijadikan snek untuk dinikmati oleh mereka yang sedang berdepan masalah insomnia.

9. Meningkatkan fungsi kognitif otak 

Seiring peningkatan usia, fungsi kognitif otak akan mula merosot. Faktor seperti beberapa sel otak akan mati, atau terjejas akibat penyakit tertentu boleh mempengaruhi bagaimana otak kita berfungsi.

Namun kajian terhadap warga emas yang mempunyai masalah kemerosotan ingatan menunjukkan perkembangan positif dari segi percakapan dan memori, selepas konsisten minum jus anggur selama tempoh 3 bulan.  

10. Mengurangkan kadar kolesterol 

Berita baik buat anda yang sedang berusaha untuk mendapatkan berat badan yang ideal. Sebatian aktif dalam buah anggur juga menyumbang kepada pengurangan kadar kolesterol dalam tubuh.

Kajian melibatkan 69 penghidap kolesterol yang konsisten mengambil 500 gram anggur merah setiap hari selama 2 bulan mendapati, kadar kolesterol mereka berjaya direndahkan. Namun, pengambilan anggur putih tidak memberi kesan yang sama seperti anggur merah tersebut.

11. Merencatkan pertumbuhan bakteria

Kalau anda perasan, hampas anggur daripada proses perindustrian wain atau jus buah ini banyak yang dibuang begitu sahaja.

Ini boleh dianggap pembaziran secara tidak langsung, kerana kulit buah berkenaan masih lagi kaya dengan polifenol. Kajian makmal malah mendapati, hampas buah anggur mempunyai agen antimikrob semulajadi yang berupaya merencatkan pertumbuhan bakteria berbahaya.

12. Melindungi kulit wajah daripada penuaan dan sinaran UV

Sinaran UV secara berlebihan boleh menyebabkan masalah kulit seperti kedutan, penuaan kulit, perubahan pigmen, kanser kulit dan selaran matahari (sunburn).

Kajian mendapati, ekstrak biji anggur merah mempunyai kesan perlindungan daripada sinaran UV dan menghalang berlakunya selaran matahari. Justeru, ekstrak buah ini mempunyai ciri seakan pelindung matahari (sunblock).

Selain itu, esktrak anggur yang digunakan dalam krim penuaan juga menunjukkan kesan positif terhadap kulit kesemua peserta wanita yang ambil bahagian dalam sebuah ujian klinikal pada tahun 2014.

13. Mengurangkan risiko sindrom metabolik

Sindrom metabolik merupakan sekumpulan keadaan yang merangkumi peningkatan tekanan darah, peningkatan gula dalam, lemak badan berlebihan di pinggang, dan kadar kolesterol yang tidak normal. Sekiranya tidak dirawat, ia boleh meningkatkan risiko penyakit jantung, strok dan diabetes jenis 2. 

Kajian mendapati, kandungan polifenol yang tinggi dalam anggur mampu mengurangkan risiko sindrom metabolik. Ini kerana, polifenol bertindak sebagai antioksidan yang berfungsi untuk mengurangkan aktiviti lipid peroksida.

14. Menjaga kesihatan buah pinggang

Penghasilan asid urik berlebihan merupakan antara faktor penyumbang pembentukan batu karang dalam sistem urinari manusia.

Khasiat anggur dapat mengurangkan tahap keasidan asid urik dalam tubuh. Ini sekaligus dapat mengurangkan tekanan terhadap ginjal, yang berfungsi untuk menapis sel darah merah dan menyingkirkan hasil perkumuhan melalui air kencing.

15. Memberi perlindungan pada jantung

Proanthocyanidins merupakan salah sejenis antioksidan terdapat dalam biji anggur yang memainkan peranan penting terhadap perlindungan jantung (kardiovaskular). 

Menurut kajian, komponen ini berupaya menurunkan risiko pembentukan plak lemak dalam salur darah (atherosclerosis) dengan menggalakkan penyingkiran kolesterol ke dalam jus hempedu.

Ini akan membantu mengurangkan risiko serangan jantung (myocardial infarction) ataupun strok. Bagaimanapun, keperluan untuk menjaga pemakanan dan mengamalkan gaya hidup sihat perlulah menjadi keutamaan.

Kesan sampingan buah anggur

pokok buah anggur

Secara umumnya, buah pisang selamat untuk dimakan oleh manusia di setiap peringkat umur. Banyak manfaat diperolehi tubuh jika dimakan secara teratur dan berkala.

Walaupun ia mempunyai banyak nilai pemakanan yang hebat, tapi makan pisang berlebihan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti :

Gangguan gastrik

Penyelidikan pakar juga mendapati, pengambilan wain berlebihan boleh menyebabkan gangguan perut. 

Selain itu, mengambil anggur semasa perut kosong membawa risiko tinggi perut dan gangguan sistem penghadaman yang lain. Ini perlu dielakkan untuk mengekalkan kesihatan perut yang baik.

Boleh menyebabkan ketoksikan terhadap wanita hamil

Walaupun banyak manfaatnya, tetapi jumlah bahan resveratrol yang tinggi dalam anggur mungkin berbahaya terhadap wanita hamil yang tidak hormonnya tidak seimbang.

Ketoksikan resveratrol juga dikhuatiri boleh mendatangkan komplikasi lain semasa mengandung.

Risiko terkena alahan

Dalam sesetengah kes yang jarang berlaku, anggur juga boleh menyebabkan alahan kepada pemakannya. Jika ada, seseorang itu akan mengalami kegatalan atau tompok merah pada kulit sejurus selepas memakannya.

Hanya disebabkan mempunyai tindak balas alahan, ia tidak bermaksud kita alergi terhadap buah anggur itu sendiri. Ada juga kemungkinan bahawa kita alah terhadap racun perosak, atau yis yang tumbuh pada kulit anggur.

Satu-satunya cara untuk mengesahkan punca alergi tersebut adalah dengan menjalani ujian pemeriksaan dengan doktor bertauliah.

Cara makan buah anggur

Cara makan Buah Anggur

Kaedah pengambilan buah ini juga penting bagi memperoleh khasiat maksimum. Pasti anda tertanya-tanya bagaimana cara yang betul untuk makan anggur. 

Selain enak dimakan begitu sahaja, buah bersaiz kecil dan bulat ini juga boleh diolah dalam pelbagai cara seperti :

Hiasan pencuci mulut

Tekstur manis atau masam yang terdapat pada anggur membuatkan ia sangat sesuai untuk dijadikan sebagai hiasan pencuci mulut.

Sama ada kek, puding dan koktel, kehadiran elemen anggur menjadikan setiap juadah itu lebih lazat serta berkhasiat. .

Jus atau kordial anggur

Buah yang kaya dengan pelbagai khasiat vitamin ini juga sering diproses menjadi jus atau kordial anggur.

Selain rasanya yang agak manis, minuman berasaskan anggur semulajadi ini juga mampu melancarkan sistem penghadaman dan memberi khasiat kepada tubuh peminumnya.

Kismis

Buah anggur juga boleh dikeringkan melalui kaedah haba kering atau haba matahari untuk dijadikan sebagai kismis. Sejak dahulu lagi, ia terkenal sebagai makanan alternatif yang lebih berkhasiat berbanding gula-gula.

Selain dapat menyokong sistem penghadaman, antara manfaat yang menarik tentang kismis adalah ia juga merupakan ‘makanan’ untuk otak. Mineral boron yang terdapat padanya mampu meningkatkan memori serta kecerdasan minda seseorang. 

Kesimpulan

Sekiranya anda mahu cari snek buah yang manis serta berkhasiat, buah anggur merupakan pilihan yang sangat tepat. 

Ia kaya dengan pelbagai nutrien, antioksidan, vitamin dan sesuai dimakan oleh semua peringkat usia. Buah anggur juga mempunyai banyak manfaat lain seperti :

  1. Menurunkan kadar gula dalam darah
  2. Melancarkan penghadaman
  3. Bagus untuk kesihatan mata
  4. Meningkatkan sistem imun tubuh
  5. Menghalang risiko pembentukan sel kanser
  6. Melegakan sakit migrain
  7. Membantu menguatkan tulang
  8. Mencegah masalah insomnia
  9. Meningkatkan fungsi kognitif otak 
  10. Mengurangkan kadar kolesterol
  11. Merencatkan pertumbuhan bakteria
  12. Melindungi kulit wajah daripada penuaan dan sinaran UV
  13. Mengurangkan risiko sindrom metabolik
  14. Menjaga kesihatan buah pinggang
  15. Memberi perlindungan pada jantung

Jika anda minat dengan khasiat atau kebaikan buah lain, boleh layari di bawah:

Similar Posts

Tinggalkan Balasan