Buah Durian Belanda: 16 Kebaikan, Khasiat dan Cara Makan

Kalau anda peminat buah durian belanda, tahukah bahawa buah ini sebenarnya mengandungi banyak khasiat serta nutrisi untuk kesihatan. Bukan sahaja enak dimakan, ia juga ternyata memiliki banyak kelebihan tersendiri.

Jika sebelum ini anda makan buah durian belanda tanpa mengetahui apakah manfaatnya, dalam artikel kali ini kami akan bincangkan tentang khasiat, kebaikan, kesan sampingan dan cara untuk makan buah tersebut.

Jom kita mulakan!

Khasiat Buah Durian Belanda Infographic
Share this Image On Your Site By Copy and Paste the HTML Code

Apa itu buah durian belanda?

Buah Durian Belanda Featured Image

Durian belanda atau nama saintifiknya Annona muricata, merupakan sejenis buah berwarna hijau yang tumbuh di kawasan beriklim tropika. Pokok durian belanda mudah ditanam dan merupakan jenis buah-buahan yang tidak bermusim. 

Pokok durian belanda adalah merupakan tumbuhan yang berasal dari benua Amerika, Caribbean dan Afrika. Ia dipercayai dibawa masuk ke Tanah Melayu ketika era penjajahan Barat. Kini Ia telah ditanam secara komersial dan meluas di Asia untuk dijadikan pelbagai produk makanan dan minuman. 

Ciri fizikal buah durian belanda ialah berwarna hijau gelap dan berduri lembut ketika muda, manakala berwarna hijau kekuning-kuningan ketika matang. Buah durian belanda yang telah matang boleh dipetik dan diperam. Isi buah ini berwarna putih dan berjus, manakala bijinya pula berwarna hitam serta keras. Namun bijinya tidak boleh dimakan.

Keunikan buah ini bukan sahaja pada bentuknya, malah tekstur isinya yang berkrim turut digambarkan seperti gabungan buah strawberi dan epal. Ini kerana, buah yang turut digelar sebagai ‘soursop’ atau ‘graviola’ di Barat ini mempunyai rasa masam dan manis apabila dimakan.

Selain itu, khasiat durian belanda juga terkenal dengan nilai-nilai perubatan. Ia mengandungi beberapa sebatian yang memiliki kebaikan dari segi perubatan yang menjadikan buah ini bermanfaat untuk menentang pelbagai jenis penyakit.

Fakta nutrisi dan khasiat buah durian belanda

Berikut adalah fakta nutrisi untuk 100g durian belanda:

Makronutrien:

Kalori66 Kcal
Jumlah Karbohidrat16.88g
Serat (Karbohidrat)3.3g
Protein1.0g
Lemak0.3g

Mikronutrien (Vitamin):

Thiamin (Vitamin B1)0.07mg
Riboflavin (Vitamin B2)0.05 mg
Niacin (Vitamin B3)0.9 mg
Vitamin B60.059 mg
Folate (Vitamin B9)14 µg
Vitamin C20.6 mg

Mikronutrien (Mineral):

Calcium14 mg
Iron0.6 mg
Magnesium21 mg
Phosphorus27 mg
Potassium278 mg
Copper0.086 mg
Zinc0.1 mg

16 kebaikan buah durian belanda yang ramai tidak tahu

Kebaikan Buah Durian Belanda

Buah durian belanda sememangnya kaya dengan serat, vitamin dan nutrien. Maka tidak hairanlah ia mampu menawarkan banyak manfaat untuk kesihatan tubuh.

Jom semak 15 khasiat dan kebaikan buah ini :

1. Menstabilkan gula dalam darah 

Tahukah anda, khasiat yang terdapat pada buah durian belanda dapat mengawal dan menstabilkan paras gula dalam darah.

Dalam satu kajian, kumpulan tikus diabetes yang menerima suntikan ekstrak durian belanda selama 2 minggu mempunyai kadar gula dalam darah 5 kali lebih rendah berbanding kumpulan tikus diabetes yang tidak dirawat. 

Penyelidikan lain turut menunjukkan potensi sama. Haiwan yang diberikan ekstrak daun durian belanda didapati menunjukkan kesan antidiabetes yang sangat ketara. Antaranya termasuklah peningkatan insulin darah dan penurunan kolesterol jahat (kolesterol LDL).

2. Meningkatkan imunisasi tubuh 

Buah tropika ini juga merupakan sumber vitamin C yang sangat bagus. Sebiji buah durian belanda saja mampu memenuhi keperluan harian manusia yang memerlukan sejumlah 60 miligram vitamin C untuk mencapai tahap kesihatan yang baik.

Pengambilan vitamin C yang cukup mampu meningkatkan sistem pertahanan badan untuk berlindung daripada ancaman virus dan bakteria.

3. Mencegah ulser perut 

Ulser peptik adalah luka yang menyakitkan pada saluran gastrousus (esofagus, perut, dan usus). Hakisan di lapisan perut boleh menyebabkan keradangan, dan tahap cecair penghadaman asid yang semakin tinggi menyebabkan berlakunya ulser.

Pengambilan buah durian belanda adalah disarankan, kerana ia memiliki ciri antiulser dan antiradang yang penting supaya membantu menyokong kesihatan gastrousus.

Kajian terhadap haiwan mendapati bahawa, ekstrak daun durian belanda berkesan melindungi bahagian perut daripada terkena ulser.

4. Menghalang anemia 

Selain vitamin C, buah durian belanda juga merupakan pembekal sumber zat besi.

Kekurangan zat besi boleh menghalang pembentukan sel darah merah (hemoglobin) yang berperanan dalam melancarkan perjalanan oksigen dalam darah. Ini sekaligus dapat mencegah penyakit berkaitan kekurangan zat besi seperti anemia.

5. Melindungi tubuh daripada bakteria merbahaya 

Durian belanda mempunyai kesan anti kulat dan anti parasit yang disumbangkan oleh kehadiran alkaloid, asitogenin dan polifenol. Buah ini juga sering digunakan sebagai bahan utama dalam perubatan tradisional.

Ekstrak daun durian belanda terbukti berkesan menghapuskan beberapa jenis bakteria merbahaya, termasuklah yang mengakibatkan masalah pereputan gigi, radang gusi serta jangkitan kulat.

Manakala biji durian belanda juga menunjukkan ciri antiparasit, apabila terbukti menghalang pertumbuhan parasit seperti E. histolytica, N. brasiliensis, M. dessetae and A. salina.

6. Membekalkan tenaga 

Durian belanda juga kaya dengan sumber tenaga. Setiap 100g buah ini dapat membekalkan sebanyak 65 kcal tenaga dan 14.1g karbohidrat. 

Selain itu, buah yang digelar soursop ini turut memiliki kandungan fruktosa yang tinggi. Kedua-dua komponen inilah berfungsi untuk membekalkan tenaga kepada tubuh manusia.

7. Mengurangkan tekanan darah

Tekanan darah tinggi atau hipertensi merupakan penyakit kronik yang boleh mengundang strok dan serangan jantung. Namun khasiat buah ini berupaya untuk mengurangkan tekanan darah kerana memiliki sifat anti hipertensi.

Menerusi kajian yang dibuat terhadap penghidap pra hipertensi, kumpulan yang diberikan jus durian belanda 2 kali sehari menunjukkan tahap tekanan darah mereka menurun selepas tempoh 12 minggu berbanding kumpulan terkawal (tidak diberi jus durian belanda).

8. Melindungi kerosakan hati

Radikal bebas boleh menyebabkan tekanan oksidatif dalam badan. Jika dibiar berlarutan, keadaan ini boleh mengundang kerosakan sel dan penyakit degeneratif seperti kerosakan hati. 

Namun khasiat durian belanda mampu melindungi manusia daripada penyakit tersebut. Kandungan antioksidan dan asitogenin yang tinggi yang terdapat di dalamnya akan melawan radikal bebas.

9. Melegakan sakit keradangan

Keradangan adalah tindak balas imun yang normal terhadap jangkitan atau kecederaan. Namun begitu, keradangan yang kronik boleh menyumbang kepada masalah komplikasi dan penyakit berbahaya. 

Kajian mendapati ekstrak daun durian belanda mempunyai ciri-ciri anti radang dan analgesik (bertindak sebagai pain killer). Ia telah digunakan dalam perubatan tradisional untuk melegakan gejala sakit sendi, otot dan saraf. 

10. Mencegah kerosakan saraf 

Gejala kerosakan saraf boleh melibatkan rasa berdenyut-denyut, kebas, rasa sakit atau panas di kaki atau hujung jari. Jika masalah ini tidak dirawat, ia mungkin bertukar lebih buruk apabila menyerang bahagian kaki atau tangan.

Vitamin B1 yang terkandung dalam buah durian belanda membantu meningkatkan kadar metabolisme, peredaran darah dan mencegah masalah saraf. 

Dalam waktu yang sama, khasiat vitamin B2 juga sangat penting dalam menjaga fungsi saraf, penghasilan tenaga dalam badan, serta bermanfaat untuk kesihatan jantung kita.

11. Merencatkan pertumbuhan kanser 

Buah durian belanda mengandungi sebatian yang memiliki ciri antikanser, iaitu annonacaous acetogenin. Khasiatnya didakwa 200 kali ganda lebih efektif daripada buat rawatan kemoterapi.

Satu kajian terhadap wanita berusia 60 tahun yang menghidap kanser payudara mendapati, pengambilan air rebusan daun durian belanda dapat menstabilkan penyakit dihidapinya tanpa alami sebarang kesan sampingan.

Penyelidikan terhadap haiwan juga membuktikan, ekstrak daun durian belanda berhasil menghalang sel kanser daripada terus merebak.

Bagaimanapun, setakat ini kajian klinikal terhadap manusia masih belum mencukupi. Banyak penyelidikan mendalam terhadap pesakit kanser perlu dilakukan untuk mengetahui potensi menyeluruh daun durian belanda.

12. Merawat gejala demam

Durian belanda juga sering dijadikan sebagai rawatan alternatif untuk melegakan gejala demam. Ini kerana, buah tropika tersebut mempunyai sifat menyejukkan badan.

Selain diminum jusnya, daun durian belanda juga boleh direndam dalam air panas dan dilumurkan pada kepala mereka untuk mengurangkan gejala demam.

13. Menghalang risiko hilang ingatan 

Kaedah rawatan semasa untuk mengatasi penyakit gangguan degeneratif seperti Parkinson dan Alzheimer adalah terhad dan sering dikaitkan dengan pelbagai kesan sampingan yang buruk.

Oleh itu, terdapat keperluan segera untuk mencari agen alternatif bagi merawat masalah kehilangan ingatan.

Kajian menunjukkan bahawa, ekstrak durian belanda yang bersifat anti amnesik berpotensi menghalang seseorang daripada kehilangan sebahagian atau sepenuhnya ingatan mereka.

14. Merawat jangkitan saluran air kencing

Jangkitan saluran pundi kencing (UTI) adalah jangkitan kuman pada mana-mana bahagian dalam saluran kencing. Malah jika tidak dirawat dengan betul, ia boleh mendatangkan komplikasi terhadap urethra dan buah pinggang.

Oleh kerana tinggi dengan vitamin C, durian belanda sangat berkesan 

untuk mencegahnya. Apabila buah ini dimakan oleh pesakit UTI dalam kuantiti terkawal, ia membantu kekalkan tahap berasid dalam air kencing. Apabila tahap berasid meningkat, bakteria dalam saluran berkurangan sekaligus menamatkan jangkitan.

15. Menghilangkan kemurungan dan stres

Selain melegakan sakit radang, kajian menunjukkan bahawa komponen buah durian belanda menghasilkan kesan anti stres atau tekanan perasaan. Ia sekaligus turut berpotensi menghilangkan masalah berkaitan depresi seperti kemurungan. 

Kehadiran alkaloid membantu dalam menghalang tekanan perasaan daripada berlaku. Bioaktiviti ini turut menyumbang kepada penggunaan tradisional buah durian belanda sebagai penenang (sedative).

16. Melegakan sembelit

Buah ini kaya dengan serat larut dan serat tidak larut yang dapat melegakan sembelit dengan cara membantu anda mengeluarkan najis secara mudah daripada badan.

Selain itu, isi buah ini mengandungi hampir 84% air yang dapat menghidratkan badan anda. Secara tidak langsung ia juga bertindak sebagai diuretik untuk merawat edema atau kekurangan air dalam badan.

Kesan sampingan buah durian belanda

Kesan Sampingan Buah Durian Belanda

Secara umumnya durian belanda selamat untuk dimakan oleh masyarakat setiap lapisan jantina dan umur. Pelbagai manfaat boleh diperolehi sekiranya buah tropika ini dimakan secara teratur.

Akan tetapi, pengambilan buah durian belanda secara berlebihan boleh mengundang kesan sampingan seperti :

Penurunan berat badan secara drastik

Menurut satu kajian, pengambilan durian belanda secara berlebihan telah mengakibatkan penurunan berat badan yang drastik terhadap tikus yang diuji. Kesan yang sama turut diperhatikan boleh berlaku kepada manusia. 

Oleh itu, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu jika anda bercadang untuk makan buah ini bagi mengelakkan sebarang masalah yang berkaitan dengan berat badan.

Mengakibatkan keradangan mata

Biji dan kulit pokok buah durian belanda ini dianggap toksik. Ia mengandungi komponen beracun seperti anonaine, asid hydrocyanic, dan muricine yang boleh mengakibatkan keradangan mata.

Walaupun durian belanda mempunyai nilai pemakanan yang bagus, namun makanlah buah ini sekadarnya kerana dibimbangi akan memberi kesan negatif terhadap kesihatan anda pula.

Boleh menjejaskan kandungan ibu hamil

Wanita hamil dinasihatkan supaya tidak mengambil buah ini. Ini kerana durian belanda boleh menurunkan glukosa darah dan tekanan darah. 

Perkara ini dikhuatiri boleh menjejaskan pertumbuhan kandungan pada wanita hamil. Oleh itu adalah lebih baik elakkan pengambilan buah ini, sama ketika mengandung mahupun sedang menyusu.

Cara makan buah durian belanda

Cara Makan Buah Durian Belanda

Kaedah pengambilan buah ini juga penting bagi memperoleh khasiat maksimum. Pasti anda tertanya-tanya apakah kaedah pengambilan yang betul untuk durian belanda. 

Selain enak dimakan terus ketika isinya sudah masak dan ranum, durian belanda juga boleh diolah menjadi juadah lain seperti :

Jus durian belanda

Selain enak diminum ketika musim panas, jus durian belanda juga menawarkan banyak manfaat nutrisi kepada tubuh. 

Antaranya adalah melancarkan peredaran darah ke seluruh badan serta menurunkan kadar kolesterol. Oleh itu, jus ini sangat sesuai untuk diamalkan sebagai suplemen harian.

Teh berasaskan daun durian belanda

Merawat dengan cara minum teh daripada daun durian belanda adalah kaedah yang paling berkesan mencegah pelbagai masalah kesihatan, selain mudah disediakan oleh kebanyakan orang.

Teh yang diperbuat daripada daun durian belanda ini juga kaya dengan antioksidan, 100% herba dan boleh dijadikan sebagai ubatan tradisional. 

Kesimpulan

Tidak dinafikan, durian belanda sememangnya antara buah yang sangat berkhasiat dan wajar diambil secara berkala untuk memastikan kesihatan tubuh dalam keadaan optimum.

Ia kaya dengan nutrien seperti serat, vitamin, antioksidan serta sesuai dimakan oleh semua lapisan masyarakat. Buah ini juga terbukti menawarkan banyak manfaat lain seperti :

  1. Menstabilkan gula dalam darah
  2. Meningkatkan imunisasi tubuh
  3. Mencegah ulser perut 
  4. Menghalang anemia
  5. Melindungi tubuh daripada bakteria merbahaya 
  6. Membekalkan tenaga
  7. Mengurangkan tekanan darah
  8. Melindungi kerosakan hati
  9. Melegakan sakit keradangan
  10. Mencegah kerosakan saraf
  11. Merencatkan pertumbuhan kanser
  12. Merawat gejala demam
  13. Menghalang risiko hilang ingatan
  14. Merawat jangkitan saluran air kencing
  15. Menghilangkan kemurungan dan stres
  16. Melegakan sembelit

Jika anda minat dengan khasiat atau kebaikan buah lain, boleh layari di bawah:

Similar Posts

Tinggalkan Balasan